Wednesday, April 21, 2010

Sumber Asli sedia kaji Projek Telaga Bawah Tanah

Samjusi ( kanan) memberi penerangan tentang cadangan tapak bangunan koperasi
Kurup menerima borang keahlian sebanyak 80 dari cawangan baru Kg.Binuwau Tengah

Kurup disambut penduduk Kg.Binuwou Tengah


Keningau : Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sentiasa bersedia untuk mengkaji pengambilan air bawah tanah sebagai alternatif penduduk di kawasan luar bandar. Dimana telaga tiub bawah tanah mampu membekalkan air kepada keperluan penduduk, dan ianya banyak membantu ketika musim kemarau apabila sumber air dari pusat graviti berkurangan atau mengering.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup berkata, sebuah telaga tiub sedalam 100 kaki telah dilaksana di Kg.Binuwau Tengah, Sook, dan kini telah dinikmati oleh penduduk di kawasan itu. Projek seumpama itu adalah pertama kali dilaksana di kawasan itu melalui kementerian tersebut.

Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, sumber air bawah tanah melalui projek telaga tiub telah berjaya membantu penduduk mengatasi kekurangan air di musim kemarau yang baru lalu.

Sehubungan dengan itu katanya, kerajaan melalui Jabatan Geologi dan Mineral sentiasa bersedia untuk mengkaji keperluan tersebut untuk rakyat terutamanya di kawasan luar bandar.

Kurup berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Balai Raya dan Cawangan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Kg.Binowou Tengah disini.

Pengerusi Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg. Binuwau Tengah, Samjusi Samin berkata, penduduk di kampung itu sangat berterima kasih kepada kerajaan melalui Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang telah memberikan mereka projek tersebut.

Bekalan telaga tiub bawah tanah itu telah memberi manfaat kepada masalah kekurangan air yag dihadapi oleh penduduk di kampong tersebut.

“ Atas keprihatinan wakil rakyat kami telah berjaya mengatasi masalah kami, dan meskipun beliau (Kurup) sibuk dengan tugasan harian, tetapi jentera beliau (kementerian) begitu pantas sekali melaksanakan projek ini di kampung ini,” kata Samjusi.

Menurutnya, persepsi penduduk kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) telah berubah atas keprihatinan kerajaan melalui wakil rakyat dalam memenuhi keutamaan keperluan rakyat.

“Selama ini kami (rakyat) hanya menunggu pemimpin, tetapi itu tidak pratikal di zaman ini, pemimpin di peringkat kampung harus saling bekerjasama dan berinteraski dengan wakil rakyat, saya berterima kasih kerana permohonan dari kampung ini telah dipenuhi kerajaan melalui PBRS,” kata Samjusi. Kampung itu turut menerima bangunan baru balai raya,bekalan paip gravity, bekalan kerusi dan Kurup turut memberi komitmen untuk membantu membina sebuah bangunan untuk koperasi kampung itu.

Sempena majlis pemimpin bersama rakyat itu, Kurup yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menerima borang keahlian menyertai Barisan Nasional (BN) melalui PBRS sebanyak 80 keping. Ketua Cawangan PBRS Kg.Binowou Tengah, Jahidin Jamidin berkata penduduk di kampung itu memilih untuk menyertai PBRS kerana parti itu adalah landasan BN di kawasan tersebut dan telah memberikan keikhlasan untuk membantu rakyat.

Turut serta Ketua wakil dari Pejabat Daerah Kecil Sook, Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Pensiangan Vincent Lee dan Pergerakan Wanita Serta Pemuda PBRS N.37 Sook serta CDO Sook, Abdul Kunin Saili.