Monday, August 2, 2010
Wanita PBRS mahu isu pembuangan bayi diatasi dengan bijak : Melinda
Keningau : Pergerakan Wanita Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) N.37 Sook melahirkan kebimbangan terhadap isu pembuangan bayi dan mahu satu jalan penyelesaian diambil segera bagi mengelakkan perkara tersebut menjadi satu masalah yang berterusan.
Ketua Wanita Bahagian , Puan Sri Melinda Kurup berkata, wanita PBRS Sook mahu setiap wanita dan keluarga mengambil berat akan hal tersebut, kerana yakin masalah tersebut dapat diatasi sekiranya anak-anak mereka diberi bekalan nilai-nilai moral yang tinggi dari rumah.
“Kes pembuangan anak berleluasa. Ibubapa dan pihak berkuasa harus bertanggungjawab mencari jalan penyelesaian, di zaman kami perkara begini tidak berlaku,” kata Melinda semasa menggulungkan ucapan dasar Ketua Wanita sempena Mesyuarat Perwakilan Tahunan Pergerakan Wanita N.37 Sook disini.
katanya, wanita luar Bandar yakin dengan displin dari rumah yang diterapkan semasa kecil dapat menjadi bekalan kepada anak-anak apabila mereka berada di luar.
“bagaimanapun masih terdapat kebimbangan di kalangan kami (wanita PBRS ) kerana pengaruh media seperti tv dan internet sedikit sebanyak mempengaruhi anak-anak kami dalam soal berpakaian yang mempengaruhi kehidupan seharian remaja masa kini,” kata Melinda.
Katanya yang juga merupakan Penasihat EXCO Wanita PBRS, ibubapa harus melayan anak-anak mereka seperti rakan, yang sentiasa bersikap terbuka dan mendengar masalah mereka.
“Terdapat ibubapa yang ‘kuku besi’ tidak mendengar pendapat anak mereka, malahan sikap ibubapa ini juga menjadi punca kepada anak-anak berasa kurang kasih sayang, pergaduhan di rumah juga menjadi punca anak-anak kita tidak suka berada di rumah,” kata Melinda.
Perbahasan ucapan dasar ketua wanita itu menjadi hangat apabila terdapat seorang perwakilan menuduh internet dan media adalah punca kepada kejatuhan moral di kalangan anak-anak remaja masakini.
Namun wanita PBRS mahu isu mengenai keruntuhan moral dikalangan remaja perempuan ini segera diselesaikan.
“Nilai-nilai murni , kasih sayang keluarga, agama dan adat istiadat yang masih kukuh dikalangan masyarakat kita adalah salah satu factor yang boleh membendung masalah seumpama ini , iaitu pergaulan bebas dikalangan remaja ,” kata Melinda. Turut hadir di mesyuarat itu sebagai pemerhati ialah rombongan Wanita PBRS N.34 Liawan
Sementara itu semasa menutup rasmi mesyuarat tahunan pergerakan wanita dan pemuda secara serentak , Timbalan Presiden PBRS, Datuk Ellron Angin mencabar kedua pergerakan itu untuk merekrut lebih ramai ahli untuk menyertai parti itu.
Katanya parti PBRS adalah sebuah parti yang sentiasa membawa suara rakyat termasuk golongan belia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment