Wednesday, March 31, 2010

Persekutuan prihatin luar bandar : Kurup

Kurup serah bantuan enjin bot kepada salah seorang pemimpin masyarakat
di kawasan Mukim Pemuntarian, Nabawan.


NABAWAN : Kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam pembangunan dan menjaga kebajikan penduduk luar bandar. Sehubungan dengan itu rakyat di kawasan itu haruslah sentiasa seiringan dengan kerajaan yang membela dan menjaga mereka.

Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup berkata, berkat kestabilan dan keupayaan kerajaan Barisan Nasional (BN) pelbagai projek pembangunan yang dirancang dan telah disalurkan kepada rakyat.

Oleh itu kata Kurup yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, rakyat di pedalaman seharusnya tidak mudah terpengaruh dengan pembangkang sebaliknya mereka di minta untuk memberikan sokongan padu kepada kerajaan BN yang telah membuktikan keupayaannya.

Kurup berkata demikian di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kg.Ponontomon, Mukim Pemuntarian disini. Di majlis itu juga Kurup telah menyampaikan bantuan 5 enjin bot kepada pemimpin masyarakat di sekitar mukim itu.

Di majlis itu juga Kurup mengumumkan pembinaan bangunan rumah panjang di kampung itu.

Kurup berkata, rakyat pedalaman tidak pernah ketinggalan dalam pembangunan kerana kerajaan Persekutuan sentiasa ada membela dan menjaga kebajikan mereka.

Oleh itu kata Kurup yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), rakyat haruslah pandai menilai keberhasilan BN daripada menyertai perjuangan pembangkang yang sia-sia.

Thursday, March 18, 2010

Rakyat akan terus dibantu miliki Mykad dan Sijil Lahir : Charles




Keningau : Unit Khas Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara cawangan Sabah berjaya mendaftarkan 204 sijil kelahiran dan menyelesaikan sebanyak 35 pendaftaran Mykad sempena program selama tiga hari di Daerah Kecil Sook. Program tersebut dijalankan atas usahasama antara Unit Khas Bergerak JPN , Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat N.37 Sook dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Jurucakap JPN, Haji Noorzain Hj Tawi berkata, jumlah-jumlah tersebut adalah hasil dapatan dari program 2 hari di SK Dalit dan sehari di SK.Mansiat.
Dari jumlah itu sebanyak 15 permohonan mykad yang baru , lewat 12 kes dan 5 kes bagi gantian KP. Bagi sijil kelahiran sebanyak 203 sijil lewat dan 1 kelahiran biasa telah dikeluarkan oleh JPN.
Sementara itu , Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) N.37 Sook, Charles Ikang berkata, program selama tiga hari dengan dua hari di SK.Dalit dan sehari di SK.Mansiat, itu bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat di kawasan terpencil di kawasan pedalaman, malahan membuktikan masih ramai penduduk tempatan tidak mempunyai sijil kelahiran dan kad pengenalan yang perlu dibantu kerana dokumen diri adalah amat penting.
“Kita bekerjasama dengan Unit Khas Bergerak JPN untuk sama-sama turun padang memastikan rakyat kita mendapat kad pengenalan dan sijil lahir, melalui program ini, rakyat yang bermasalah dapat merujuk terus kepada pegawai-pegawai JPN untuk menyelesaikan masalah mereka,” kata Charles.
Menurutnya, tahap kesedaran penduduk memiliki dokumen diri di pedalaman terutamanya di kawasan terpencil masih rendah dan faktor perbelanjaan untuk ke pejabat yang terletak di Bandar Keningau memakan belanja yang besar dan masalah berurusan.
“ Bagi pihak wakil rakyat, kami mengucapkan berbanyak-banyak berterima kasih diatas keprihatinan Unit Khas Bergerak JPN yang bertungkus lumus membantu rakyat di kawasan ini yang sebahagiannya juga kurang memahami tugas para kakitangan JPN sehingga mereka memaki dan mencaci kakitangan JPN apabila ditemuduga, kata Charles.
Katanya beliau juga kesal dengan sikap ibubapa yang memperjudikan nasib masa depan anak-anak mereka dengan tidak memperdulikan soal sijil lahir anak mereka.
“Terdapat kes sebuah keluarga dimana seramai 7 orang anak mereka tidak memiliki sijil lahir, namun apabila di temuduga oleh JPN mereka mempersoalkan soalan JPN itu, dan marah-marah…sehinggalah terkeluar kisah dalam kelambu,” kata Charles.
Namun kata Charles beliau juga kesal kerana terdapat rakyat tempatan yang sanggup mengemukakan dokumen palsu untuk membantu rakyat asing mendapat dokumen Negara ini.
“Kita tidak mahu ini berlaku di masa akan datang,” kata Charles memberitahu kejadian itu berlaku di SK.Dalit dimana terdapat orang asing mencuba mendapatkan dokumen Negara ini dengan bantuan orang tempatan namun tidak berjaya.
Ini kerana kata Charles, pihak UPKR N.37 Sook dan PBRS akan meneruskan program itu di kawasan terpencil.
“Penangkapan tiga rakyat tempatan itu harus menjadi keinsafan kepada mereka yang mahu cuba menipu kerajaan,” kata Charles.

JABATAN HUTAN DIMINTA BERI PENJELASAN TERPERINCI KENAPA BERI NOTIS


Keningau : Jabatan Perhutanan diminta untuk memberi maklumat yang jelas mengenai keseriusan kerajaan dalam penjagaan kawasan hutan , bukannya memberi notis semata-mata yang hanya menimbulkan kemarahan rakyat di kawasan yang terbabit.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup berkata, rakyat yang menerima notis itu mendakwa mereka dihalau , tetapi sebenarnya ada diantara mereka tidak memahami kenapa mereka diberikan notis.
Oleh itu saya minta kepada Jabatan Hutan , bahawa memberikan notis semata-mata tidak akan membantu kerajaan menjaga kawasan hutan simpan.
Kurup berkata , Jabatan Hutan harus memanggil mereka (Rakyat) dan berikan kefahaman bahawa betapa pentingnya menjaga hutan, dan kerjasama rakyat juga amat penting.
Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, kerjasama antara rakyat dan kerajaan dalam menjaga hutan adalah amat penting sekali, kerana ia memberi faedah kepada rakyat secara keseluruhannya.
Katanya, hutan sangat berfaedah kepada kehidupan sejagat termasuklah punca bekalan air.
“Kamu juga masuk ke hutan untuk memburu , mencari makanan di hutan. Bayangkan jika kita tiada hutan , dimana kamu hendak cari makanan untuk keluarga , sumber air pun terganggu,” kata Kurup. Beliau merujuk kepada kebiasaan rakyat luar Bandar yang masuk ke hutan untuk memburu.
Kurup berkata demikian ketika berucap di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Kg.Seri Menanti disini.
Sempena majlis itu juga Kurup merayu agar penduduk berkerjasama dengan kerajaan berkenan dengan penjagaan alam sekitar
“ Saya meminta Jabatan Hutan memberi kesedaran kepada rakyat dengan lebih terperinci. Tunjukkan di dalam pelan setakat mana yang kita boleh usahakan, dan rakyat juga akan memahami setakat mana yang mereka boleh usahakan,” kata Kurup.
Di majlis itu Kurup menyampaikan bantuan berupa 30 keping zink untuk 36 keluarga.

PBRS intai DUN Apin Apin

Vincent bersama penyokong PBRS di Apin Apin

Keningau : Penduduk di kawasan Mukim Apin-Apin merayu agar cadangan persempadanan baru dengan mengujudkan DUN Apin-Apin diluluskan oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) . Ini berikutan penduduk di kawasan itu mengadu mereka masih jauh ketinggalan dalam pembangunan kerana kawasan tersebut (Mukim Apin-Apin) sering bertukar pentadbiran disebabkan persempadanan baru yang sering dibuat setiap 10 tahun.
Pengerusi Penganjur Majlis Ramah Mesra Taklimat Cadangan Persempadanan DUN Apin-Apin, Joseph Kunoi berkata, sehingga kini Apin-Apin , yang kerapkali bertukar pentadbiran di Keningau dan kemudian Tambunan , telah terabai.
“Apin Apin yang berada di tengah-tengah (antara Pekan Bingkor dan Tambunan ) sering ketinggalan , pertukaran pemimpin dan kerajaan tidak membawa perubahan kepada nasib penduduk disini,” kata Joseph yang berucap di cawangan PBRS Kg. Umpason.
“Nama sahaja pekan Apin-Apin tetapi kita tidak melihat perubahan di pekan ini sejak tahun 1934, yang ada hanyalah bangunan-bangunan usang yang ditinggalkan oleh kerajaan di masa yang lalu. Pengundi disini juga sudah penat dan letih kerana kita seperti bola yang dibawa ke sana sini setiap kali pengujudan kawasan baru. Pertemuan kali ke empat ini ( sebelum ini di Kg. Gasabon, Kg. Takad, Kg.Kukuangoh dan Kg.Umpason) bertujuan untuk meminta SPR agar meluluskan kawasan baru ini demi masa depan penduduk disini,” kata Joseph yang juga merupakan Bendahari PBRS Bahagian N.33 Bingkor.
Menurutnya Apin-Apin jauh ketinggalan dengan pekan-pekan di kawasan pedalaman.
“Sook yang dulunya sempit dan bergravel kini pesat membangun sehingga ke Sepulut. Bingkor juga kini maju dan mempunyai bangunan kedainya sendiri, tapi Apin-Apin tidak pernah berubah,”kata Joseph.
Sementara itu Naib Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Vincent Lee berkata, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) memperjuangkan agar kawasan Apin-Apin diberi perhatian dalam cadangan persempadanan baru itu.
“Penduduk dikawasan ini mahu kawasan baru untuk Apin Apin di wujudkan agar pembangunan seimbang dapat dilakukan di kawasan ini,” kata Vincent. Menurutnya, rakyat di mukim itu mahu kawasan itu diwujudkan dan mereka mahu dipimpin oleh pemimpin tempatan yang lebih memahami mereka.
“Kami (PBRS) mahu jalankan tanggungjawab dan membantu agar hasrat rakyat di kawasan ini dapat dimuktamadkan dan selepas itu terserahlah kepada rakyat untuk menentukan hala tuju kawasan ini, namun penduduk disini adalah penyokong kuat BN sejak dari dulu lagi,” kata Vincent yang mengadakan pertemuan dengan Penyelaras –Penyelaras PBRS Mukim Apin-Apin di Premis JC Enterprise yang turut dirasmikan pembukaannya di Kg.Umpason disini.
Vincent yang juga Naib Pengerusi Exco Pemuda BN Malaysia memberitahu pengundi bagi kawasan baru yang dicadangkan itu adalah sejumlah 9000 orang. Mukim Apin-Apin terletak di DUN Bingkor dalam Parlimen Keningau. Turut hadir sama , Ketua Wanita PBRS N.34 Liawan, Norfadillah Abdullah dan Exco Wanita PBRS Pusat.

Monday, March 8, 2010

ADUN SOOK sertai gotong royong bersama rakyat
















Keningau : Para petani di pedalaman kita sudah mulai mengetam padi , dan dijangka mereka akan habis menuai perayaan Pesta Kaamatan di daerah ini yang dipilih sebagai tempat pelancaran Pesta Kaamatan peringkat Negeri pada 1 Mei ini. Sebagai tanda permulaan gotong royong itu, satu acara gotong royong sebagai simbolik menjelang perayaan besar KDM ini dilancarkan di Kg.Linsudan bagi peringkat Zon Sebrang meliputi Mukim Trans Pegalan dan Mukim Ansip dalam kawasan DUN N.37 Sook.
Naib Presiden KDCA, Rayner F.Udong berkata, intipati sebenar perayaan pesta kaamatan adalah padi, dimana golongan petani dari kalangan masyarakat Kadazandusun dan Murut menghormati padi, yang kemudiannya dikenali sebagai pesta kaamatan pada hari ini. Sehubungan dengan itu katanya, sebaik sahaja mengetam padi atau mengomot biasanya diakhiri dengan satu majlis, yang dinamakan sebagai Pesta Kaamatan pada hari ini.
Beliau yang merupakan Pengerusi Penganjur gotong royong mengetam padi bersama pemimpin dan masyarakat sempena Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Zon Sebrang berkata, perpaduan jelas terlihat dan terbukti dengan penyertaan suku kaum KDM seperti Dusun dan Murut sama –sama bergotong royong mengetam padi di Kg.Linsudan yang turut disertai oleh Wakil Rakyat Sook, Datuk Ellron Angin , Ketua Anak Negeri dan Wakil-Wakil Ketua Anak Negeri, dari dua mukim yang sama-sama meraikan pesta kaamatan peringat zon sebrang pada 24hb April ini di Dewan Serbaguna Tan Sri Joseph Kurup, Kg.Linsudan, Keningau.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan terima kasih diatas penyertaan para pemimpin masyarakat yang menyertai gotong royong tersebut yang melibatkan para pemimpin dari Mukim Sebrang dan Mukim Ansip.
“Perpaduan yang erat antara pemimpin dengan masyakat Dusun dan Murut amat kuat di kawasan ini. Jelas terbayang kesamaan kita dan kerjasama sesama kita,’kata Rayner.
Katanya tidak hairan mengapa Sabah melangkah lebih awal dalam konsep 1Malaysia kerana suku-suku kaumnya juga sentiasa bersatu padu dan saling berkerjasama.
Terdahulu sebelum memulakan gotong rotong , Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Ellron Angin dibawa melawat sekitar Pusat Rekreasi Justinus Baharum Kg.Linsudan yang memiliki beberapa petak kolam ikan air tawar dan tempat santai yang boleh dijadikan salah satu pusat daya tarikan rekreasi di daerah ini. Turut sama Penolong Daerah Kecil Sook, Jasli Tindi dan Ahli Pergerakan Wanita PBRS N.37 Sook.

Tuesday, March 2, 2010

Program Pendaftaran Kad Pengenalan dan Surat Beranak di Mukim Dalit

Charles

Keningau : Tahap kesedaran penduduk di pedalaman mengenai kepentingan memiliki pengenalan diri masih rendah dan boleh menjejaskan masa hadapan jika tidak ditangani. Perkampungan yang jauh terpencil dan tidak berkemampuan dari segi kewangan untuk berurusan adalah antara punca ada diantara mereka tidak memiliki kad pengenalan mahu pun surat beranak di zaman dimana kad keterangan diri adalah sangat mustahak.
Menyedari keperluan itu, Pejabat Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat N.37 Sook telah mengambil inisiatif membawa Unit Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membantu rakyat di kawasan Mukim Dalit , agar dapat dibantu dalam memproses kad pengenalan diri serta surat beranak.
Pegawai Pemimpin Kemajuan Rakyat Sook, Charles Ikang berkata, sebanyak 154 permohonan dikemukakan untuk menyelesaikan 304 masalah kad pengenalan dan sijil kelahiran kepada Unit Bergerak JPN sempena Program Pendaftaran Kad Pengenalan dan Surat Beranak bersama UPKR N.37 Sook dengan kerjasama Biro Kebajikan PBRS di SK.Dalit.
Menurut Charles , program tersebut akan berjalan selama dua hari iaitu pada 8-9hb Mac ini bermula jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.
Charles berkata, surat-surat pekeliling telah diedarkan kepada badan JKKK masing-masing, dan penama yang tersenarai adalah diminta untuk datang pada hari berkenan.
“Sila bawa adik beradik dan saksi bagi memudahkan permohonan,” kata Charles. Antara agensi yang turut serta dalam program itu ialah Majistret, Mahkamah Anak Negeri dan Polis.
Menurut Charles , pihak UPKR berusaha untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh penduduk di mukim tersebut.
“Kita membantu membawakan Unit Bergerak ini ke Dalit agar memudahkan penduduk yang tinggal berhampiran untuk berurusan, kerana kita faham masalah mereka,” kata Charles yang juga merupakan Setiausaha Exco Pergerakan Pemuda PBRS selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai program berkenan.
Dalam pada itu Charles juga memberitahu bahawa JPN turut membawa bersama 40 keping kad pengenalan yang tidak dituntut oleh pemohon sejak tahun 2006 dari kawasan Pensiangan.
“Kepada mereka yang belum menuntut kad pengenalan mereka boleh berbuat demikian dengan membawa resit permohonan kad pengenalan itu semasa program ini dijalankan. Ambillah peluang ini kerana ia adalah bertujuan untuk memudahkan rakyat di kawasan yang terlibat,” kata Charles.

Jalankan tugas dengan amanah , RELA diingatkan


Keningau : Jalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan mengikut peraturan yang ditetapkan. Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Ellron Angin berkata demikian ketika merasmikan majlis pemasangan pangkat kepada Anggota Sukarelawan (RELA) di Kampung Lintuhun Baru, Sook disini.

Katanya, anggota RELA seperti juga anggota pasukan keselamatan yang lain, mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menjaga keamanan serta ketenteraman.

Sehubungan dengan itu kata Ellron yang juga wakil rakyat Sook, meminta anggota Rela sentiasa memainkan peranan mereka di peringkat akar umbi dan membantu pihak keselamatan.

Turut hadir di majlis itu ialah CDO Sook, Abdul Kunin Saili , Pegawai RELA Keningau, Venantius Masingga, Pegawai Rela Mukim Sook, Muhidin Mahali dan Datin Maria Angin.

KWAPM boleh mohon semula : Dr.Puad

Nasihat ... Dr.Puad beri kata-kata semangat kepada pelajar di sekolah pedalaman Pensiangan

Nabawan : - Para pelajar yang belum menerima bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) tetapi tersenarai dalam program e-Kasih dibenarkan untuk membuat permohonan semula.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, bagaimanapun mereka perlu mendapatkan pengesahan pihak sekolah atau ketua kampung bagi memastikan benar-benar layak menerimanya.
"Sebelum ini kita gunakan senarai e-Kasih tetapi masih ada yang tercicir daripada menerimanya. Justeru dalam mesyuarat baru-baru ini kita putuskan untuk tidak menggunakan sepenuhnya senarai e-Kasih bagi pemberian KWAPM," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena lawatannya ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Salung, di Nabawan, dekat sini, malam semalam.
Perjalanan ke sekolah tersebut mengambil masa kira-kira sejam dari pekan Nabawan menggunakan jalan balak.
Sementara itu Puad berkata, langkah tersebut akan membolehkan nasib pelajar miskin khususnya di luar bandar dapat dibela selain membolehkan mereka meneruskan persekolahan.
Mengenai permintaan supaya jalan-jalan balak yang digunakan untuk menghubungkan sekolah di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak dinaik taraf, beliau berkata, pihaknya tidak dapat berbuat apa-apa jika jalan itu tidak digazet sebagai rizab jalan.
"Jalan balak yang menghubungkan sekolah di pedalaman tidak digazetkan sebagai rizab jalan, oleh itu kementerian tidak dapat berbuat apa-apa kerana jalan itu milik konsesi balak.
"Kalau kita buat pun, ia akan rosak cepat kerana digunakan untuk membawa balak, tambahan pula kementerian tidak mempunyai kuasa menaik taraf jalan kerana ia di bawah bidang kuasa pihak lain," katanya.
Bagaimanapun kata Puad, bagi kemudahan lain, pihak kementerian akan berusaha menyediakannya termasuk projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang masih belum dilaksana.
Jelas Puad, jika projek-projek RMK-9 tidak sempat disiapkan, ia akan disenaraikan dan menjadi keutamaan dalam RMK-10.
"Kita memang ada kekurangan dalam Bajet 2010 tetapi kita akan kaji semula perkara itu memandangkan pada September nanti, kita akan menerima peruntukan tambahan," katanya