Wednesday, April 1, 2009

SAPP buat sandiwara raih sokongan luar bandar

Keningau : Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menyifatkan kenyataan Parti Maju Sabah (SAPP) yang mengatakan Presiden parti itu yang juga Ahli Parlimen Pensiangan tidak kelihatan di kawasan itu sejak memenangi kes rayuan di Mahkamah Persekutuan, menyifatkan kenyataan tersebut sebagai satu sogokan sandiwara terdesak oleh mantan Ketua Menteri itu.

Ketua Penerangan PBRS, Rayner F. Udong berkata, Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee boleh melihat jadual lawatan Ahli Parlimen Pensiangan di Pejabat Perhubungan Parlimen Pensiangan dan senarai projek-projek pembangunan di Pejabat Daerah.

Kata Rayner, Mereka (SAPP) datang ke Pensiangan, membuang najis lalu menyuruh rakyat untuk membersihkannya. Dia lupa setelah memperkenalkan dan mempelopori satu system pengurusan hutan yang dinamakan FMU dengan pemberian hak kepada 10 buah syarikat selama 100 tahun dengan keluasan 100 ribu hektar bagi sebuah syarikat.

“ Di dalam syarikat FMU itu termasuklah kampong kampong di mana Anak Negeri di Pensiangan (Sook dan Nabawan) mendiami turun temurun , telah berhadapan dengan dilema sehingga kini-termasuklah tekanan dari syarikat-syarikat yang memiliki FMU dibawah cetusan idea Yong Teck Lee sebagai Ketua Menteri satu ketika dulu,” kata Rayner.

Beliau berkata, ketika beliau (Yong) menjawat sebagai Ketua Menteri, apakah yang telah dilakukannya dan berapa kalikah beliau datang ke Pensiangan untuk membantu membangunkan rakyat, selain menyulitkan keadaan rakyat akibat pengenalan FMU beliau?

“ Kini beliau datang ke Pensiangan untuk berbohong kepada rakyat Pensiangan setelah beliau tidak mendapat tempat dalam pilihanraya yang lalu. Apa yang beliau telah tolong kepada rakyat di kawasan pedalaman?,” kata Rayner dalam satu kenyataan disini.

Rayner berkata, SAPP sedang mencari publisiti murahan dengan menyerang secara membabi buta akan prestasi BN di kawasan Pensiangan sedangkan beliau tidak mengetahui keadaan sebenar.

“ Oleh sebab beliau (Yong) mengatakan sama ada pilihanraya atau tiada pilihanraya, SAPP pasti akan datang. Jika ini sebagai satu ketetapan maka kami akan melihat sejauh mana sumbangan SAPP membantu rakyat di Pensiangan keluar dari belenggu kemiskinan,” tegasnya.

Dalam pada itu Rayner juga berkata, bahawa Pensiangan tidak boleh dibandingkan dengan kawasan Bukit Gantang dan Bukit Selambau , kerana Pensiangan adalah kawasan luar bandar dengan 58 - 78 % rakyat tergolong dibawah kemiskinan tegar justeru itulah sebenarnya yang menjadi keutamaan BN dalam memajukan rakyat di kawasan ini.

Kata Rayner , baik sebelum dan selepas keputusan mahkamah yang berpihak kepada Kurup yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, wakil rakyat itu adalah seorang yang tidak kenal penat lelah memberi perkhidmatan kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Malahan kata Rayner, dua hari selepas keputusan mahkamah itu diumumkan Kurup tidak melengahkan masa untuk menemui rakyat dan menghantar bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Ansip (Keningau) dan kemudiannya ke Kg Fontas dan Kg Pemuntarian dalam daerah Nabawan .

“ Beliau bertemu dengan rakyat dan mendengar aspirasi rakyat seterusnya membuat tindakan demi rakyat di kampong. Dalam lawatan itu juga beliau turut menyampaikan projek dan keperluan asas rakyat seperti zink, gilingan ubi, chainsaw, grass cutter, hamper kepada wargatua dan menerima senarai permohonan projek kampung yang disampaikan oleh para pengerusi JKKK di lima buah kg , “ ujar Rayner.

Oleh itu kata Rayner, dakwaan yang dibuat oleh Yong Teck Lee adalah amat bertentangan dengan apa sebenarnya yang berlaku.

“ Kami lebih kenal Tan Sri Kurup yang tidak banyak bercakap (di media) tetapi lebih banyak bekerja. Yong tidak berhak untuk membuat komen terhadap Presiden PBRS kerana beliau sendiri baru kali ini sahaja datang ke Pensiangan,” tegas Rayner.

No comments: