Wednesday, May 27, 2009

Kaamatan Sebagai Tonggak 1Malaysia




Keningau : Perayaan Pesta Kaamatan yang disambut oleh masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) adalah lambang perpaduan yang harus menjadi tonggak kekuatan dalam menyahut seruan konsep 1Malaysia.
Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup berkata, Kaamatan adalah asas yang sangat kukuh dalam mengungkapkan perasaan muhibbah pelbagai kaum di negeri ini.
Kurup berkata demikian ketika merasmikan perayaan pesta Kaamatan di Kampung Karamatoi Laut disini. Turut hadir Wakil Rakyat Sook yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Ellron Angin, Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Pensiangan, Vincent Lee , AMT PBRS Rayner Udong dan Alfian Koroh serta Exco Wanita PBRS Rozie Jumat.
Kurup yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata, perayaan Kaamatan turut diraikan oleh bangsa yang lain dan diterima kerana ia menganjurkan semangat persefahaman tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan politik.
Namun Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan turut menyeru KDM untuk mengukuhkan perpaduan yang lebih kuat agar mereka tidak ketinggalan di dalam dasar-dasar kerajaan.
Sementara itu sempena majlis yang sama di Kampung Sanang di Mukim Dalit, Kurup mahu rakyat mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan agar masalah mereka dapat diselesaikan secara teratur. Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri sedang membuat kajian mengenai masalah penduduk di kawasan tanah hutan simpan dengan satu jawatankuasa kecil yang akan diketuai oleh wakil rakyat.
Di majlis itu seramai 120 orang menyerahkan borang keahlian untuk menyertai PBRS.
Di Kampung Sanang masyarakat kaum Murut di kampung itu menyambut Kurup dan Ellron dengan upacara inasi ( penghantaran berian) dan disambut dengan penuh meriah oleh penduduk tanah hutan simpan.
Ketua Masyarakat , Lingkungan Sarah berkata, mereka amat terhutang budi dengan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang sentiasa memberi perhatian kepada rakyat, dan melindungi penduduk itu dari diganggu oleh Jabatan Hutan baru-baru ini.
Sebanyak 60 keluarga di kampung itu turut menerima bantuan zink sebanyak 30 keping sekeluarga yang disalurkan oleh peruntukan kerajaan Persekutuan.

Kerajaan Jamin Masalah Penduduk Tanah Hutan Simpan Akan Diatasi
















Keningau : Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) telah mengemukakan satu cadangan bagi menyelesaikan masalah pendudukan tanah hutan simpan terutamanya di kawasan luar bandar kepada kerajaan dan ianya mendapat perhatian Ketua Menteri yang memberikan maklumbalas yang amat positif.
Presiden PBRS , Tan Sri Joseph Kurup berkata, masalah yang dihadapi oleh penghuni tanah hutan simpan yang berlarutan sejak sekian lama akan menemui jalan penyelesaian dengan satu jawatankuasa ditubuhkan khusus membuat kajian dan tinjuan di kampung-kampung yang terlibat.
Kurup yang merupakan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata demikian ketika merasminkan sambutan perayaan Pesta Kaamatan di Kampung Sanang yang diadakan mengikut acara ansakoi ( hantaran berian). Turut hadir sama ialah Datuk Ellron Angin , Pembantu Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga Wakil Rakyat Sook.
Ahli Parlimen Pensiangan itu berkata PBRS telah mengemukakan cadangan penyelesaian tersebut melalui satu pertemuan dengan Ketua Menteri baru-baru ini, dan maklum balas ketua menteri tersebut amat menggembirakan penduduk terbabit.
Menurut Kurup , ketetapan secara dasarnya ialah kerajaan akan membuat kajian di setiap kampung yang terlibat dengan hutan simpan. Dengan satu jawatankuasa ditubuhkan yang akan diketuai oleh ahli dewan undangan negeri ( wakil rakyat) dan dalam masalah bagi kawasan Sook, ianya akan diketuai oleh Datuk Ellron Angin.
Kata Kurup , kajian itu antara lainnya adalah untuk mengenalpasti berapa luas tanah dikeluarkan untuk kegunaan rakyat sekaligus sebagai satu usaha pembasmian kemiskinan melalui pembangunan tanah.
Bagaimanapun kata Kurup, beliau merayu kepada rakyat agar bersabar sehingga kajian dan tinjauan itu disiapkan , kerana beliau tidak mahu proses tersebut diganggu dengan pembukaan tanah secara besar-besaran di kalangan rakyat.
“ Tolong jangan menganggu proses ini dengan adanya cubaan untuk menambah keluasan tanah yang ada sekarang kerana ia menyalahi peraturan sebelum ini. Kita merayu rakyat janganlah besar-besarkan tanah lagi. Tunggu sehingga proses ini kajian ini diselesaikan, “ tegas Kurup yang turut memberi jaminan penduduk kini boleh tidur dengan lena.
Beliau juga menyampaikan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri diatas keprihatinan untuk menyelesaikan masalah tersebut . Kampung-kampung yang terlibat dengan hutan simpan termasuk dalam kajian dan tinjauan tersebut.
Dalam pada itu Kurup turut menerima sebanyak 120 borang keahlian menyertai PBRS di kampung itu.
Beliau juga mahu ibubapa di kawasan luar Bandar tidak menjadikan ketiadaan sekolah di kampung mereka atau kedudukan sekolah yang jauh dari kampung sebagai alasan untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah.
“ Anak-anak di kawasan pedalaman harus diberikan pendidikan, ,mereka adalah harapan kita di masa hadapan, “ kata Kurup.

Sementara itu Ketua Masyarakat Kg Sanang, Lingkungan Sarah berkata, mereka amat berterima kasih diatas keprihatinan kerajaan untuk menyelesaikan masalah mereka yang secara tradisinya telah menghuni kawasan itu yang diistiharkan sebagai tanah hutan simpan.
“ Sebelum ini kami sering diganggu dan diberikan notis keluar dari tanah kami, sekarang kami merasakan kekuatan dan jaminan itu memberikan semangat kepada kami,”.

Thursday, May 21, 2009

RATU KAAMATAN DAERAH KECIL SOOK


Cik Sheron Olga Fidelis, 18 tahun ( tengah), diistiharkan sebagai Unduk Ngadau Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kecil Sook. Tempat kedua , Pamela Henry, 22, dan Deffanie Phillip, 21, keempat , Carol Yvne Akuang, 20, Murni Rumanas 22 dan Anastasia Gwen , 24.
Hadiah-hadiah disampaikan oleh Isteri Timbalan Menteri SumberAsli dan Alam Sekitar, yang juga Ahli Parlimen Pensiangan, Puan Sri Melinda Kurup dan Datin Maria Angin, isteri kepada Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga Wakil Rakyat Sook.
Seramai 11 peserta menyertai pertandingan itu yang mempamerkan pakaian tradisi suku kaum yang terdapat di Daerah Kecil Sook iaitu Dusun, Murut dan Lundayeh.

Friday, May 15, 2009

Kaamatan adalah lambang perpaduan : Kurup







Keningau : Perayaan Pesta Kaamatan secara turun temurun telah menjadi lambang perpaduan antara masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) dengan rakyat di negeri dan ianya memberi makna yang amat mendalam kerana perayaan tersebut turut dirasai dan diraikan oleh mereka yang bukan dari kalangan KDM.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup berkata,pesta Kaamatan juga telah menjadi jambatan untuk bermesra dan berkenalan dengan sanak-saudara serta berkenalan dengan kawan-kawan yang baru.
Kurup berkata demikian ketika merasmikan sambutan Pesta Kaamatan peringkat Kampung Kepayan Baru Apin-Apin disini. Turut hadir Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Ellron Angin yang juga Wakil Rakyat Sook, dan Naib Presiden KDCA , Rayner F.Udong
Oleh itu kata Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, sambutan Kaamatan adalah berasal dari sambutan moginakan yang biasa dilakukan golongan petani KDM selepas menuai padi sejak dari dulu, dan kini diraikan secara lebih besar-besaran dengan dinamakan Pesta Kaamatan.
“ Kaamatan seperti juga moginakan telah menyatukan rakyat kita dan memberi peluang kepada kita agar dapat bersama-sama mensyukuri hasil yang kita perolehi sepanjang tahun yang lalu,” ujar Kurup.
Beliau juga menyeru golongan belia agar menghayati makna sebenar pesta Kaamatan .
Kata Kurup, pesta Kaamatan yang menonjolkan budaya dan identity masyarakat KDM harus menjadi kebanggaan golongan muda, sekaligus mempertahankannya agar tidak pupus ditelan zaman.
Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) itu juga mengingatkan golongan ibubapa agar tidak mengabaikan penggunaan bahasa ibunda dikalangan generasi muda.

PEJABAT DAERAH DISARAN GUNA KPI




Keningau : Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup mahu kaedah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) turut dilaksana dan diamalkan di pejabat-pejabat daerah dan Daerah Kecil di negeri ini bagi mengukur prestasi perkhidmatan mereka.
Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata demikian ketika menghadiri Mesyuarat Pembangunan Dearah Kecil Sook disini.
Katanya, KPI boleh membantu mencari jalan penyelesaian dan menambahbaikkan system penyampaian yang diamalkan pejabat kerajaan kepada kaedah yang lebih baik.
“ Banyak halangan dan cabaran yang harus dihadapi oleh pejabat daerah khususnya yang berstatus Daerah Kecil dalam melaksanakan perkhidmatan mereka, oleh itu KPI dapat membantu menyelesaikan masalah – masalah tersebut,” kata Kurup.
Kurup berkata beliau memahami keupayaan Pejabat Daerah Kecil dalam melaksanakan peranan mereka. Namun katanya beliau yakin pelaksanaan KPI dalam jabatan kerajaan negeri mampu memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan dan rakyat khususnya.
“ Saya syorkan kaedah KPI ini diamalkan di pejabat Daerah dan pejabat Daerah Kecil kerana ia memberi kesan kepada peruntukan kerajaan,” kata Kurup.
Katanya melalui KPI, jabatan akan mengenal pasti masalah dan menyelesaikan masalah tersebut.
Di mesyuarat itu , Penolong Pegawai Daerah Kecil Sook, Peter Beaty memberitahu sebanyak RM8 juta telah disalurkan oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan bagi kawasan Sook. Peruntukan itu ternasuklah dari Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Pejabat Pembangunan Sabah, Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah dan Jabatan Ketua Menteri.
Dalam pada itu Peter, Kurup dan Wakil Rakyat Sook, Datuk Ellron Angin yang juga merupakan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar turut mengadakan lawatan di sekitar tapak tamu mingguan Pekan Sook.
Kurup mahu satu kajian dibuat mengenai keengganan penjual mingguan menggunakan bangunan yang disediakan oleh Majlis Daerah Keningau di Pekan Sook.




disediakan oleh Rozie Jumat


Friday, May 8, 2009

MP Syor pembelajaran agama bagi Bukan Islam di Tabika Kemas

Keningau : Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dibawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) disyorkan membuat pendekatan terbaru dengan memperkenalkan silibus mata pelajaran agama bagi pelajar yang bukan beragama Islam di kelas tabika. Pada ketika ini pelajar bukan Islam mempelajari pendidikan Sivik.

Mantan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Joseph Kurup berkata, syor itu selaras dengan konsep 1Malaysia, dan sesuai untuk dilaksana di kawasan luar Bandar kerana rata-rata pelajar Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) terdiri dari kalangan yang bukan beragama Islam dan pembelajaran mengenai agama mereka adalah amat penting di peringkat pendidikan awal.


Misalnya kata Kurup yang kini Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, di daerah Keningau dan Sook kebanyakan pelajar Tabika Kemas adalah di kalangan Bukan Islam, maka beliau syorkan agar pendidikan agama Kristian dilaksanakan.

“Sebagai contohnya jika di kawasan itu majoriti Bukan Islam, maka mereka diajar dengan agama mereka, begitu juga sebaliknya” kata Kurup ketika merasmikan program Hari Potensi Kanak-Kanak Kemas Peringkat Zon 4 Sabah ( Pensiangan, Keningau, Ranau, Tenom) di sini baru-baru ini.

