Monday, December 7, 2009

Wanita PBRS ucap thaniah penganjuran Seminar Wanita Berwibawa


Kota Kinabalu : Pergerakan EXCO Wanita Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mengucapkan thaniah dan syabas diatas penganjuran Persidangan Wanita Berwibawa yang diadakan disini Isnin. Dimana program itu melibatkan penyertaan wakil-wakil wanita dari pelbagai pertubuhan di negeri ini, dengan menampilkan penceramah dari kalangan wanita yang berjaya dalam bidang masing-masing.


Ketua Penerangan Wanita Exco PBRS, Rozie Jumat berkata, persidangan tersebut yang merupakan cetusan idea Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, telah menjadi inspirasi kepada golongan wanita terutamanya yang kurang berkeyakinan dan mempelajari pengalaman wanita Sabah baik dari sektor korporat, sektor awam dan politik.


"Saya sendiri berpeluang mempelajari pengalaman dan kisah wanita-wanita ikon yang rendah hatinya, tidak lokek berkongsi kisah mereka meskipun mereka telah berjaya dalam bidang masing-masing seperti Datuk Maznah Abdul Ghani, Datuk Christine Vanhoutten dan Rosmawati Hj.Lasuki. Mereka sebenarnya adalah ikon wanita Sabah ," kata Rozie.


Katanya, dalam kisah ikon politik wanita Sabah, Datuk Christine telah menceritakan kisah jatuh bangun beliau sebagai ahli politik, sehinggalah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara, dan tentang salah seorang pengarah syarikat kumpulan Yayasan Sabah, Rosmawati Hj.Lasuki yang sentiasa memperbaiki dirinya sehinggalah beliau belajar semula , dan kini adalah antara orang yang penting dalam kumpulan Yayasan Sabah.


"Seminar ini memberi keyakinan kepada golongan wanita yang biasanya mempunyai kebolehan dan keupayaan tetapi tidak menyerlah. Seminar ini mampu memberi motivasi kepada wanita yang kurang berkeyakinan berhadapan dengan cabaran terutamanya bersaing dengan golongan lelaki , juga memberi kekuatan atau menambah sinergi kepada wanita-wanita yang sememangnya mempunyai kebolehan memimpin," kata Rozie.


Selain dari itu Rozie berkata, persidangan seumpama itu mampu menjadi saluran bagi golongan wanita dalam menyuarakan pendapat serta pandangan, serta menjadikan persidangan itu sebagai suara akar umbi di masa akan datang, kerana peserta adalah terdiri dari pelbagai persatuan yang mewakili wanita.


Seramai lima orang wakil wanita PBRS mengambil bahagian di dalam Persidangan itu iaitu Flora Joseph (Naib Ketua Wanita), Rozie Jumat (Ketua Penerangan), Nemey Jonas ( Ahli Exco), Zainun Khan (Ahli Exco) dan Caroline Udang @ Norfadilah Abdullah (Ketua Wanita PBRS Liawan).


"Wanita PBRS akan menyampaikan maklumat yang kami perolehi dari persidangan ini kepada ahli-ahlinya," kata Rozie.

No comments: