Monday, March 30, 2009

Warga Emas syukur dapat rumah




Antongos
Nabawan : Sepasang suami isteri warga emas tidak dapat mengungkapkan perasaan terima kasih dan gembira mereka atas pemberian sebuah rumah dibawah Skim Bantuan Rumah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) disini.

Antongos Bungkakan, 64, dari kampong Fontas disini berkata, beliau telah mendiami rumahnya sejak sebulan yang lalu bersama dengan isteri. Beliau yang menghadapi masalah pendengaran itu berkata, dia tidak tahu apa yang hendak diperkatakan lagi selain perkataan terima kasih kepada kerajaan yang telah membina rumah untuknya sekeluarga.

“ Kami selesa berada di rumah ini dan rumah saya juga cantik, ada dua buah bilik , lengkap dengan dapur,” kata Antongos yang ditemui di sini.

Bersyukur dengan pemberian ikhlas kerajaan Barisan Nasional (BN) itu , Antongos juga berkata , sehingga kini rumah beliau masih bergelap kerana tidak mendapat bekalan elektrik kerana meter belum dipasang.

Sebagai penduduk yang tergolong sebagai miskin tegar , Antongos mengakui tidak dapat membayar kos pemasangan meter ke rumahnya, kerana anak-anak beliau juga tidak berkemampuan untuk membantunya. Rumah itu telah dilengkapkan dengan pendawaian elektrik.

“Saya mahu juga menikmati sinaran cahaya elektrik di rumah ini, dan mengharapkan bantuan atau pertolongan agar meter dapat dipasang di rumah ini,” kata Antongos.

Ketika ditanya adakah beliau akan mampu membayar bil jika meter dipasang di rumahnya, Antongos berkata, beliau akan menjimatkan penggunaan elektrik dan berusaha agar bekalan itu tidak akan dipotong.
Pada tahun 2008 , Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah meluluskan 100 unit rumah dibawah Skim Bantuan Rumah untuk kawasan Pensiangan yang melibatkan Daerah Kecil Sook dan Daerah Nabawan

Mahu banyak asrama dibina di pedalaman


Keningau : Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) harus lebih lantang bersuara dan memberi idea-idea baru demi kebaikan perkembangan pencapaian pelajar dan sekolah. Peranan dan tanggungjawab PIBG akan lebih mantap jika kesemua pihak saling memberi kerjasama.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Ellron Angin berkata, PIBG tidak dapat lari dari tanggungjawab itu, dan setiap usaha yang mereka lakukan haruslah dengan tindakan yang komited dan bersungguh-sungguh.

Ellron berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung PIBG SMK Apin Apin. Turut hadir sama Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Pensiangan, Vincent Lee dan Pemimpin Kemajuan Rakyat Sook, Charles Ikang.

Kata Ellron , usaha bersepadu harus dilakukan oleh ahli PIBG agar masalah ponteng kelas atau ponteng sekolah dapat diatasi.

Ellron juga mengingatkan ibubapa agar sentiasa menitik berat akan pencapaian akademik dan kokurikulum anak mereka, tanpa menyerahkan sepenuh tanggungjawab di tangan guru.

“ Terdapat juga ibubapa yang percaya bulat-bulat kepada anak mereka tanpa mengetahui anak mereka ponteng kelas dan berada diluar , yang kita sendiri tidak tahu apa kegiatan yang mereka lakukan,” kata Ellron.

Oleh itu kata Ellron tidak salah bagi ibubapa untuk mendapatkan maklumat mengenai anak mereka dengan datang ke sekolah dan bertemu dengan guru.

Sempena mesyuarat agung PIBG itu juga Ellron yang juga Adun Sook berkata, ahli PIBG harus memberi idea – idea yang baru serta bersuara demi kebaikan pelajar dan sekolah itu.

Caption ( apin ) Ellron menerima kertas kerja memorandum untuk pembinaan asrama SMK Apin Apin oleh Justin , diperhatikan Mail ( kanan).

Tuesday, March 24, 2009

BN tidak akan tunduk cabaran pembangkang : MP


Nabawan : Tidak ada sebab untuk Barisan Nasional (BN) untuk tunduk kepada cabaran pembangkang untuk mengosongkan kerusi bagi kawasan Parlimen Pensiangan agar satu pilihanraya kecil dapat diadakan. Mahkamah Persekutuan telah memberi keputusan dan ianya harus diterima dengan hati yang terbuka oleh pihak pembangkang.

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup berkata, rakyat lebih penting dari soal tersebut, dan soal siapa jaguh ia adalah terpulang kepada rakyat untuk memutuskan apabila tiba masanya.

Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, apa yang paling penting ialah kesinambungan pembangunan dan kemajuan untuk rakyat di kawasan Pensiangan yang mengambil masa.

“ Saya tidak akan tunduk kepada cabaran itu, kerana bagi saya rakyat adalah lebih penting. Kita telah menang ( keputusan mahkamah) maka kita harus menumpukan untuk menaiktaraf hidup rakyat,” kata Kurup di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Fontas disini.

Kurup yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) berkata, dalam soal siapa jaguh, itu adalah terpulanglah kepada rakyat untuk memutuskannya.

“ Kita perlu bertindak segera untuk mengubah suai kehidupan rakyat di Pensiangan yang dikategorikan sebagai kawasan miskin di Sabah, itu yang kita mahu buat” ujar Kurup.

Oleh itu katanya , kerajaan dan rakyat harus berganding bahu untuk memastikan misi itu mencapai kenyataan.

Pejabat Perhubungan Parlimen sentiasa turun padang


Keningau : Turun padang…Pegawai Perhubungan Parlimen Pensiangan, Raipian Emin, meninjau kerosakan dan menemui mangsa banjir di Kampung Mempulut disini. Turun padang adalah slogan utama Pejabat Perhubungan Parlimen Pensiangan agar objektif serta sasaran di peringkat akar umbi tercapai.


Kerosakan kemudahan awam , tanaman dan rumah persendirian adalah antara yang ditinjau , yang kemudiannya laporan yang diselaraskan dengan laporan JKKK diserahkan kepada Ahli Parlimen Pensiangan yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Tan Sri Joseph Kurup untuk tindakan selanjutnya. KKLW telah meluluskan sebanyak 1o buah rumah dibawah Skim Bantuan Rumah untuk mangsa banjir di Mukim Ansip yang terletak dalam kawasan DUN Sook