Sunday, April 19, 2009

JKKK nafi tiada bantuan untuk mangsa banjir







Keningau : Pemimpin masyarakat di Kg Kuala Biah, Kg Biah Tengah dan Mukim Ansip menafikan sekeras-kerasnya dakwaan seorang penduduk bahawa kerajaan tidak membantu mangsa banjir di kawasan itu baru-baru ini. Kenyataan tersebut terdapat di suratkhabar New Sabah Times.

Pengerusi Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kuala Biah, Yusof Bileh berkata, lebih kurang 62 keluarga di kampung itu telah terjejas dengan banjir kilat yang baru lalu. Namun katanya menuduh kerajaan tidak membantu itu adalah satu pembohongan besar kerana Jabatan Kebajikan telah menghantar makanan kepada mereka yang terjejas selama seminggu sejak 24hb Januari , sementara pada 25hb Januari , Pemimpin Kemajuan Rakyat N.37 Sook , Charles Ikang telah menghantar bantuan berupa keperluan dapur kepada para mangsa.

“ Saya sangat kesal atas tuduhan Puan Sarah Bungka kerana bertindak memburuk-burukkan kerajaan dan pemimpin yang telah membantunya mangsa banjir di kampung ini , beliau telah mengada-adakan cerita dan ianya satu pembohongan. Beliau juga tidak pernah mengajukan apa-apa surat permohonan melalui badan JKKK sama ada untuk ke Pejabat Parlimen Pensiangan atau UPKR Sook,” kata Yusof yang mengadakan sidang media di pejabat UPKR N37 Sook disini bersama Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) Mukim Ansip, Anthony Akin dan Pengerusi JKKK Kg Biah Tengah , Johny Angin.

Menurutnya, badan JKKK telah menghantar surat permohonan dan laporan mengenai kerosakan benacana alam kepada jabatan berkaitan, dan kini menunggu tindakan.

“ Segala keputusan itu terletak di tangan jabatan berkaitan. Badan JKKK telah mengajukannya dan kita bersabar menunggu. Bukan dia sahaja yang menjadi mangsa dalam kejadian itu,” kata Yusof yang tidak tahu motif Sarah mengeluarkan kenyataan seumpama itu.

Menurutnya seramai lima petani termasuk Sarah kehilangan sumber makanan kerana padi yang ditanam mereka musnah dalam banjir, tetapi Yusof berkata beliau tidak menyerahkan hidupnya bulat-bulat kepada kerajaan.

“ Kerajaan telah membantu ringankan bebanan, jika ada bantuan kita tunggu, agama kita pun ajar kita bersabar,” kata Yusof. Menurut Yusof dakwaan Sarah bahawa rumahnya musnah dalam kejadian itu juga adalah penipuan.

“ Rumah beliau terletak di atas bukit, masih berdiri teguh. Setahu saya rumah yang beliau maksudkan ialah sebuah pondok di kebun yang beliau sendiri robohkan. Saya sangat kesal dengan tindakan Sarah,” kata Yusof.

Sementara itu Wakil Ketua Anak Negeri Mukim Ansip, Anthony Akin berkata, perbuatan Sarah adalah satu tindakan yang tidak berterima kasih kepada tangan yang membantunya, dan sekaligus menafikan bantuan serta keikhlasan Jabatan Kebajikan dan wakil rakyat di kawasan itu.
“ Sekecil atau sebesar manapun bantuan yang diberikan ia adalah tanda keikhlasan kerajaan. Sebagai rakyat kita seharusnya tidak terlalu bergantung kepada kerajaan. Orang lain tidak merungut bahkan bersyukur. Kita tidak boleh bergantung seumur hidup kepada kerajaan,” kara Anthony.

Beliau juga mahu kesal dengan tindakan pemberita tersebut yang tidak merujuk kepada pemimpin di peringkat kampung untuk mendapatkan maklumat sebenar.

“ Jangan beri kenyataan yang berat sebelah dan menggunakan kebebasan bersuara untuk memburukkan kerajaan,” kata Anthony.

Sementara itu Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Pensiangan, Vincent Lee berkata, Pejabat Ahli Parlimen dan Jabatan Kebajikan sentiasa berganding bahu memastikan kebajikan serta keperluan mangsa banjir terjaga pada bulan Januari lalu.

“ Kita juga menghantar laporan kepada Jawatankuasa Bencana Alam Daerah untuk tindakan seterusnya. Rumah-rumah bagi mangsa banjir di mukim Ansip ( yang hanyut atau roboh) juga kini sedang didirikan. Kita juga hantar bantuan makanan dan tuduhan itu amat dikesali,” kata Vincent.

No comments: