Friday, December 31, 2010

Piala Presiden PBRS tarik 45 penyertaan, tahun hadapan hadiah dinaikkan

Pasukan Tumulai FC dari Nabawan juarai Piala Presiden PBRS

Keningau : Pertandingan bola sepak Piala Presiden PBRS akan diteruskan pada tahun hadapan berikutan sambutan yang amat menggalakkan pada Siri ke 3 tersebut.
Pengerusi Penganjur yang juga Ketua Pergerakan Pemuda PBRS .37 Sook, Kahirin Bador berkata, pihak penganjur menerima 45 penyertaan pasukan dari sekitar pedalaman sempena pertandingan itu.
“Atas sambutan hangat itu kami akan menaikkan hadiah yang lebih lumayan pada Siri ke 4 pada tahun hadapan,” ujar kahirin.
Dalam pada itu semasa merasmikan Kick Off sebagai tanda permulaan pertandingan Piala Presiden tersebut, Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup mahu agar lebih banyak pemain dari pedalaman diketengahkan di peringkat pusat kerana telah terbukti , kawasan itu telah banyak melahirkan pemain berbakat.
Sepanjang perlawanan itu diadakan pihak Pemuda PBRS turut mengadakan pendaftaran pemilih baru di kalangan belia.
Johan Piala Presiden PBRS ialah pasukan Tumulai B FC (Piala Pusingan, Piala Iringan, Medal & RM 800); Naib Johan: Biah Skim(Piala Iringan, medal, rm 600); Ketiga:. Inandung FC(piala iringan, medal, RM 300); Ke-empat pasukan Sefa FC (medal, rm100). Manakala SEFA FC memenangi kategori pasukan terbaik.

Menurut Kahirin, pada pertandingan Piala Presiden siri ke - 4 tahun hadapan , hadiah telah dinaikkan kepada :

Johan : RM3000

Naib Johan : RM2000

Ketiga: RM1000

Ke empat : RM500


Jangan jauhkan diri dari pemimpin : Timbalan Presiden PBRS

Timbalan Presiden PBRS, YB Datuk Ellron Angin sedang bersedia untuk merasmi tutup Mesyuarat Tahunan PBRS N.35 Melalap dan N36 Kemabong.Turut kelihatan Ketua Pemuda PBRS Pusat, Vincent Lee yang mempengerusikan mesyuarat gabungan itu.
Tanda kenangan dari Melalap & Kemabong untuk perasmi Mesyuarat Tahunan disampaikan oleh AMT PBRS Pusat yang juga Ketua Wanita Melalap, KAN Fatimah Hj.Ibrahim.

Lagu Parti PBRS dan lagu BN dinyanyikan bersama


Tenom : Bahagian Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) diminta untuk terus mainkan peranan dan tanggungjawab meskipun parti itu tidak mewakili kawasan berkenan (sebagai wakil rakyat), kerana PBRS adalah komponen Barisan Nasional (BN) yang harus menjaga kebajikan dan membawa perjuangan parti itu.
Timbalan Presiden PBRS, Datuk Ellron Angin berkata, kepimpinan pusat faham masalah yang dihadapi oleh bahagian-bahagian parti berkenan, namun katanya kepimpinan di peringkat bahagian diminta untuk sentiasa memberi kerjasama dan mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin BN di kawasan mereka.
Ellron berkata demikian ketika merasmi tutup Mesyuarat Agung Tahunan PBRS Bahagian Kemabong dan Melalap disini. Turut hadir Ketua Pemuda PBRS Pusat yang juga mempengerusikan mesyuarat itu, Vincent Lee dan EXCO Wanita Pusat, Rozie Jumat.
“Kita harus berganding bahu dengan wakil rakyat dan ahli parlimen kita, jalinkan persefahaman yang baik dengan mereka, “ kata Ellron yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.
Namun Ellron tidak menafikan terdapat ahli PBRS yang tersisih selepas pilihanraya meskipun parti itu telah memainkan peranan mereka sebagai Rakan Tidak Bermusim BN.
“Jangan jauhkan diri dari ADUN dan Ahli Parlimen, tapi ambillah peranan, jalinkan hubungan yang baik, saya yakin atas kerjasama dan kerja keras kita dalam memantapkan kekuatan BN dan mempejuangkan ahli kita (rakyat) di kawasan ini, kita akan lebih dihargai,” kata Ellron yang juga Wakil Rakyat Sook.
Sebagai contoh kata Ellron, PBRS di Lahad Datu mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin di kawasan itu, dan diberi kedudukan yang baik bagi menghargai sumbangan yang diberikan PBRS di kawasan itu meskipun parti itu dianggap kecil.
Menurut Ellron , meskipun parti itu dikatakan kecil namun perjuangan membela nasib rakyat adalah sama bagi mana-mana parti komponen BN.
“Perjuangkan kawasan kita dengan penuh keikhlasan, rakyat tahu menilai. Kita sendiri tidak tahu nasib kita kerana keadaan akan berubah,” ujar Ellron.

Pensiangan telah bersedia hadapi RMK10

bersama dengan penghuni rumah panjang kg.Silungai


Rumah panjang kg.Silungai yang diperbaiki


YB Tan Sri Joseph Kurup disambut penduduk


oleh Rozie Jumat
Nabawan : Kawasan Parlimen 182 Pensiangan kini telah bersedia menghadapi Rancangan Malaysia Ke Sepuluh (RMK10) bagi pusingan pertama tahun hadapan. Dimana Pelan Tindakan Pembangunan (blueprint) telah disediakan bagi memenuhi keperluan pembangunan di kawasan itu secara berperingkat.
Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup berkata, banyak cabaran dihadapi di Parlimen Pensiangan sepanjang tahun ini , dan yang paling mencabar ialah kejadian banjir besar yang melanda Mukim Pensiangan dan Mukim Pagalungan yang sebelum ini tidak pernah berlaku.
“Kita bersyukur kepada Tuhan yang maha kuasa kerana tidak ada nyawa terkorban, namun kita akui banyak kerosakan yang berlaku dan kehilangan harta benda,” kata Joseph kurup ketika merasmikan Majlis Pahinalusan Pahun Mawar Kg.Silungai ( Pembaikan Rumah Panjang Kg.Silungai) disini. Kurup yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar turut menghantar bantuan kepada penduduk yang terjejas menggunakan helikopter , disebabkan keadaan sungai yang berubah selepas bah dan menjimatkan masa.
Kurup berkata, selaku ahli parlimen di kawasan itu beliau sendiri melihat keperluan rakyat dan menyalurkan kemudahan serta pembangunan yang diperlukan.
“Di hadapan kita , iaitu tahun 2011 juga adalah tahun yang penuh dengan cabaran. Saya yakin berkat kerjasama antara kita semua, kita tidak akan ketinggalan,’ ujar Kurup.
Sementara itu Pengerusi Penganjur, Pendeta Bing Bakampil berkata, rakyat di kawasan itu terhutang budi kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan membuktikan komitmen mereka kepada rakyat.
“Salah satu contoh ialah pembaikan rumah panjang yang telah lama kita nanti nantikan dan kini kita sendiri melihatnya,”ujar Bing.
Oleh itu kata Bing, penduduk di kampung itu pasti akan membayar hutang budi itu pada pilihan raya yang akan datang.

"Kerajaan telah membuktikan komitmen dengan memberi projek serta kemudahan kepada rakyat oleh itu tidak ada sebab kenapa rakyat disini menolak BN apabila tiba masanya," kata Bing.

Sunday, December 19, 2010

Sekitar Rumah Terbuka Hari Krismas P.182 Pensiangan peringkat DUN N.37 Sook

Duit Krismas dari YB
Suasana meriah dikalangan pemimpin PBRS sempena acara pemotongan Kek Krismas.

Keningau : Rumah Terbuka Hari Natal Ahli Parlimen Pensiangan peringkat DUN Sook disini bukan sahaja disambut dengan meriah tetapi turut sama diraikan oleh masyarakat berlainan agama disini. Bermula jam 10 pagi pada ahad, Rumah Terbuka Hari Natal, yang dihoskan oleh YB Tan Sri Joseph Kurup, yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar terus menerima kunjungan sehingga ke petang. Turut sama menyambut tetamu ialah isteri, YBhg Puan Sri Melinda Kurup dan Wakil Rakyat Sook, Datuk Ellron Angin dan isteri Datin Maria Angin.Pelbagai acara diadakan sempena majlis tersebut yang turut dihadiri oleh rakan-rakan dari parti komponen Barisan Nasional (BN) sekitar pedalaman. Artis tempatan terkenal, Clarice J.Matha turut menghiburkan hadirin selain persembahan lain.YB Tan Sri Joseph Kurup juga turut memberi 'wang krismas' kepada kanak-kanak dari sekitar DUN Sook. Turut hadir di majlis itu ialah Penolong pegawai Daerah Kecil Sook, Jasli Tindi dan Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Pensiangan, Vincent Lee.sementara itu , Rumah Terbuka Hari Krismas peringkat N.38 Nabawan Ahli Parlimen Pensiangan akan diadakan pada 27hb ini di Dewan Masyarakat Nabawan, dianjurkan bersama Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) N.38 Nabawan dan Pejabat Parlimen Pensiangan.

(sumber gambar dari Datin Maria Angin)

Thanks Datin.

Monday, December 13, 2010

Pensiangan turut nikmati 1Azam








Nabawan : Usaha pihak kerajaan membasmi kemiskinan di kalangan penduduk adalah sentiasa berterusan dan pelbagai agensi kerajaan turut terlibat.
Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup berkata , selain E-Kasih kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita turut memberi sumbangan 1Azam kepada rakyat yang dikenalpasti.
“Inilah usaha berterusan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tidak henti-henti membantu rakyat yang layak dan memerlukan,” kata Kurup, yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar sempena Penyerahan 1Azam Mukim Pensiangan di Pekan Pensiangan disini. Turut sama Penolong Pegawai Daerah kecil Pagalungan, Sukiang Ensing.
Kata Kurup, beliau mempunyai tekad yang tinggi untuk melihat perubahan terutamanya membasmi kemiskinan tegar di kawasan itu.
“Dalam Konvensyen BN di Kuala Lumpur yang lalu, selaku Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) saya telah menyentuh mengenai kawasan Pensiangan, dan betapa pentingnya komitmen Kerajaan Pusat untuk memberi perhatian kepada kawasan ini,” kata Kurup.
Seramai 169 penerima 1Azam di kawasan itu menerima antara RM100 sehingga RM1000 seorang.
“Azam Akhiri Zaman Kemiskinan atau program 1Azam bukan retroik semata-mata, atau sekadar kata-kata, ia adalah usaha kerajaan membantu golongan miskin tegar berhadapan dengan cabaran,” kata Kurup.
Kata Kurup, kerajaan Persekutuan membantu rakyat dengan pelbagai cara oleh agensinya.

Sunday, December 12, 2010

Debaran Piala YB Tan Sri Joseph Kurup


Saksikan persaingan merebut Piala YB Tan Sri Joseph Kurup , Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) pada 18hb Disember ini, di Padang Penjara Keningau. Anjuran Pergerakan Pemuda PBRS N.37 Sook.

WKAN & KK N.37 Sook terima Watikah Perlantikan

Para penerima watikah perlantikan bersama YB Tan Sri Joseph Kurup dan YB Datuk Ellron,
ADO, Jasli Tindi dan Pemimpin Kemajuan Rakyat Sook, Charles Ikang (baju ungu)
Dulu PJKKK kini Ketua Kampung, En.Robert James terus mendapat kepercayaan penduduk kampung Sinua. Sudah lama berkhidmat dan penyokong kuat kerajaan PBRS-BN.

En.Mahadi Lakang, juga naik pangkat dari PJKKK Kg.Senaron kepada Ketua Kampung.


Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) dari kanan, Rusinin Muyat (Mukim Sebrang), Undan Usau(Mukim Ansip), Sokilim Andamat( Mukim Dalit) dan Sainggun Gadus (Mukim Tulid)



Rozie Jumat

Keningau : Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) dan Ketua-Ketua Kampung (KK) mempunyai peranan yang amat penting dalam memelihara adat istiadat, dan dibahu merekalah amanah bangsa harus digalas dengan penuh displin.
Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup berkata, Mahkamah Anak Negeri (MAN) diberikan kuasa oleh undang-undang berasaskan adat istiadat bagi memastikan budaya masyarakat terpelihara dan terjaga.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan WKAN dan KK di Pejabat Daerah Kecil Sook disini. Turut hadir sama Wakil Rakyat Sook, Datuk Ellron Angin dan Penolong Pegawai Daerah, Jasli Tindi; Pemimpin Kemajuan Rakyat Sook, Charles Ikang dan Ketua daerah Sook, Yunus Kimin.
Kurup yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata, fungsi ketua-ketua kampung adalah memastikan adat istiadat terus berakar umbi, kerana ditangan merekalah terletaknya cabaran dan tanggungjawab yang berat dipikul bagi memastikan bangsa Kadazandusun dan Murut mengekalkan budaya dan identitinya.
“Kita sayang dengan budaya kita, budaya beradat sopan inilah yang menjadi lambang kita di Sabah sehingga dijadikan contoh sebagai negeri yang mengamalkan konsep 1Malaysia,” kata Kurup.
Kurup melahirkan kebimbangannya terhadap tren masa kini kerana terdapat tanda-tanda berlakunya sikap kurang hormat dan perlakuan kurang sopan di kalangan orang muda, dengan kejadian yang berlaku di kawasan itu sejak akhir-akhir ini termasuklah kes bunuh diri yang disebabkan rasa malu seorang abang terhadap kejadian yang menimpa adiknya.
“ Ini adalah salah satu contoh yang tidak bersopan, dan peranan ini harus diambil oleh orang tua dan ketua kampung untuk menyedarkan,” ujar Kurup.
Katanya , jika adat dan budaya tidak dipelihara dan diamalkan maka KDM akan kehilangan , dan bangsa itu akan lenyap secara perlahan-lahan tanpa disedari.
Tambahnya surat perlantikan yang mereka terima adalah ibarat satu permit dan wakil rakyat sudah semestinya mahukan prestasi yang lebih baik.
“ Jangan pula jadi batu api, memarakkan kebencian terhadap kerajaan yang memerintah,” kata Kurup.
Kurup juga menegaskan bahawa, tidak kira dari mana komponen parti (BN) pemimpin itu, tetap dikenakan tindakan jika melanggar atau menjejaskan nama baik BN, di pihak PBRS, kami akan ambil tindakan dan membersihkan pemimpin dari parti ini katanya. Seterusnya beliau menggalakkan pemimpin di peringkat akar umbi untuk menambahkan keahlian parti.
Sementara itu Wakil Rakyat Sook, Datuk Ellron Angin mengingatkan bahawa jawatan yang mereka pegang adalah kepercayaan rakyat dan pemimpin.
“Perlantikan ini adalah satu tugas dan juga tanggungjawab. Kamu di undi oleh rakyat, jangan hampakan mereka dan pemimpin (wakil rakyat)”, ujar Ellron yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.
Katanya , ketua –ketua kampung berperanan untuk mempertahankan perpaduan, adat dan mempertahankan kedudukan BN di peringkat kampung. Seramai 4 WKAN dan 8 Ketua Kampung menerima watikah mereka di majlis tersebut.

Jaga nama baik RELA : Kurup

Kurup bersama dengan anggota RELA Mukim Pagalungan.
Bersama RELA dari Mukim Pensiangan

Juara Keseluruhan acara tahunan RELA dari Mukim Nabawan.


YB bersalaman dengan anggota RELA turut kelihatan Mohd Bakri.



Nabawan : Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) telah banyak memberi sumbangan dalam menjaga keselamatan persekitaran dan khidmat pasukan itu sangat dihargai.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kolonel Kehormat Tan Sri Joseph Kurup berkata, oleh itu anggota RELA harus berdisplin dalam menjalankan tugas dan menjaga nama baik pasukan itu.
Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata demikian di Majlis Penutupan Acara Tahunan RELA Daerah Nabawan dan Sesi Dialog. Turut hadir Major RELA , Mohd Bakri Baily.
Acara tahunan itu disertai oleh anggota RELA sekitar daerah mengikut mukim.
Kurup berkata, acara seumpama itu bukan sahaja merapatkan hubungan sesama anggota RELA dari mukim-mukim juga dapat berpeluang untuk bertukar-tukar pandangan dan fikiran.
“Kerajaan sememangnya sangat menghargai peranan yang dilakukan oleh RELA, dan saya sendiri sangat berterima kasih dengan pasukan ini yang saya serimg lihat di mana-mana majlis ,” kata Kurup.
Dalam pada itu Kurup juga meminta RELA sentiasa mempertingkatkan kemahiran.
“Kamu adalah benteng Negara , kamu juga bertanggungjawab dalam mengurangkan jenayah ,” kata Kurup.
Beliau juga menegaskan bahawa RELA masih releven dan masih dikehendaki oleh masyarakat.
“Saya ucapkan syabas kepada pasukan RELA kerana mereka bertugas dengan baik dan menjaga kita dalam mana-mana majlis yang dianjurkan,” kata Kurup.
Sempena acara tahunan itu RELA dari Mukim Nabawan telah memenangi secara keseluruhan, Mukim Pagalungan di tempat kedua dan Ketiga Mukim Pensiangan.

Monday, December 6, 2010

Dakwaan Pelajar IPT melacur, ambil tindakan segera : Wanita PBRS

Kota Kinabalu : Dakwaan terdapat pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) terlibat dengan pelacuran (bagi membiayai kos pendidikan) tidak seharusnya diperbesarkan kerana ia menjejas nama baik pelajar di IPT , yang mungkin di pandang serong terutamanya pelajar yang berasal dari luar Bandar dan berlatarbelakangkan keluarga bermasalah.
Ketua Penerangan EXCO Wanita Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Rozie Jumat berkata, adalah tidak adil melabelkan pelajar terlibat dengan kegiatan tidak bermoral itu , hanya disebabkan kegiatan tersebut dilakukan oleh sebilangan budak-budak nakal.
Pendedahan di akhbar baru-baru ini secara tidak langsung menjatuhkan martabat pelajar kita yang bertungkus lumus di dalam pembelajaran mereka malahan mereka akan dilabel sebagai ‘gadis jahat’ oleh masyarakat yang tidak tahu gambaran sebenar terhadap isu yang dibangkitkan, kata Rozie.
Katanya, PBRS juga menerima maklum balas dari ibu bapa yang resah dan bimbang dengan isu yang dipaparkan di media baru-baru ini.
“Jika ada kes pelacuran sudah tentu ada sindiket yang memainkan peranan di belakangnya, mereka patut ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan. Para pelajar ini adalah aset negara,” kata Rozie dalam satu kenyataan disini.
“Kami di PBRS sangat prihatin mengenai isu seumpama ini namun kami percaya pihak berkuasa akan mengambil tindakan yang sewajarnya,” ujar Rozie.
Bagaimana pun Rozie yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Wanita PBRS N.37 Sook berkata, pelajar mempunyai kemudahan pinjaman yang disediakan untuk menampung pembelajaran mereka seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang boleh diurus oleh pihak institusi masing-masing.
Oleh itu katanya, para pelajar IPT sepatutnya memanfaatkan kemudahan itu bagi tujuan pembelajaran mereka, dan berhemah didalam berbelanja.
Tidak seperti 10 tahun yang lalu, ramai anak-anak muda yang mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke universiti terpaksa memendamkan perasaan kerana ketidak mampuan keluarga menampung kos pendidikan di luar. Dan pelajar tempatan sebenarnya telah mendapat kelebihan kerana tidak perlu berbelanja dengan banyak kerana mereka belajar di IPT di negeri sendiri.
“Kami (PBRS) sentiasa menyokong usaha kerajaan membantu pelajar miskin namun kami percaya mereka (pelajar) diberi bimbingan dan panduan mengenai dimana mereka mendapat dermasiswa serta pinjaman. Jika kegiatan ini berlaku, ambil tindakan”.

PBRS komited basmi kemiskinan di P182 Pensiangan

Presiden PBRS mengharungi apa juga cabaran semata-mata untuk menemui rakyat
memantau masalah dan menyelesaikan masalah rakyat adalah tumpuan Joseph Kurup

agihan bibit getah salah satu cara pembasmian kemiskinan di kalangan rakyat


Kurup bangga dengan pencapaian penternak kambing di sepulut yang turut dibiayai menggunakan peruntukan parlimen



oleh Rozie Jumat (Utusan Borneo, 6h Disember 2010)
Nabawan: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) terus memainkan peranannya dalam memperjuangkan nasib rakyat di kawasan luar Bandar. Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup, seorang pemimpin yang bertanggungjawab yang sentiasa berusaha memaju dan membangunkan penduduk dan kawasan yang diwakilinya Parlimen Pensiangan. Kerja keras PBRS ini dapat dilihat dengan aktiviti turun padang yang dilakukan oleh Joseph Kurup, yang juga Ahli Parlimen Pensiangan.
Sempena Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kg.Solog, Mukim Pemuntarian, Joseph Kurup berkata bahawa usaha kerajaan komited untuk membasmi kemiskinan di kawasan itu. Antara lain yang bakal dilaksana ialah Projek Mesej di Sumatalun, Mesej Labang dan Fast Track di mana projek itu akan menyediakan peluang pekerjaan serta perumahan kepada rakyat yang terdiri dari golongan miskin.
“Usaha memajukan kawasan ini terdapat dalam Pelan Tindakan Pembangunan (Blue Print) yang telah kami rangka sejajar dengan RM10,” kata Joseph Kurup yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.
Katanya rakyat di kawasan Pensiangan telah melihat kesungguhan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memastikan kawasan itu tidak ketinggalan dalam pembangunan.
“Namun kes mahkamah melibatkan petisen pilihanraya telah melambatkan pembangunan di kawasan ini , sehinggalah mahkamah memutuskan kemenangan BN disini maka pembangunan dan perancangan dapat dilaksana,” kata Joseph Kurup.
Hubungan baik Joseph Kurup dengan pemimpin persekutuan juga telah berjaya membawa menteri dan timbalan menteri ke kawasan itu untuk melihat sendiri masalah rakyat. Antaranya Kementerian Perdagangan Dalan Negeri , Koperasi dan Pengguna , Datuk Shahrir Samad (mantan menteri KPDNKK), Menteri Kerja Raya, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Timbalan Menteri Pelajaran. Hasilnya, Penduduk di kawasan Daerah Kecil pagalungan telah menerima bantuan subsidi minyak dan barang-barang terkawal, jalan raya Pagalungan menerima peruntukan RM2 juta untuk pembaikan, dan pembinaan sebuah sekolah menengah dan asrama di Pekan Pensiangan.
Atas usaha Joseph Kurup dan PBRS yang menemui Perdana Menteri , sebuah Klinik Kesihatan Jenis 4 bernilai RM23 juta kini sedang dibina dan dijangka siap pada Februari 2011. Bahkan loji air dari Kg. Mosopoh bakal menyelesaikan masalah bekalan air sehingga ke Pekan Nabawan menjelang tahun 2012. Projek itu bernilai RM24 juta. Sementara itu pembaikan rumah-rumah panjang di Nabawan sehingga setakat ini telah membelanjakan RM2 juta.
Usaha-usaha memaju dan membangunkan kawasan ini tidak akan tercapai tanpa sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) secara berterusan. Wakil Rakyat Sook dan Wakil Rakyat Nabawan bersama dengan Ahli Parlimen Pensiangan sentiasa memikirkan dan merancang untuk memastikan rakyat di kawasan ini menikmati kesejahteraan dan menaikkan taraf hidup mereka dibawah kempimpinan BN.
Peruntukan tambahan kepada DUN juga akan merancakkan lagi pembangunan di kawasan ini.
“Saya telah melihat kebaikan BN dan saya akan terus menyokong BN,” kata, Sikin seorang ahli parti pembangkang yang bertindak membawa 28 orang ahli PKR di Kg.Tompusison menyertai BN baru-baru ini.
Namun , tidak dinafikan masih banyak lagi kerja-kerja yang harus dilaksana dan diambil perhatian oleh wakil-wakil rakyat di kawasan ini, terutamanya mengenai dengan masalah tanah dan jalan raya. Namun seperti yang dirancang, pembaikan serta penaikan taraf jalanraya telah dicadangkan dalam RMK10 begitu juga dengan bekalan air dan bekalan elektrik . Dengan kebaikan dan perhatian kerajaan ini, akan memakmurkan rakyat dan meningkatkan taraf ekonomi rakyat di kawasan Pensiangan. Projek - projek jalan raya di kawasan ini sebenarnya banyak yang telah diperbaiki, namun tidak dinafikan masih ada yang memerlukan perhatian. Ianya memerlukan kesabaran semua pihak.

Sunday, December 5, 2010

Piala YB Tan Sri Joseph Kurup masih dibuka sehingga 18hb Disember


Keningau : Penyertaan Pertandingan bola sepak 9 sebelah Piala YB Tan Sri Joseph masih dibuka sehingga 18 Disember ini. Sehingga setakat ini pihak penganjur telah menerima 35 pasukan dari sekitar pedalaman.
Pengerusi Penganjur, Kahirin Bador berkata , penyertaan masih dibuka untuk memberi peluang kepada mana-mana pasukan yang berminat menyertai pertandingan itu.
Beliau yang juga Ketua Pemuda PBRS Sook berkata, program yang sepatutnya diadakan pada 4-5 Disember telah ditunda ke tarikh 18hb, bagi memberi laluan kepada ahli-ahli yang terlibat dengan Konvensen Barisan Nasional (BN) di Kuala Lumpur. Pertandingan itu dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda PBRS N.37 Sook dengan kerjasama Pejabat UPKR Sook dan Pejabat Perhubungan Parlimen Pensiangan.
Katanya, pasukan dari Tenom, Nabawan, Keningau dan Sook telah mengesahkan penyertaan mereka.
“Kami mengajak mana-mana pasukan yang mahu bersaing merebut Piala YB Tan Sri Joseph Kurup untuk menghantar menyertai pertandingan ini yang menyediakan hadiah lumayan,” kata Kahirin.
Pengerusi Penganjur, Kahirin Bador berkata, kejohanan itu terbuka kepada mana-mana pasukan bola sepak lelaki di pedalaman yang berminat.
Kejohanan Siri 3 itu juga menawarkan hadiah-hadiah menarik untuk dimenangi kepada para pemenang.
Kejohanan Siri ke-3 kali ini menawarkan Johan : Piala Pusingan, Piala Iringan, Medal, Wang Tunai RM800, Kedua: Piala Iringan, Medal, Wang Tunai RM600, Ketiga : Piala Iringan, Medal, wang tunai RM300, sementara tempat ke empat wang tunai RM100.00. Yuran penyertaan RM100 bagi setiap pasukan.
Turut dinilai sempena kejohanan itu ialah Pasukan Terbaik, Penjaring Terbanyak dan Pemain Terbaik.
Menurut Kahirin, sistem permainan kejohanan itu bergantung kepada jumlah penyertaan pasukan dan menggunakan Undang-Undang FAM serta FIFA.
Pasukan yang berminat bolehlah mendapatkan borang penyertaan di Pejabat UPKR (Ramian Ayub) dan Robert Lunau (Pejabat Parlimen Pensiangan). Untuk keterangan lanjut bolehlah menghubungi, Kahirin (013 8685004), Ramian (0195338240), Jubilin (019 8690656), Linus (017 8335369), Rahiman (0148627610) atau Robert ( 0198729656).Cabut undi akan diadakan pada 18 Disember 2010 (Sabtu) bersamaan hari Jumaat jam 8.00pagi di Padang Penjara,Keningau.
Tambah Kahirin, objektif pertandingan itu ialah untuk membudayakan sukan bola sepak dan asas perpaduan, selain sebagai aktiviti tahunan pergerakan tersebut.