Monday, April 6, 2009

Pedalaman syukuri keamanan







Keningau : Rakyat di pedalaman sentiasa mendoakan kesejahteraan, keharmonian dan keamanan Negara ini, kerana mereka mahu hidup dengan rukun bersama dengan penganut agama yang lain.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Ellron Angin berkata, tak kira apa pun anutan dan fahaman agama rakyat di Negara ini, mereka sentiasa mendoakan kesihatan dan kebijaksanaan para pemimpin yang diamanahkan yang maha kuasa untuk melindungi rakyat.

Ellron yang juga Adun Sook berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Gereja SIB Kg Nandangan, Sook disini baru-baru ini.

Di majlis itu yang dianjurkan oleh Gereja SIB Nandangan, Ellron yang juga Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) turut mengucapkan terima kasih diatas segala doa dan sokongan padu yang diberikan oleh rakyat terhadap keputusan rayuan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pensiangan di Mahkamah Persekutuan yang berpihak kepada kerajaan.

Ellron juga turut memberi sumbangan terhadap pembinaan sebuah rumah bagi kegunaan gereja itu yang akan menjadi tuan rumah kepada perayaan Hari Krismas peringkat Zon Trus Madi pada tahun ini. Ianya berupa bantuan 40 keping zink spandik berukuran 18 kaki dan bumbung dua pasang dengan ukuran 24 kaki.

Turut bersama di majlis itu ialah Penolong Pegawai Daerah Keningau, George Kandavu, Pemimpin Kemajuan Rakyat Sook, Charles Ikang, KAN Mukim Lanas, Aik Bandurung dan Pegawai Perhubungan Parlimen Pensiangan, Rozie Jumat.

Dalam pada itu, Pengerusi Penganjur, Justine Ampanit berkata, mereka amat berterima kasih diatas bantuan yang diberikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui Adun mereka , Datuk Ellron Angin.

“ Sebagai umat kita akan sentiasa mendoakan kesejahteraan para pemimpin kita dan Negara ini agar mencapai matlamat dan visi bersama-sama,” kata Justine.

Dimajlis itu juga Ellron turut menyampaikan sumbangan berupa alat muzik bagi kegunaan gereja yang diterima oleh Pastor Richard Joseph dan Ketua Sidangnya, Mosito Gudang.

No comments: