Wednesday, May 4, 2011

Teks Ucapan YB Tan Sri Joseph Kurup , Perasmian Program Pemimpin Bersama Penternak & Kempen Belia Akar Umbi



YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia merangkap
Ahli Parlimen 182 Pensiangan



Sempena Majlis Perasmian Program Pemimpin Bersama Penternak dan Kempen Belia Akar Umbi anjuran Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sabah, Pada 29hb April 2011 (Jumaat), di Dewan Kelab Belia KBSS, Nabawan, Sabah.



Tuan Tuan dan Puan puan yang saya hormati sekalian,

Pertama kali , saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak penganjur yang sudi menjemput saya untuk bersama-sama dalam majlis yang sangat bermakna ini.



Sememangnya kerajaan begitu memberi perhatian yang begitu istemewa sekali terhadap golongan belia. Belia mempunyai satu jabatan malah satu kementerian khas dalam kabinet persekutuan iaitu Kementerian Belia dan Sukan , dibawah Yang Berhormat Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek untuk menjaga belia-belia. Betapa pentingnya kementerian ini sehinggakan ia pernah dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri , Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak. Menteri Belia dan Sukan yang pertama juga tidak lain tidak bukan ialah Yang Teramat Mulia Tengku Abdul Rahman Putera Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama.



Dalam kementerian tersebut bersamaan dengan kementerian-kementerian yang lain yang diterajui oleh BN dibawah pimpinan YAB Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak telah mewujudkan dan sentiasa mengujudkan beberapa peluang dalam pelbagai bidang khas untuk belia dan beliawanis. Objektifnya sememangnya ketara iaitu keprihatinan kerajaan BN melihat supaya belia dan beliawanis diberi senjata untuk menghadapi cabaran yang bakal kamu temui. Sehubungan dengan ini, saya menyeru kepada belia-belia untuk menerokai peluang-peluang ini demi kemajuan kamu semua sekarang dan generasi akan kemudian.



Namun begitu dan mungin ramai yang bertanya, siapakah sebenarnya yang dinamakan ‘belia’ atau dalam bahasa Inggeris ‘ youth’ ini?



Jawabannya menurut Jabatan Belia dan Sukan, adalah semua individu, lelaki dan perempuan warganegara Malaysia, yang berumur antara 15 hingga 40 tahun.



Sebab itulah saya katakana tadi bahawa majlis ini sangat bermakna. Kerana program ini merupakan salah satu tanda komitmen dan keprihatinan Kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat khususnya kumpulan belia kita. Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, sudah pasti kami tidak mahu melihat belia-belia ini hidup merana.



Ini disebabkan golongan belia merupakan jumlah yang majority dalam negara ini, kejayaan atau kegagalan belia kita juga adalah penentu kejayaan dan kegagalan negara kita. Jadi, amatlah tidak boleh diterima akal jika ada pihak yang mengatakan bahawa kerajaan tidak peduli akan golongan belia terutamanya di kawasan pedalaman ini.



Tiada guna kerajaan membawa masuk pelaburan berbiliion Ringgit, membina pelbagai infrastuktur seperti sekolah, hospital, lapangan terbang, lebuh raya, pelabuhan dan sebagainya sekiranya golongan belia terus mundur dari segi mental dan kemampuan.



Jika tidak, negara kita akan menjadi seperti kebanyakan negara lain yang mempunyai banyak hasil bumi, mampu membuat senjata nuclear dan bermacam-macam lagi tetapi rakyatnya, khususnya golongan belianya, hidup tidak menentu. Sehinggakan ramai pula yang datang mencari makan di sini. Mereka sanggup hidup susah dengan gaji yang kita anggap kecil. Bekerja sebagai pekerja ladang, buruh binaan, pembantu rumah dan lain-lain lagi pekerjaan yang tidak dipandang lagi oleh belia kita. Kita tidak mahu segala kemewahan dan kemudahan negeri kita akhirnya dinikmati oleh para pendatang pula, semata-mata kerana belia kita tidak mampu dari segi ekonomi dan ilmu pengetahuan.



Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Atas kesedaran inilah , Kerajaan sudah lama membuat pelbagai usaha dan program untuk membantu menaikkan taraf ekonomi dan pengetahuan golongan belia sekalian.



Ini termasuklah dalam sector pertanian yang kini ternyata sudah sama penting dengan sector-sektor lain seperti industry. Lihat sahajalah harga pertanian termasuk ternakan seperti kambing, sapi, ayam dan itik sekarang. Juga hasil tani seperti buah-buahan, sayur –sayuran, koko, kopi dan jagung, bukan kelapa sawit dan getah sahaja.



Ramai sudah yang mendapat hasil yang sangat lumayan dalam sector pertanian dan penternakan ini. Ada juga yang sudah menjadi jutawan. Ini terbukti semasa Keraaan menganjurkan ekspo-ekspo pertanian dan industry asas tani seperti MAHA di Kuala Lumpur. Media juga selalu melaporkan mengenai kejayaan-kejayaan para usahawan tani ini.



Oleh sebab potensi bidang pertanian dan penternakan ini sangat besar degan permintaan yang terus meningkat baik dari dalam dan luar negeri, maka Kerajaan tidak mahu golongan belia kita ketinggalan. Justeru, kita telah memutuskan supaya golongan belia diberikan bantuan serta segala sokongan yang kita mampu.



Walaupun kita mahukan para belia sekalian mampu berdikari, Kerajaan tetap prihatin dengan masalah yang pasti timbul. Buktinya, kita bukan berikan sapi atau kambing atau itik sahaja, kita juga berikan bantuan kewangan, di bantu bina kandang, diberikan kursus. Kalau jalan ke kebun rosak, boleh juga memohon bantuan. Jika pagar atau bumbung kandang rosak juga boleh dibantu. Jika ternakan kena penyakit Jabatan Veterinar boleh bantu. Jika tidak dapat jual hasil, FAMA boleh bantu.



Apa yang hanya kita harapkan sekarang ialah supaya saudara dan saudari peserta belia sekarang mempunyai semangat dan jati diri yang kuat untuk berusaha kuat.

Hadirin yang saya hormati,



Sesungguhnya bangsa kita bukanlah bangsa orang yang pemalas. Buktinya nenek moyang kita yang telah datang menetap di kawasan ini sejak dahulu kala lagi. Pada waktu itu, tiada jalan raya, tiada bekalan elektrik, tiada jentera. Tetapi nenek moyang kita mampu meneroka kawasan hutan tebal, mendaki gunung, melintas sungai dalam keadaan panas mahupun hujan ditambah pula dengan ancaman penyakit. Hidup juga kita disini beranak pinak sehingga sekarang.



Oleh itu saya menyeru semua peserta yang terbabit hari ini supaya janganlah mudah untuk berputus asa. Dalam hidup ini apa jua usaha atau kerja yang baik sudah pasti ada cabaran namun, ibarat kata pepatah, dimana ada kemahuan disitu pasti ada jalan. Sepertimana Tun Dr.Mahathir kata sekiranya kita gagal hari ini jangan berputus asa, gagal kali ke dua jangan jangan putus asa, berusaha terus usaha itu pasti akan berjaya dan berhasil.



Sebenarnya berjaya atau tidak terletak dalam tangan sendiri. Namun apa jua perkara yang baik, pasti akan ada pihak yang iri hati atau yang mahu mengambil kesempatan. Janganlah mudah terpedaya dengan hasutan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini.



Anasir-anasir berniat jahat ini sememangnya suka memburuk-burukkan dan merendah-rendahkan usaha kita. Mereka selalu ada sahaja cara yang kononya lebih baik, lagi bagus. Idea mereka sahajalah yang bijak dan kita sering diperbodohkan oleh mereka.



Tetapi sedarlah tuan-tuan dan puan-puan. Apa bukti yang mereka ini pernah berjya membantu rakyat? Khasnya golongan belia sekalian? Bercakap sahaja memang sangat senang. Bolehlah selesai masalah Cuma dengan membuat kenyataan dalam surat khabar dan media? Mereka ini cuma pandai memberi komen, mengutuk, bersorak dan berteriak di tepi-tepi jalan. Namun pernahkah mereka ini benar-benar memberikan apa-apa pun penyelesaian?



Tuan-Tuan dan Puan Puan yang saya hormati,

Kita bukan tin koson yang pandai bercakap sahaja.. Diam itu bukanlah bermakna kita tidak berusaha atau tidak tahu apa-apa. Kerajaan sebenarnya sentiasa mencari jalan yang terbaik untuk membantu golongan belia di Bandar mahupun luar Bandar.



Saya akui ini semua memang belum cukup. Masih banyak yang perlu kita buat. Kita juga memang ada membuat salah dan silap. Ini kerana kita juga manusia. Kita akui ini. Tetapi yang penting ialah keikhlasan Kerajaan selama ini sudah terbukti dan akan terus dilaksanakan.



Selain itu, selaku Wakil Rakyat disini juga menyeru para peserta sekalian supaya janganlah mengambil mudah dengan cara menjual sapi atau kambing yang diberikan ini.



Sememangnya inilah jalan yang paling pantas untuk mendapatkan wang tanpa perlu banyak berusaha. Ingatlah bahawa wang yang didapat itu hanyalah sementara. Setelah habis semua bantuan di jual keadaan kamu akan kembali seperti sebelumnya. Sesungguhnya kata pepatah “ Kalau mahu seribu alasan kalau tidak mahu seribu dalih” amat benar. Jika saudara-saudari sekalian tekad dan sanggup berusaha, hasilnya pasti berjaya menjadi usahawan ternak atau tani yang berpendapatan tinggi.



Tuan-Tuan dan Puan-Puan

Sekarang kita berada dalam dunia yang tidak mempunyai sempadan. Dalam keadaan seperti ini maka banyak yang tertarik dengan mengguna cara yang mudah. Seperti terlibat dalam gejala social. Kerajaan kita amat sedih dan merasa amat kecewa apabila beberapa belia dan beliawanis rakyat Malaysia ditangkap di negara-negara luar kerana terlibat menyeludup benda yang dilarang oleh undang-undang. Kes yang terkini ialah kes 10 rakyat Malaysia ditangkap di Auckland New Zealand kerana didapati ingin mendapatkan kewangan yang mudah melalui menyeludup dadah.

Dalam pada itu sata menyeru kepada para hadirin agar menjauhi daripada melakukan perbuatan seperti ini.



Selaku Ahli Parlimen Kawasan ini tentu sekalilah saya senang hati melihat penyertaan belia dan beliawanis dalam kursus ini. Ingatlah nasihat ini dan semoga berjaya dalam apa jua bidang yang kamu terokai.



Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan setinggi penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sabah kerana telah berjaya menganjurkan majlis ini dengan berjaya. Semoga pihak KBBS akan terus memantau dan membimbing para belia dalam program ini supaya menjadi orang-orang yang berjaya lagi membanggakan masyarakat.



Kepada para peserta belia yang menerima bantuan pula saya ucapkan syabas dan semoga maju jaya.



Dengan itu, sukacita saya merasmikan Program Pemimpin Bersama Penternak dan Kempen Belia Akar Umbi anjuran KBBS Daerah Nabawan Tahun 2011.



Terima Kasih

No comments: