Tuesday, March 24, 2009

BN tidak akan tunduk cabaran pembangkang : MP


Nabawan : Tidak ada sebab untuk Barisan Nasional (BN) untuk tunduk kepada cabaran pembangkang untuk mengosongkan kerusi bagi kawasan Parlimen Pensiangan agar satu pilihanraya kecil dapat diadakan. Mahkamah Persekutuan telah memberi keputusan dan ianya harus diterima dengan hati yang terbuka oleh pihak pembangkang.

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup berkata, rakyat lebih penting dari soal tersebut, dan soal siapa jaguh ia adalah terpulang kepada rakyat untuk memutuskan apabila tiba masanya.

Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, apa yang paling penting ialah kesinambungan pembangunan dan kemajuan untuk rakyat di kawasan Pensiangan yang mengambil masa.

“ Saya tidak akan tunduk kepada cabaran itu, kerana bagi saya rakyat adalah lebih penting. Kita telah menang ( keputusan mahkamah) maka kita harus menumpukan untuk menaiktaraf hidup rakyat,” kata Kurup di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Fontas disini.

Kurup yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) berkata, dalam soal siapa jaguh, itu adalah terpulanglah kepada rakyat untuk memutuskannya.

“ Kita perlu bertindak segera untuk mengubah suai kehidupan rakyat di Pensiangan yang dikategorikan sebagai kawasan miskin di Sabah, itu yang kita mahu buat” ujar Kurup.

Oleh itu katanya , kerajaan dan rakyat harus berganding bahu untuk memastikan misi itu mencapai kenyataan.

No comments: