Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup berkata, projek Loji Air Nabawan itu akan memberi bekalan air kepada kampong seperti Kg.Pemuntarian, Kg.Takul, Kg.Malampoi, Kg.Saupi, Kg.Tatagas, Kg.Labung dan Kg.Mospoh.
Kurup yang juga merupakan Mantan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, berkata, projek tersebut memakan belanja sebanyak RM24 juta, dan projek tersebut sedang berjalan dengan lancar.
“Projek seumpama ini sememangnya sangat penting kepada rakyat yang memerlukan bekalan air bersih, kampong-kampung ini adalah kampong yang jauh dari pekan Nabawan, dan kita berharap dengan adanya kemudahan ini akan memberi manfaat kepada penduduk di sekitarnya untuk mendapat air bersih,” kata Kurup.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar itu berkata demikian kepada media selepas menghadiri mesyuarat tindakan daerah disini.
Menurut Kurup, pihak beliau sentiasa berusaha mendapatkan projek-projek yang sangat diperlukan oleh rakyat, termasuklah projek bekalan air bersih atau paip gravity bagi memastikan rakyat memperolehi sumber air bersih khususnya di kawasan Pensiangan.