Monday, May 24, 2010

Projek loji Air Nabawan siap tahun 2011

Nabawan : Penduduk di daerah ini akan menerima bekalan air menjangkau 20 kilometer dari Sungai Mosopoh menjelang tahun 2011. Ini berikutan pelaksanaan Projek Loji Air Nabawan yang sedang giat dilakukan sejak December 2009. Projek itu akan memberi bekalan air sepenuhnya kepada sebanyak 7 buah kampong dalam jangkauan pembekalan tersebut.
Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup berkata, projek Loji Air Nabawan itu akan memberi bekalan air kepada kampong seperti Kg.Pemuntarian, Kg.Takul, Kg.Malampoi, Kg.Saupi, Kg.Tatagas, Kg.Labung dan Kg.Mospoh.
Kurup yang juga merupakan Mantan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, berkata, projek tersebut memakan belanja sebanyak RM24 juta, dan projek tersebut sedang berjalan dengan lancar.
“Projek seumpama ini sememangnya sangat penting kepada rakyat yang memerlukan bekalan air bersih, kampong-kampung ini adalah kampong yang jauh dari pekan Nabawan, dan kita berharap dengan adanya kemudahan ini akan memberi manfaat kepada penduduk di sekitarnya untuk mendapat air bersih,” kata Kurup.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar itu berkata demikian kepada media selepas menghadiri mesyuarat tindakan daerah disini.
Menurut Kurup, pihak beliau sentiasa berusaha mendapatkan projek-projek yang sangat diperlukan oleh rakyat, termasuklah projek bekalan air bersih atau paip gravity bagi memastikan rakyat memperolehi sumber air bersih khususnya di kawasan Pensiangan.

Cornelius terajui PBRS N.34 Liawan




Keningau : Kesetiaan dalam parti adalah sikap terpuji yang menunjukkan ketabahan dalam perjuangan politik. Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) , Datuk Ellron Angin berkata, PBRS menghargai kesetiaan ahli-ahlinya, walaupun di kawasan itu , parti tersebut tidak mempunyai kedudukan (wakil rakyat) tetapi terus bersama menyokong perjuangan Barisan Nasional (BN).
Ellron berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penstrukturan Semula PBRS N.34 Liawan di sebuah hotel disini. Turut bersama Setiausaha EXCO Pemuda PBRS Pusat, Charles Ikang dan Ahli Majlis Tertinggi PBRS, Christopher Musa serta beberapa pemerhati dari PBRS N.37 Sook.
Ellron berkata, usaha untuk menstrukturkan semula Bahagian PBRS Liawan akan lebih memperkasa dan menguatkan BN di kawasan itu.
“PBRS menghargai kesetiaan para penyokong, kita juga mempunyai peluang dan kita ada kedudukan dalam kerajaan,” ujar Ellron. Apa yang paling penting kata Ellron yang juga Wakil Rakyat Sook, parti tersebut haruslah diperkukuhkan , dan pemimpinnya harus berkhidmat kepada rakyat dan ahli-ahlinya.
Menurut Ellron, PBRS juga mengemukakan cadangan penambahan kerusi dan keahlian parti itu juga semakin bertambah di seluruh negeri.
Sempena penyelerasan semula itu, Cornelius Lasim dilantik sebagai Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian , Petrus Indi Raymond dengan Naib 1 Hutton Minggit dan Naib II, Mamit Suandi. Sementara AJK induk yang dipilih ialah Lasil Lotos, Jani Badak, Jominol Paidi, Jamil Ariffin dan Caroline Udang @ Norfadillah Abdullah.

Tuesday, May 18, 2010

Ratu Unduk Ngadau Daerah Kecil Sook 2010

Ratu Unduk Ngadau Sook … Bernadette (tengah) diapit oleh Suzila (kanan) dan Isabella (Kiri)

Keningau : Jawaban bijak seorang pelatih guru mengenai menangani masalah social di kalangan belia masakini berjaya menobatkannya sebagai Ratu Unduk Ngadau Daerah Kecil Sook sempena Pesta Kaamatan peringkat daerah itu baru-baru ini.
Bernadette Fontaine Binagua, 21, dari Kg.Susulat, Sook berjaya mengenepikan saingan 18 peserta yang lain. Namun ramai yang berpendapat tahun ini peserta-peserta Unduk Ngadau Daerah Kecil Sook terdiri dari peserta yang berkualiti dan mempunyai ketrampilan masing-masing. Menyebabkan peserta menggunakan kelebihan dan kebijakan masing-masing untuk menarik markah.
Bernadette, pelatih di Maktab Perguruan Keningau , berkata kerajaan harus mengikut rentak belia masakini dengan membenarkan tarian shuffle dikalangan remaja dan menyediakan grafifi untuk remaja meluahkan perasaan mereka bagi mengelakkan vandalism.
Tempat kedua dimenangi oleh Suzila Amik, 19, dari Kg.Tulid Sook dan Ketiga Isabella Dominikus, 21, dari Kg.Susulat, Sook. Pemenang ditangga ke empat hingga ke tujuh Sindeylailah Obreen,23, Lennytah Dainis, 22, Morney Chong dan Nelly Cleophas Gorotud, 23.
Hadiah-Hadiah disampaikan oleh Isteri Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar yang juga Ahli Parlimen Pensiangan, Puan Sri Melinda Kurup dan Datin Maria Angin, Isteri Kepada ADUN Sook yang juga Pembantu Menteri Pelancongan , Kebudayaan dan Alam Sekitar.

Monday, May 17, 2010

Sook banyak berubah dari kawasan terpencil kepada kawasan membangun : Kurup

Kurup melawat pameran meskipun dalam keadaan hujan. Lawatan itu beri semangat
kepada pengendali pameran dan penjual semasa perayaan
.
Keningau : Daerah Kecil Sook kini semakin membangun dan telah mengalami perubahan yang ketara sejak tahun 1985. Malahan daerah terpencil itu kini memiliki pusat pentadbiran sendiri dan adalah sebuah daerah yang sedang berkembang.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup berkata, dari tahun ke tahun daerah Kecil Sook sentiasa menerima perubahan dan pemimpin juga sentiasa menitikberatkan keperluan dan keutamaan rakyat.
Kurup yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) berkata demikian ketika berucap merasmikan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kecil Sook di Dewan Masyarakat Sook disini. Beliau yang juga mantan ADUN Sook mengingatkan rakyat bahawa Barisan Nasional (BN) melalui Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) telah bekerja keras memastikan kesejahteraan rakyat di kawasan itu terjaga.
Kata Kurup usaha kerajaan untuk memberi bekalan elektrik kepada penduduk kawasan luar bandar itu juga diteruskan dan pada tahun ini sebanyak 21 buah kampung akan menerima bekalan elektrik. Kawasan Sook yang berbukit-bukit serta kampung yang berjauhan antara satu yang lain bukan penghalang kepada pembekalan elektrik itu untuk tiba ke kampung-kampung yang terpencil.
Menurut Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan, sebanyak 120 buah kampung terdapat di Sook damn setakat ini sebanyak 74 buah kampung sudah mendapat bekalan elektrik.
“ Projek pembekalan akan diteruskan secara berperingkat sehingga kawasan Sook menerima bekalan elektrik sepenuhnya,” kata Kurup. Turut hadir sama ialah Wakil Rakyat Sook, Datuk Ellron Angin yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar serta Penolong Pegawai Daerah Kecil Sook, Jasli Tindi. Pembekalan itu termasuk bekalan air bersih.
Oleh itu kata Kurup, adalah tidak benarlah kononnya kepimpinan kami (PBRS) mengecewakan dan kononnya tidak ada pembangunan di kawasan tersebut.
Kata Kurup, kerajaan juga telah banyak membantu rakyat seperti golongan kurang upaya dan warga emas
“Kami berusaha untuk memberi rumah kepada orang-orang yang tidak ada kemampuan untuk memiliki rumah. Tahun lepas sebanyak 71 orang mendapat rumah secara percuma melalui Projek Bantuan Rumah (PBR) dan tahun ini sebanyak 50 unit akan disalurkan,” kata Kurup.
Atas keprihatinan Kerajaan juga seramai 1,072 golongan kurang bernasib baik termasuk bantuan orang tua dan ibu tunggal setakat diberikan.
“Masa perayaan atau dalam masa apa jua pun kami selaku pemimpin sentiasa mengingati golongan ini , dan berharap sangat agar mereka turut sama bergembira bersama dalam perayaan seperti ini,”. Ujar Kurup dan meminta rakyat di kawasan itu sentiasa seiringan dengan kerajaan agar perancangan pembangunan di daerah itu berterusan.

Saturday, May 8, 2010

Sertai Pertandingan Unduk Ngadau Daerah Kecil Sook

AJK Penganjur

Keningau : Pertandingan Unduk Ngadau sempena perayaan pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kecil Sook akan diadakan pada 16 Mei ini. Sehubungan dengan itu pertandingan itu kini dibuka kepada gadis-gadis KazadanDusun Murut atau Sino dan mestilah warganegara.

Timbalan Pengerusi Penganjur Jawatan Kuasa Pertandingan Unduk Ngadau, Norhayati Hamzani berkata, peserta haruslah berumur 18 tahun ke atas pada 31 Mei dan masih bujang.

“Peserta juga harus telah menetap dalam kawasan pentadbiran Daerah Kecil Sook sekurang – kurangnya enam bulan,” kata Norhayati.

Menurutnya raptai dan taklimat akan diadakan pada 10 Mei 2010 (Isnin) ini di Dewan Masyarakat Sook bermula jam 9.00 pagi.

“Kami mengalu-alukan penyertaan penduduk di Daerah Kecil Sook untuk sama-sama meraikan pesta kaamatan dengan memperkenalkan kebudayaan kita kepada pengunjung,” kata Norhayati.

Menurutnya undang - undang terbaru dari Pusat Jawatan Kuasa Pengajur Unduk Ngadau telah memaklumkan bahawa gadis-gadis Muslim Bumiptera ( ibu atau bapa ialah dari KDM) juga kini layak untuk menyertai pertandingan tersebut.

" Oleh itu bagi pihak jawatankuasa Penganjur kami alu-alukan penyertaan mana-mana gadis Bumiputera yang terdiri dari Bukan Islam dan Islam untuk serta pertandingan ini," kata Norhayati.

Borang-borang penyertaan boleh didapatkan di Pejabat Daerah Kecil Sook dan di Pejabat Perhubungan Parlimen Pensiangan. Maklumat lanjut bolehlah menghubungi Hilda - 087 365911/912, Noranizah 0168361317, Rozie – 013 8775311 dan Jaulah 019 5806526.

Berani sahut seruan kerajaan : Kurup







Keningau : Rakyat di kawasan luar Bandar harus berani mengambil bahagian atau mengambil peluang atas bantuan dan seruan yang disediakan oleh kerajaan . Ini kerana wakil rakyat dengan bantuan agensi-agensi kerajaan sentiasa memberi tunjuk ajar serta memberi khidmat nasihat untuk mereka yang benar-benar serius menyahut seruan kerajaan.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup berkata, pelbagai peluang dibuka oleh kerajaan kepada golongan berpendapatan rendah khususnya di kawasan luar Bandar untuk mendapat pembiayaan modal. Dimana modal itu boleh digunakan untuk memajukan diri mereka dengan perniagaan , pembuatan, penternakan dan pertanian.

Kurup yang juga merupakan Ahli Parlimen Pensiangan berkata demikian di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena Perasmian Pusat Amanah Ikhtiar (AIM) Malaysia Sinar Kasih di Kampung Kuala Puntih disini. Turut hadir sama ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar , Datuk Ellron Angin yang juga merupakan Wakil Rakyat Sook dan Pengurus AIM Cawangan Keningau, Zulkifli Ahmad.

Oleh itu kata Kurup rakyat yang berhadapan dengan masalah pembiayaan , mereka tidak perlu segan kerana terdapat banyak agensi yang boleh membantu seperti AIM , malahan pembayaran serta syarat juga adalah munasabah.

“Wakil rakyat beri tunjuk ajar terhadap peluang itu dan terserah kepada rakyat untuk meneroka atau ambil bahagian, sesiapa pun wakil rakyat sememangnya mahu melihat kemajuan rakyat di kawasannya,” ujar Kurup yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) .

Beliau turut memberi nasihat kepada peserta agar menggunakan pinjaman dengan bijaksana.

“Kebijakan dalam pengurusan pasti akan memberi keuntungan , dan ianya juga boleh digunakan untuk menambah modal ,” ujar Kurup.

Beliau juga memberi galakan kepada rakyat agar meniagakan tanah mereka dengan hasil-hasil pertanian atau penternakan, yang boleh memberi sumber pendapatan secara berpanjangan.

Sempena majlis itu juga ahl-ahli AIM membuat persembahan tarian tradisional suku kaum Lundayeh dan suling.

Sementara itu Pengerusi Pusat AIM Sinar Kasih, Mariam Sakai berkata , kebanyakan peserta AIM di pusat baru dibuka itu ialah terdiri dari golongan wanita yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Menurutnya, sebelum cawangan itu dibuka mereka hanya terdiri dari 5 orang peserta yang menumpang dengan pusat Kg.Membulu. Namun, berkat kejayaan peserta sebelum ini yang baik , maka berjaya menarik minat peserta dari kampung Kuala Puntih untuk menyertainya sehinggalah tertubuhnya sebuah pusat AIM di kampung itu.

“Kami amat bersemangat , dan kami mendapatkan pembiayaan AIM untuk membangunkan tanah dengan getah serta kelapa sawit, ada yang menanam jagung dan padi selain peruncitan dan ternakan,” kata Mariam.

Banjir Besar di Pensiangan












Gambar sumber : Cik Ruhaidah Kadir (Klinik Kesihatan Pensiangan)
En.Seri Lumorog ( Pejabat Daerah Kecil Pagalungan)
Nabawan : Banjir besar di Daerah Kecil Pagalungan menyebabkan 9 buah rumah hanyut termasuk rumah seorang guru di Pekan Pensiangan. Banjir besar itu juga turut menjejaskan kuarters kakitangan Klinik Kesihatan yang dinaiki air, dan memaksa penghuninya naik ke atas bukit demi keselamatan mereka.
Ruhaidah Kadir dari Klinik Kesihatan Pekan Pensiangan berkata, air mulai naik di kuarters kakitangan pada jam 2 pagi pada khamis.
"Dalam keadaan cemas kami mulai paking barang , namun orang kampung berteriak kepada kami agar segera naik ke atas bukit , " kata Ruhaidah.
Menurutnya banjir besar itu adalah yang paling terburuk pernah dialaminya sepanjang bertugas di Pensiangan.
"Orang kampung disini berkata banjir ini adalah yang terbesar dan pernah berlaku pada tahun 1970," kata Ruhaidah.
Seri Lumorog dari Pejabat Daerah Kecil Pagalungan berkata, setakat ini pihak mereka menerima laporan sebanyak 9 buah rumah dihanyutkan banjir dari Mukim Pensiangan, jeti hanyut serta stor-stor minyak yang kebanyakannya berada di tebing sungai.
"Kami belum dapat memastikan jumlah rasmi kemusnahan akibat banjir ini kerana daerah ini terdiri dari dua mukim iaitu Mukim Pagalungan dan Mukim Pensiangan, dimana rumah-rumah atau perkampungan berada di tebing sungai dan kita hanya dapat berhubung dengan menggunakan bot," kata Seri.
Di Pekan Pagalungan juga menyaksikan sebuah jeti berhampiran dengan Pejabat Imigresen hanyut, sementara surau daerah itu hampir ditenggelami air.
"Tiada laporan kehilangan nyawa namun kemusnahan besar dan kerugian berlaku, termasuk kerosakan harta-harta kerajaan," kata Seri.
Sungai Tahol di Pensiangan dan Sungai Loggongon di Pagalungan merupakan jalan utama di Daerah Kecil Pagalungan.
Ketua Anak Negeri Mukim Pensiangan, Zainudin Ampat Tahol, melaporkan sebanyak 9 buah rumah hanyut, kerosakan 5 buah paip graviti dan 7 buah jambatan.
Bagaimanapun, laporan diatas tidak termasuk kampung-kampung yang lain kerana setakat ini hanya sekitar Pekan Pensiangan sahaja. BAnjir tersebut berlaku pada 5.5.2010 pada jam 4.00 pagi.

Pertingkatkan sokongan terhadap kerajaan : Kurup

Kurup disertai PJKKK Kg.Bukit Merah , Rapian Emin memantau jalan-jalan ke kebun termasuk dibawa oleh pasukan pacuan empat roda di kampung itu.

Keningau : Rakyat di kawasan pedalaman diminta untuk terus bersatu dan mempertingkatkan sokongan mereka kepada parti parti kerajaan yang telah membuktikan keupayaan dalam menjaga dan melindungi rakyat.

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) , Tan Sri Joseph Kurup berkata, berkat sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) maka lebih banyak pembangunan dapat disalurkan kepada mereka.

Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, kawasan luar bandar telah diberikan keutamaan oleh kerajaan Persekutuan ,oleh itu sokongan padu dari rakyat untuk melihat pembangunan itu dapat dilaksanakan demi kebaikan mereka haruslah diperkasakan.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis pemimpin bersama rakyat di Kg.Bukit Merah, Sook disini.

Kurup yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, berkata, penambahan keahlian PBRS di kawasan itu juga membuktikan rakyat sedar BN adalah saluran terbaik untuk menyampaikan dan menyelesaikan masalah.

Turut hadir di majlis itu Wakil Rakyat Sook, Datuk Ellron Angin yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

Kurup semasa lawatan itu dibawa oleh pasukan persatuan pacuan empat roda mengelilingi kawasan perkebunan yang meminta peruntukan pembaikan jalan.

Berani teroka bidang pertanian baru : Vincent

Vincent disambut Pemaju Mukim Lanas, Ismail Amit

Keningau : Masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM) dinasihatkan untuk terus mempertingkatkan kemahiran dan berani meneroka bidang pertanian yang baru. Ini kerana KDM mempunyai pengalaman dalam bidang (pertanian) tersebut yang telah mereka warisi turun temurun.

Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Pensiangan, Vincent Lee berkata telah menjadi tradisi bagi KDM bahawa mereka mahir dan berpengalaman dalam pertanian, namun mereka harus berani meneroka sesuatu yang baru seperti penanaman halia, getah dan sebagainya sesuai dengan keupayaan mereka.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kounsikaan Runat Kinokotuan Toun 2010 Kg.Mansiat , Daerah Kecil Sook mewakili Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup,

Dalam keghairahan untuk membangun tanah untuk pertanian, rakyat juga diingatkan agar berhati-hati memilih rakan kongsi , kerana kecuaian mereka boleh menyebabkan rakyat kerugian.

Vincent yang juga Ketua Pemuda EXCO Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) berkata, banyak masalah seperti itu berlaku di kawasan lain , dimana penipuan berlaku kerana tidak mempunyai surat perjanjian yang kukuh.

"Kita di Daerah Kecil Sook menggalakkan rakyat membangunkan tanah mereka bersama dengan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) ," kata Vincent.

Mengenai Pesta Kaamatan , Vincent berkata, perayaan kaamatan pada tahun ini diraikan sederhana kerana hasil tani yang kurang memuaskan disebabkan oleh masalah kemarau.

"Pada hari kaamatan inilah juga kita menilai sejauh mana penghasilan kita di masa lalu dan azam untuk akan datang," kata Vincent.

Turut hadir , EXCO Wanita dan Pemuda PBRS serta Pemaju Mukim Lanas , Ismail Amit

PBRS sokong hukuman mati sebabkan kematian dan penderaan bayi

Kurup dan Ellron melihat pameran hasil kraftangan dari Mukim Ansip.

Keningau : Masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM) harus terus memperkasakan kekuatan adat dan budaya , kerana ia telah menjadi identiti yang mengangkat bangsa ini sebagai antara bangsa yang peramah dan berbudi bahasa.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup berkata keruntuhan moral di kalangan generasi masa kini seperti kes pembuangan bayi sehingga menyebabkan kematian adalah melanggar adat dan budaya serta tidak masuk akal.
Kurup yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) berkata , beliau menyokong hukuman mati dikenakan kepada pelaku pembuangan dan penderaan bayi sehingga menyebabkan kematian.
Kurup berkata demikian di Majlis Perasmian Pesta Kaamatan Gabungan Peringkat Mukim Trans Pagalan dan Mukim Ansip di Dewan Tan Sri Joseph Kurup, Kg.Linsudan disini.
“Orang dewasa sepatutnya memberi perlindungan kepada kanak-kanak yang tidak berdosa. Tapi apa yang kita lihat ialah bayi yang ditemui dalam keadaan yang menyayatkan hati , dibuang seperti sampah, “ kata Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan.
Kata Kurup, kemungkinan pengaruh media dan dadah antara penyebab utama keruntuhan sosial di kalangan generasi masakini.
Justeru itu kata Kurup, generasi muda KDM harus terus mempertahankan adat dan budaya mereka.
Dalam pada itu Pengerusi Penganjur Pesta Kaamatan Gabungan Mukim Trans Pagalan dan Mukim Ansip, Rayner F.Udong berkata, satu kempen kesedaran penggunaan bahasa ibunda akan diadakan di kawasan itu.
“Kempen ini bertujuan untuk menggalakkan ibubapa untuk menerapkan bahasa ibunda di kalangan generasi baru untuk bertutur dalam bahasa mereka,” kata Rayner yang juga Naib Presiden KDCA.

Badan Bertindak Membantah Empangan Kaiduan jumpa MP Pensiangan

Nelson menyerahkan memondum kepada Kurup

Keningau : Kesungguhan Badan Bertindak Membantah Empangan Kaiduan di untuk meminta sokongan ahli-ahli politik dan pertubuhan yang lain membawa Nelson Raymond , dari Penampang kemudian mengambil perjalanan 80km ke sebuah perkampungan di Daerah Kecil Sook, dimana satu perayaan pesta Kaamatan peringkat Kampung Alab Lanas dan Alab Station diadakan. Dengan harapan dapat bertemu sendiri dengan Ahli Parlimen Pensiangan, yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan menyerahkan memorandum bantahan itu.

Nelson, salah seorang ahli Badan Bertindak Membantah Empangan Kaiduan itu menyerahkan sendiri memorandum tersebut, dalam usaha badan bertindak 9 buah kampung itu untuk meminta sokongan parti-parti politik bagi menyelamatkan perkampungan, ekosistem dan kehidupan flora dan fauna di ulu Papar dan Taman Banjaran Crocer. Kedua-dua kawasan ini terlibat dalam cadangan projek empangan Kaiduan yang terletak di Ulu Papar, Penampang.

Tan Sri Joseph Kurup yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar yang menerima memorandum itu berkata akan meneliti isi kandungan memorandum tersebut dan mengambil perhatian.

Sembilan buah kampung iaitu, Kg. Terian, Kg. Babagon Laut, Kg. Timpayasa , Kg. Tiku, Kg. Buayan , Kg. Pongobonon, Kg. Kalanggaan, Kg. Timpangoh dan Kg. Longkogunganmendakwa bakal mendapat kesan negatif daripada Projek Pembinaan Empangan Kaiduan.

Dalam pada itu sempena Perayaan Pesta Kaamatan Gabungan dua buah kampung itu Kurup , menyeru rakyat di kawasan tersebut untuk memperkasakan lagi kekuatan Barisan Nasional (BN). Di majlis itu Kurup turut menerima permohonan borang keahlian PBRS sebanyak 62 orang.

Turut hadir di majlis itu ialah Pembantu Menteri Pelancongan, kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga Wakil Rakyat Sook , Datuk Ellron Angin.