Thursday, January 29, 2009

MP mahu tambang di luar bandar diturunkan












Nabawan : Pengusaha kenderaan dan bot penumpang di kawasan luar randar dirayu untuk menurunkan harga tambang tanpa memberi alasan yang kurang munasabah kerana pengusaha itu tahu latarbelakang penumpang mereka.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah , Tan Sri Joseph Kurup berkata, kerajaan telah menurunkan harga minyak beberapa kali dan kini alasan dibebankan dengan kenaikan harga minyak adalah tidak munasabah. Malahan kata Kurup , terdapat pengusaha kenderaan memberi alasan harga tayar kereta telah naik dan sebagainya kerana enggan menurunkan harga tambang.

Kurup berkata demikian di Majlis Program Gerak Mesra anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Balai Budaya Rumah Panjang Kampung Silungai, di Daerah Kecil Pagalungan pada ahad. Pada hari yang sama Kurup turut merasmi program yang sama di Balai Raya Pengkalan Bot Kg Salong. Turut hadir Ketua Penyelia Kanan Kemas Negeri Sabah, Sapdi Warimin.

Kata Kurup, pengusaha kenderaan penumpang dan peniaga harus seiringan dengan kerajaan dan sama-sama menjalankan kewajiban untuk tidak membebankan penumpang di kawasan luar Bandar yang kebanyakannya kurang berkemampuan.

“ Tolonglah turunkan harga tambang kerana orang-orang kita terbeban…” rayu Kurup merujuk kepada rakyat luar Bandar yang tidak berkemampuan untuk ke klinik atau hospital.

Menurut Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan, keprihatinan kerajaan terhadap kesusahan rakyat itu harus diterjemahkan oleh peniaga untuk sama-sama bertanggungjawab terhadap bebanan yang ditanggung oleh rakyat luar Bandar yang kebanyakannya terdiri dari kalangan orang yang kurang berkemampuan dan juga orang miskin.

“Mungkin orang tua-tua atau orang sakit yang perlu ke hospital tidak dapat berbuat demikian kerana tidak mampu untuk membayar tambang. Oleh itu saya merayu agar berilah pertimbangan,’” kata Kurup.

Dalam pada itu Kurup juga berkata, kerajaan telah meminta para peniaga untuk menurunkan harga barang. Namun masih terdapat peniaga yang degil dan terus berkeras untuk berbuat demikian. Dalam soal itu kata Kurup, rakyat haruslah bijak memilih kedai yang menjual barang dengan kadar harga murah.

No comments: