Tuesday, February 17, 2009

SAPP berbohong






Keningau: Parti Maju Sabah telah membuat pembohongan besar bukan sahaja kepada rakyat di kampung yang terlibat dengan banjir, tetapi juga kepada rakyat di negeri ini.
Pengerusi Jawatan Kuasa Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Mempulut, Francis Ampohol Ambirau berkata, majlis yang didakwa SAPP sebagai majlis penyerahan borang keahlian ke parti itu adalah majlis untuk penyerahan bantuan kepada mangsa banjir.
“ Dakwaan ada penyertaan SAPP itu tidak betul. SAPP berbohong , mereka beri surat daftar untuk bantuan itu sahaja…tetapi bila keluar suratkhabar menjadi majlis penyerahan borang keahlian pula. Itu yang berlaku ,” kata Ampohol mengulas kenyataan media baru-baru ini.
Beliau juga menolak dakwaan yang terdapat kira-kira 250 orang sertai parti itu.
“ Tidak ada yang menyertai SAPP di kampung Mempulut, kami menyokong kerajaan yang ada ,” kata Francis. Beliau juga memberitahu majlis SAPP itu tidak mendapat sambutan dari penduduk di kampung itu.
Sementara itu Pengerusi Jawatan Kuasa Keselamatan Kampung, Kampung Kuala Puntih, Palatus Laboh berkata, tidak benar terdapatnya penyertaan beramai-ramai sehingga ke 250 orang untuk menyertai Parti Maju Sabah (SAPP) seperti yang didakwa oleh parti itu baru-baru ini.
Menurut Palatus, satu majlis diadakan oleh SAPP di Kampung Membulu baru-baru ini dan ianya diwar-warkan sebagai pendaftaran untuk mangsa banjir untuk diberikan bantuan.
Penduduk di Mukim Ansip tidak pernah berpaling tadah dari terus memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) kerana telah dan mahu menikmati terus pembangunan yang diberikan oleh kerajaan.
“ Pada hari yang sama ada penyerahan sumbangan oleh Persatuan Palang Merah dan Kelab Lion di Kampung Ansip. Jadi sudah tentulah ada yang menyinggah ke tempat itu kerana ia bertujuan untuk mendaftarkan mereka yang susah akibat banjir,” kata Palatus.
Beliau berkata ramai yang terkejut kerana dikatakan menyertai parti itu.
“ Tidak ada borang yang disediakan cumalah borang pendaftaran untuk mangsa banjir. Tetapi sehinggalah majlis itu selesai tidak ada satu pun bantuan yang diberikan,” kata Palatus.
Kenyataannya kata Palatus ialah majlis yang diadakan itu menawarkan bantuan kepada mangsa banjir.
Menurut Palatus sesiapapun dengan niat yang ikhlas tidak mengira persatuan atau parti , rakyat akan menerimanya tidak kira ia adalah dari pembangkang atau kerajaan.
Beliau ditemui di majlis penyerahan bantuan zink dan wang tunai kepada mangsa banjir di kampong Kuala Puntih disini yang diadakan oleh Biro Kebajikan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Sinin , penduduk dari Kampung Membulu berkata, dua orang anak beliau yang kebetulan pulang ke kampong ada menghadiri majlis tersebut, dan ianya bukan majlis penyerahan atau pendaftaran keahlian borang SAPP seperti yang didakwa.
“ Anak-anak saya ( bekerja di Kota Kinabalu) sangat terkejut membaca suratkhabar kerana didakwa antara 250 orang yang menyertai SAPP dalam pertemuan itu,” kata Sinin yang ditemui di majlis yang sama.
“ Dakwaan SAPP itu tidak berasas sama sekali. Menurut anak-anak saya mereka diberitahu ada pemberian bantuan untuk mangsa banjir , dan mereka diminta untuk mendaftar,” kata Sinin.
Namun katanya selepas majlis itu selesai tidak ada satu pun bentuk bantuan yang diberikan oleh SAPP yang dihadiri oleh Timbalan Presidennya, Datuk Eric Majimbun.
Difahamkan majlis tersebut kurang mendapat sambutan, namun atas usaha dan membuat taktik yang dilakukan oleh pemimpin peringkat kampung di kawasan itu, ramai yang terpedaya.

2 comments:

TADIKA said...
This comment has been removed by a blog administrator.
rozie jumat said...
This comment has been removed by a blog administrator.