Wednesday, September 23, 2009

Komitmen di Persekutuan Tidak Ganggu Prestasi Saya di kawasan : Kurup

Keningau : Komitmen kerja di Persekutuan tidak menghalang dan mengganggu wakil rakyat untuk menemui dan menjalankan tanggungjawab kepada rakyat di kawasan, sebaliknya merupakan agenda utama kerajaan.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup berkata, setiap hujung minggu beliau memperuntukkan masa melawat dan menemui rakyat di kawasan Pensiangan, selain menghadiri majlis atau mesyuarat rasmi yang menjadi keutamaannya seperti mesyuarat mengenai tanah dan tindakan daerah.
“ Dengan kawasan Pensiangan yang cukup luas , sudah tentulah saya harus membahagikan masa untuk menemui rakyat, namun komitmen terhadap rakyat adalah keutamaan saya,” kata Kurup yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Kurup berkata demikian di Majlis Perasmian Program Info Bestari bersempena Pemimpin Bersama Rakyat di Kg Magatang dalam Mukim Pegalan disini. Turut hadir Pemimpin Kemajuan Rakyat Sook, Charles Ikang. Di majlis itu seramai 100 ketua keluarga diberikan bantuan zink.
Kata Kurup , rakyat Pensiangan juga mempunyai kedudukan yang baik di peringkat Persekutuan kerana wakil rakyat mereka dilantik sebagai timbalan menteri yang boleh membawa masalah rakyat di peringkat atasan secara terus.
“ Memang terdapat menteri atau timbalan menteri yang tidak dapat melawat rakyat dan kawasan mereka kerana tuntutan kerja di peringkat Persekutuan. Tetapi bagi saya komitmen saya di kementerian tidak mengganggu prestasi saya di kawasan…ada atau tiada pilihanraya kita akan tetap melihat rakyat,” kata Kurup.
Katanya beliau sentiasa merindukan rakyat di kawasan Pensiangan, dan bukan sahaja mahu membawa perubahan serta kemudahan, tetapi berusaha mencari jalan penyelesaian terutamanya kedudukan penduduk di kawasan hutan simpan.

No comments: