Thursday, June 10, 2010

PKR Sook nafi dakwaan Jabatan Hutan musnahan tanaman

Keningau : Pemimpin Kemajuan Rakyat N.37 Sook, Charles Ikang menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengenai terdapat tanaman dimusnahkan di kawasan Batu 16, Sook yang terletak dalam Hutan Mandalom disini. Sebaliknya tanah di kawasan itu telah dikeluarkan dari status hutan simpan yang diluluskan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui usaha Wakil Rakyat di kawasan itu.

Katanya beliau sendiri menghubungi Pegawai Perhutanan Daerah Keningau mengenai dakwaan tersebut bagi mendapatkan penjelasan.

“Jabatan Hutan menafikan mereka melakukan tindakan seumpama itu , tidak ada pemusnahan tanaman atau merosakkan tanaman sepanjang tahun ini dilakukan di Batu 16 seperti yang didakwa,” kata Charles. Tindakan seumpama itu adalah tidak masuk akal sama sekali kerana tanah di kawasan itu telah dikeluarkan dari tanah Hutan Simpan ujarnya.

Kita kesal dengan dakwaan pihak tertentu yang mengatakan terdapat tanaman padi diracun dan pokok getah ditolak oleh jentera oleh Jabatan Hutan.

"Wakil Rakyat telah berusaha untuk mengeluarkan tanah itu untuk kegunaan rakyat," ujar Charles. Namun katanya, di kawasan Sook masih terdapat perkampungan yang berstatus Hutan Simpan, namun mereka memahami peraturan dan dasar-dasar kerajaan.

Mengenai status Hutan Mandalom , Charles berkata berpandukan ketetapan dan ingatan yang diberikan oleh Datuk Ellron kepada penduduk di sekitarnya, hanya penduduk asal yang diberi keutamaan untuk memohon tanah , dan memberi amaran tidak melibatkan orang luar dalam permohonan tanah bagi menggelak masalah yang timbul di masa yang akan datang.

“Pengeluaran tanah itu adalah bukti komitmen kerajaan untuk membela nasib rakyat, kita bersyukur kerana kerajaan telah mengeluarkan sebahagian tanah itu untuk digunakan,” kata Charles.

Charles yang juga Setiausaha Pergerakan Pemuda Exco Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) berkata, kerajaan mempunyai perancangan sendiri untuk membangun tanah itu.

Kerajaan Negeri Sabah telah meluluskan mengeluarkan sebahagian tanah dalam Hutan Simpan Mandalom dan Sook Plain untuk kegunaan rakyat di kawasan Sook.

Wednesday, June 9, 2010

Program Sentuhan Kasih Petronas di Sook


Sook (Keningau) : Rakyat di kawasan pedalaman diminta untuk terus berusaha dan bersungguh sungguh mempertingkatkan taraf kehidupan dengan menggunakan faktor persekitaran seperti tanah.

Wakil Rakyat Sook, Datuk Ellron Angin berkata, rakyat di negeri ini dianugerahkan dengan pelbagai hasil bumi dengan tanah yang subur serta alam semulajadi yang begitu indah. Oleh itu katanya, terpulang kepada rakyat untuk menggunakan keistimewaan tersebut untuk menjana pendapatan keluarga.

Ellron yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sentuhan Kasih Petronas Sook disini.

“ Kita harus kreatif dan berpandangan jauh, janganlah kita hanya mengharapkan bantuan daripada orang lain atau kerajaan sahaja, kita sentiasalah kita berusaha dan mencari jalan bagaimana meningkatkan hasil pendapatan kita,” kata Ellron. Namun katanya, kerajaan sentiasa memberi tunjuk ajar dan bantuan kepada rakyat yang mahu berubah dan memajukan diri.

Di majlis itu juga Ellron menyeru kepada ibubapa agar memberi penekanan kepada pembelajaran anak-anak mereka, kerana dengan adanya pelajaran mampu mempertingkatkan taraf hidup seseorang.

Katanya banyak kemudahan disediakan oleh kerajaan dan Petronas juga misalnya memberikan biasiswa kepada pelajar-pelajar yang layak.

“Oleh itu saya mahu ibubapa di pedalaman menyahut cabaran ini untuk melihat lebih ramai anak-anak kita maju dalam pelajaran mereka ,” kata Ellron.

Pengurus Petronas Wilayah Sabah/WP Labuan, Aishah Otit berkata Majlis Sentuhan Kasih Petronas dilaksanakan di Daerah Kecil Sook pada tahun ini bersempena dengan Perayaan Pesta Kaamatan. Program itu juga adalah merupakan salah satu program kemasyarakatan badan koroprat itu kepada masyarakat di negeri ini.

Sempena program itu seramai 100 penerima sumbangan Sentuhan Kasih Petronas berupa tong gas, dapur dan beras dari sekitar Daerah Kecil Sook yang dikategorikan sebagai golongan miskin tegar. Turut hadir sama Penolong Pegawaiu Daerah Sook , Jasli Tindi.