Di kebanyakan kelas Tabika Kemas seperti di Sook atau Pensiangan kata Kurup , boleh dikatakan rata-rata pelajarnya adalah 99 peratus adalah pelajar yang beragama Kristian.

Kurup yang merupakan Ahli Parlimen Pensiangan berkata, keperluan untuk memberi mata pelajaran agama bagi pelajar bukan Islam di Tabika Kemas adalah wajar mengikut keadaan persekitaran.

“ Kita mahu Tabika Kemas terus releven kepada pelajar Bukan Islam , dan ianya memenuhi syarat dan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri,” kata Kurup.

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) itu berkata, suara akar umbi meminta beliau mengemukakan syor itu sebelum ini ketika masih berada di KKLW, namun beliau yakin pihak kerajaan terutamanya KKLW mengambil perhatian syor itu.

“ Ada beribu-ribu orang berada di belakang saya yang mahukan anak-anak mereka diberi pelajaran agama Kristian di kelas tabika Kemas. Saya bersetuju dengan mereka,” kata Kurup.

Namun katanya Tabika Kemas masih tetap menjadi pilihan ibubapa terutama di luar Bandar Cuma terdapat permintaan agar pembelajaran agama bagi bukan Islam dilaksanakan di kelas tersebut.

Beliau juga bersetuju bahawa Tabika Kemas telah memberi sumbangan yang amat besar dalam pembelajaran pendidikan awal kanak-kanak khususnya di kawasan pedalaman.

Golongan daif tidak dipinggirkan BN




Keningau : Pelbagai usaha dan tindakan diambil oleh kerajaan untuk membantu golongan miskin menikmati kehidupan yang lebih baik. Hasrat murni kerajaan Barisan Nasional (BN) ini adalah salah satu tanggungjawab yang mereka pikul untuk membantu mereka yang daif terutamanya dari kawasan luar Bandar.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Ellron Angin berkata, kerajaan tidak sama sekali mengabaikan tanggungjawab untuk membantu mereka yang daif, kerana itulah pelbagai program bantuan diberikan kepada yang layak.

Ellron berkata demikian ketika menyertai gotong royong membina rumah Moilin Gonsunal, seorang ibu tunggal yang mendiami sebuah pondok diperbuat dari bambu yang hampir rebah dan uzur di Kg Simbuan disini baru-baru ini.

Penderitaan dan kesusahan petani tiga orang anak itu mendapat perhatian Ellron ketika melawat ke kampung itu sebelum ini, dengan melawat sendiri Moilin yang tinggal di sebuah pondok yang daif.

Wakil Rakyat Sook itu berkata, perhatian kerajaan di Sook untuk membantu rakyat tidak pernah dilengah-lengahkan kerana apa yang paling penting ialah keselesaan rakyat luar Bandar diutamakan sepertii mana cogankata kerajaan negeri dan Persekutuan.

Kata Ellron seperti kes Moilin Gonsunal layak menerima bantuan dari pihak kerajaan , dan pihak beliau juga sering memantau dan memastikan golongan yang senasib dengan petani itu turut mendapat pembelaan. Antaranya kata Ellron ialah pemberian bantuan rumah untuk rakyat miskin.

Ellron yang juga Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) , rumah itu dibina secara gotong royong oleh Pergerakan Pemuda PBRS Sook dan penduduk di kampung Simbuan. Dimana peralatan seperti kayu dan papan adalah disalurkan melalui peruntukan wakil rakyat. Rumah itu kini telah didiami oleh Moilin anak beranak.

“Kita amat berterima kasih kepada kerajaan kerana memberikan bantuan seumpama ini, semoga bantuan ini akan memberi semangat kepada penerima untuk menikmati kehidupannya dengan lebih baik,” kata Ellron. Turut hadir bersama ialah Pemimpin Kemajuan Rakyat Sook, Charles Ikang yang juga Setiausaha Pemuda PBRS Pusat dan Ketua Pergerakan Pemuda Sook, Kahirin Bador.