Wednesday, June 9, 2010

Program Sentuhan Kasih Petronas di Sook


Sook (Keningau) : Rakyat di kawasan pedalaman diminta untuk terus berusaha dan bersungguh sungguh mempertingkatkan taraf kehidupan dengan menggunakan faktor persekitaran seperti tanah.

Wakil Rakyat Sook, Datuk Ellron Angin berkata, rakyat di negeri ini dianugerahkan dengan pelbagai hasil bumi dengan tanah yang subur serta alam semulajadi yang begitu indah. Oleh itu katanya, terpulang kepada rakyat untuk menggunakan keistimewaan tersebut untuk menjana pendapatan keluarga.

Ellron yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sentuhan Kasih Petronas Sook disini.

“ Kita harus kreatif dan berpandangan jauh, janganlah kita hanya mengharapkan bantuan daripada orang lain atau kerajaan sahaja, kita sentiasalah kita berusaha dan mencari jalan bagaimana meningkatkan hasil pendapatan kita,” kata Ellron. Namun katanya, kerajaan sentiasa memberi tunjuk ajar dan bantuan kepada rakyat yang mahu berubah dan memajukan diri.

Di majlis itu juga Ellron menyeru kepada ibubapa agar memberi penekanan kepada pembelajaran anak-anak mereka, kerana dengan adanya pelajaran mampu mempertingkatkan taraf hidup seseorang.

Katanya banyak kemudahan disediakan oleh kerajaan dan Petronas juga misalnya memberikan biasiswa kepada pelajar-pelajar yang layak.

“Oleh itu saya mahu ibubapa di pedalaman menyahut cabaran ini untuk melihat lebih ramai anak-anak kita maju dalam pelajaran mereka ,” kata Ellron.

Pengurus Petronas Wilayah Sabah/WP Labuan, Aishah Otit berkata Majlis Sentuhan Kasih Petronas dilaksanakan di Daerah Kecil Sook pada tahun ini bersempena dengan Perayaan Pesta Kaamatan. Program itu juga adalah merupakan salah satu program kemasyarakatan badan koroprat itu kepada masyarakat di negeri ini.

Sempena program itu seramai 100 penerima sumbangan Sentuhan Kasih Petronas berupa tong gas, dapur dan beras dari sekitar Daerah Kecil Sook yang dikategorikan sebagai golongan miskin tegar. Turut hadir sama Penolong Pegawaiu Daerah Sook , Jasli Tindi.

No comments: