Thursday, February 17, 2011

PBRS sambut baik Klinik Bergerak Hibrid

Keningau : Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menyambut baik inisiatif kerajaan untuk memperkenalkan klinik bot bergerak hybrid untuk memberikan perkhidmatan kesihatan ke kampong yang dihubungkan melalui sungai di Sabah.

Ketua Penerangan EXCO Wanita PBRS, Rozie Jumat berkata, perkhidmatan seumpama itu sangat diperlukan oleh rakyat di luar Bandar Sabah, terutamanya di Daerah Kecil Pagalungan yang menggunakan sungai sebagai perhubungan utama.

“Beberapa tahun yang lalu pihak Yayasan Sabah menjalankan Perkhidmatan Doktor Udara (PDU) ke kampong-kampung terpencil di Daerah Kecil Pagalungan, ramai penduduk di kawasan ini seperti Kg.Kabu, kg.Bantul, Kg.Saliliran mendapat manfaatnya, namun operasinya telah dihentikan.

Katanya, dengan bentuk muka bumi Daerah Kecil Pagalungan yang berbukit bukau, perhubungan melalui sungai adalah penting. Namun ada beberapa kawasan perkampungan yang bertaburan dan jauh antara satu sama yang lain memerlukan perkhidmatan seperti klinik bot bergerak yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri.

“Sebagai contohnya, Kg.Saliliran dan Kg.Kabu, kakitangan Klinik Kesihatan Pensiangan adalah yang terdekat, tetapi mereka memerlukan sehari perjalanan ke Kg.Saliliran dari Kg.Kuala Sinapar (menaiki bot dari Klinik Kesihatan Pensiangan). Disini ramai penduduk yang memerlukan perkhidmatan perubatan,” kata Rozie yang juga Pegawai Perhubungan Parlimen Pensiangan.

Katanya, tahap kesihatan penduduk di kawasan tersebut juga adalah berada di tahap sederhana. Memandangkan kos perbelanjaan yang besar untuk ke klinik berdekatan, pesakit hanya menahan penyakit dan berserah.

“Bagaimana mereka boleh meningkatkan taraf hidup jika keadaan mereka tidak mempunyai kesihatan yang baik, oleh itu Klinik Bot Bergerak Hibrid ini adalah amat dialu alukan kerana ia menunjukkan keprihatinan kerajaan di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri terhadap penduduk di kawasan luar Bandar yang serba kekurangan,” kata Rozie.

Menurutnya , Parti PBRS dan Mercy Malaysia pernah membuat program perkhidmatan perubatan di Pekan Pagalungan tahun lalu yang mendapat sambutan diluar dugaan di kalangan masyarakat setempat.

Daerah Kecil Pagalungan mempunyai dua buah klinik kesihatan bertempat di Pagalungan dan Pensiangan. Namun petugas-petugas di klinik ini perlu menaiki bot dan berjalan kaki untuk masuk ke kampung-kampung.

Najib baru-baru ini dalam laman blog 1Malaysia menyatakan adalah menjadi impiannya agar semua rakyat Malaysia mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan, tanpa mengira dimana mereka tinggal.

Pengumuman YAB Perdana Menteri itu kata Rozie, adalah sangat dinanti-nantikan oleh rakyat pedalaman, dan kami (PBRS) yakin kemudahan itu dapat memastikan rakyat dapat menikmati kesihatan lebih baik dan menerima pemeriksaan perubatan.

PBRS juga kata Rozie menyambut baik usaha kerajaan melalui Kementerian Kesihatan seperti mana yang diumumkan oleh Timbalannya, Datuk Rosnah Shirlin akan menghidupkan semula perkhidmatan perubatan melalui udara ke kawasan pedalaman.

“Banyak kawasan di P.182 Pensiangan juga memerlukan perkhidmatan doctor udara kerana kawasan ini berbukit bukau dan berjauhan antara satu dengan yang lain, apatah lagi untuk ke klinik berdekatan,”.

Oleh itu kata Rozie, usaha untuk menghidupkan semula perkhidmatan itu sangat penting dan amat bermanfaat kepada rakyat.


No comments: