Friday, May 15, 2009

Kaamatan adalah lambang perpaduan : Kurup







Keningau : Perayaan Pesta Kaamatan secara turun temurun telah menjadi lambang perpaduan antara masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) dengan rakyat di negeri dan ianya memberi makna yang amat mendalam kerana perayaan tersebut turut dirasai dan diraikan oleh mereka yang bukan dari kalangan KDM.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup berkata,pesta Kaamatan juga telah menjadi jambatan untuk bermesra dan berkenalan dengan sanak-saudara serta berkenalan dengan kawan-kawan yang baru.
Kurup berkata demikian ketika merasmikan sambutan Pesta Kaamatan peringkat Kampung Kepayan Baru Apin-Apin disini. Turut hadir Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Ellron Angin yang juga Wakil Rakyat Sook, dan Naib Presiden KDCA , Rayner F.Udong
Oleh itu kata Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, sambutan Kaamatan adalah berasal dari sambutan moginakan yang biasa dilakukan golongan petani KDM selepas menuai padi sejak dari dulu, dan kini diraikan secara lebih besar-besaran dengan dinamakan Pesta Kaamatan.
“ Kaamatan seperti juga moginakan telah menyatukan rakyat kita dan memberi peluang kepada kita agar dapat bersama-sama mensyukuri hasil yang kita perolehi sepanjang tahun yang lalu,” ujar Kurup.
Beliau juga menyeru golongan belia agar menghayati makna sebenar pesta Kaamatan .
Kata Kurup, pesta Kaamatan yang menonjolkan budaya dan identity masyarakat KDM harus menjadi kebanggaan golongan muda, sekaligus mempertahankannya agar tidak pupus ditelan zaman.
Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) itu juga mengingatkan golongan ibubapa agar tidak mengabaikan penggunaan bahasa ibunda dikalangan generasi muda.

No comments: