Monday, December 7, 2009

Tiada Pengenalan Diri adalah ' musuh masa depan rakyat'

Rombongan dihantar menggunakan helikopter yang mengambil 45 minit satu perjalanan
Suasana program pendaftaran kad pengenalan dan surat beranak

Kurup memantau program pendaftaran dijalankan di SK.Saliliran, Pensiangan


Nabawan ( Daerah Kecil Pagalungan) : Ketiadaan dokumen pengenalan diri merupakan musuh besar kepada masa depan rakyat. Oleh itu rakyat negara ini harus sedar akan hakikat betapa pentingnya memiliki dokumen pengenalan diri seperti kad pengenalan dan surat beranak.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup berkata, kerajaan Persekutuan juga sangat serius dengan masalah tersebut, dan telah pun turun padang untuk membantu rakyat khususnya di kawasan Pensiangan yang diwakilinya.
Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata demikian kepada media selepas mengetuai rombongan Pendaftaran Surat Beranak dan Kad Pengenalan di Kg.Saliliran, dalam Mukim Pensiangan disini. Pendaftaran selama 2 hari itu dijalankan secara bersepadu oleh Unit Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara dengan kerjasama Pejabat Perhubungan Parlimen 182 Pensiangan. Turut sama dalam program itu ialah Imigresen , pasukan keselamatan , Jabatan Kebajikan dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).
Sehubungan dengan itu kata Kurup, pihak beliau akan terus berusaha memastikan rakyat tulen di kawasan itu mendapat dokumen pengenalan diri kerana ketiadaan dokumen penting itu menghalang mereka menikmati peluang-peluang yang diberikan oleh kerajaan, dan juga menjadi punca rakyat seperti pelarian di negeri sendiri.
" Gerakan pendaftaran dokumen ini akan diadakan dari masa ke semasa di kawasan Pensiangan, sebagai ahli Parlimen di kawasan ini saya mahu menyelesaikan masalah ini demi melihat kesejahteraan rakyat di kawasan ini yang dilabel sebagai kawasan termiskin di Sabah," ujar Kurup yang juga merupakan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). Kata Kurup dengan adanya kad pengenalan , rakyat boleh memohon pelbagai peluang yang diberikan oleh kerajaan seperti bantuan kebajikan, subsidi sebagaimana yang dinikmati pleh rakyat di negara ini.
Katanya, kekangan ketiadaan dokumen diri itu telah menjadi penghalang kepada rakyat di kawasan itu dari mendapat peluang yang disediakan oleh kerajaan. Menurutnya, beliau diberitahu bahawa terdapat kanak-kanak yang tidak memiliki surat beranak seterusnya menjadi punca kepada kegagalan untuk memasuki alam persekolahan.
Bahkan kata Kurup yang berada di Kampung Saliliran selama dua malam, berkata terdapat orang tua berusia 60 tahun ke atas tidak layak mendaftar untuk Bantuan Orang Tua (BOT) kerana masalah pengenalan diri , biarpun pada hakikatnya mereka adalah penduduk asli negara ini.
"Saya diberitahu , terdapat belia dari pedalaman yang tidak dapat diterima untuk bekerja kerana tidak memiliki kad pengenalan, lebih teruk lagi ada rakyat yang takut untuk keluar ke pekan kerana bimbang di tangkap oleh pihak berkuasa , " ujar Kurup.
" pelbagai kesengsaraan rakyat berpunca dari ketiadaan pengenalan diri , termasuklah hak untuk mendapat rawatan di hospital , oleh itu program seumpama ini akan diteruskan di kawasan-kawasan terpencil di Pensiangan," tambah Kurup.
Sempena program itu , JPN telah berjaya menyelesaikan 15 permohonan kad pengenalan dan 18 permohonan surat beranak. Manakala Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah mendaftarkan sebanyak 47 pendaftar baru dengan pemohon paling tua berusia 67 tahun.
Bagaimanapun bagi sijil cabutan lewat lahir tidak dapat diproses kerana ketiadaan kehadiran majistret disebabkan oleh cuaca buruk. Kg Saliliran mengambil masa dua hari dengan menaiki bot sebelum berjalan kaki selama 5 jam dari Kg.Kuala Sinapar, Pensiangan, atau melalui helikopter selama 45 minit.

25 tahun baru dapat Surat beranak


Nabawan : " Hari ini saya merasa amat gembira sekali kerana akhirnya saya mendapat surat lahir yang membolehkan saya memohon kad pengenalan," kata Robert Suun, 26 tahun. Beliau adalah diantara 28 pemohon surat beranak sempena program pendaftaran bergerak kad pengenalan dan surat beranak anjuran Jabatan Pendaftaran Negara (Unit Bergerak) dengan kerjasama Pejabat Perhubungan Parlimen 182 Pensiangan di Kg.Saliliran, Mukim Pensiangan, Daerah Kecil Pagalungan.


Dengan ditemani ibubapa serta adik beradik lain, Robert mengambil masa selama dua hari untuk ke Kg.Saliliran dengan menaiki bot kemudiannya berjalan kaki sejauh 10kilometer ( 6 batu) selama 5 jam. Mereka juga menempah bot dengan kos pengangkutan hampir RM1000 bagi dua perjalanan dari Pengkalan Kg Salong ke Pekan Pensiangan dan Ke Kg.Sinapar.


Robert yang dilahirkan di Kampung Kabu, Pensiangan meninggalkan perkampungan itu kerana mahu mencari kehidupan yang lebih baik. Bersekolah setakat di darjah 1 di SK Saliliran kerana tidak memiliki surat beranak untuk membolehkannya untuk meneruskan persekolahan.


"Saya telah berurusan sebanyak 4 kali untuk mendapatkan surat beranak tetapi tidak pernah selesai, sehinggalah hari ini saya berjaya mengurusnya dengan baik kerana adanya kehadiran ketua kampung dan kehadiran keluarga , kata Robert, yang menanam azam untuk mencari pekerjaan bagi menggantikan kos perjalanan yang ditanggung oleh keluarganya dalam membuat pengurusan tersebut.


Katanya, beliau merasa amat kecewa kerana sukar mendapat pekerjaan akibat tidak ada dokumen pengenalan diri. " Hendak keluar berjalan di pekan pun was was kerana bimbang di tangkap pihak berkuasa kerana tidak miliki dokumen diri, saya merasa sangat gembira hari ini," kata Robert.


Beliau juga tidak mahu menyalahkan bapanya kerana masalah dokumen pengenalan dirinya itu memandangkan ayahnya seorang buta huruf.

Wanita PBRS ucap thaniah penganjuran Seminar Wanita Berwibawa


Kota Kinabalu : Pergerakan EXCO Wanita Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mengucapkan thaniah dan syabas diatas penganjuran Persidangan Wanita Berwibawa yang diadakan disini Isnin. Dimana program itu melibatkan penyertaan wakil-wakil wanita dari pelbagai pertubuhan di negeri ini, dengan menampilkan penceramah dari kalangan wanita yang berjaya dalam bidang masing-masing.


Ketua Penerangan Wanita Exco PBRS, Rozie Jumat berkata, persidangan tersebut yang merupakan cetusan idea Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, telah menjadi inspirasi kepada golongan wanita terutamanya yang kurang berkeyakinan dan mempelajari pengalaman wanita Sabah baik dari sektor korporat, sektor awam dan politik.


"Saya sendiri berpeluang mempelajari pengalaman dan kisah wanita-wanita ikon yang rendah hatinya, tidak lokek berkongsi kisah mereka meskipun mereka telah berjaya dalam bidang masing-masing seperti Datuk Maznah Abdul Ghani, Datuk Christine Vanhoutten dan Rosmawati Hj.Lasuki. Mereka sebenarnya adalah ikon wanita Sabah ," kata Rozie.


Katanya, dalam kisah ikon politik wanita Sabah, Datuk Christine telah menceritakan kisah jatuh bangun beliau sebagai ahli politik, sehinggalah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara, dan tentang salah seorang pengarah syarikat kumpulan Yayasan Sabah, Rosmawati Hj.Lasuki yang sentiasa memperbaiki dirinya sehinggalah beliau belajar semula , dan kini adalah antara orang yang penting dalam kumpulan Yayasan Sabah.


"Seminar ini memberi keyakinan kepada golongan wanita yang biasanya mempunyai kebolehan dan keupayaan tetapi tidak menyerlah. Seminar ini mampu memberi motivasi kepada wanita yang kurang berkeyakinan berhadapan dengan cabaran terutamanya bersaing dengan golongan lelaki , juga memberi kekuatan atau menambah sinergi kepada wanita-wanita yang sememangnya mempunyai kebolehan memimpin," kata Rozie.


Selain dari itu Rozie berkata, persidangan seumpama itu mampu menjadi saluran bagi golongan wanita dalam menyuarakan pendapat serta pandangan, serta menjadikan persidangan itu sebagai suara akar umbi di masa akan datang, kerana peserta adalah terdiri dari pelbagai persatuan yang mewakili wanita.


Seramai lima orang wakil wanita PBRS mengambil bahagian di dalam Persidangan itu iaitu Flora Joseph (Naib Ketua Wanita), Rozie Jumat (Ketua Penerangan), Nemey Jonas ( Ahli Exco), Zainun Khan (Ahli Exco) dan Caroline Udang @ Norfadilah Abdullah (Ketua Wanita PBRS Liawan).


"Wanita PBRS akan menyampaikan maklumat yang kami perolehi dari persidangan ini kepada ahli-ahlinya," kata Rozie.