Monday, December 7, 2009

Tiada Pengenalan Diri adalah ' musuh masa depan rakyat'

Rombongan dihantar menggunakan helikopter yang mengambil 45 minit satu perjalanan
Suasana program pendaftaran kad pengenalan dan surat beranak

Kurup memantau program pendaftaran dijalankan di SK.Saliliran, Pensiangan


Nabawan ( Daerah Kecil Pagalungan) : Ketiadaan dokumen pengenalan diri merupakan musuh besar kepada masa depan rakyat. Oleh itu rakyat negara ini harus sedar akan hakikat betapa pentingnya memiliki dokumen pengenalan diri seperti kad pengenalan dan surat beranak.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup berkata, kerajaan Persekutuan juga sangat serius dengan masalah tersebut, dan telah pun turun padang untuk membantu rakyat khususnya di kawasan Pensiangan yang diwakilinya.
Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata demikian kepada media selepas mengetuai rombongan Pendaftaran Surat Beranak dan Kad Pengenalan di Kg.Saliliran, dalam Mukim Pensiangan disini. Pendaftaran selama 2 hari itu dijalankan secara bersepadu oleh Unit Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara dengan kerjasama Pejabat Perhubungan Parlimen 182 Pensiangan. Turut sama dalam program itu ialah Imigresen , pasukan keselamatan , Jabatan Kebajikan dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).
Sehubungan dengan itu kata Kurup, pihak beliau akan terus berusaha memastikan rakyat tulen di kawasan itu mendapat dokumen pengenalan diri kerana ketiadaan dokumen penting itu menghalang mereka menikmati peluang-peluang yang diberikan oleh kerajaan, dan juga menjadi punca rakyat seperti pelarian di negeri sendiri.
" Gerakan pendaftaran dokumen ini akan diadakan dari masa ke semasa di kawasan Pensiangan, sebagai ahli Parlimen di kawasan ini saya mahu menyelesaikan masalah ini demi melihat kesejahteraan rakyat di kawasan ini yang dilabel sebagai kawasan termiskin di Sabah," ujar Kurup yang juga merupakan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). Kata Kurup dengan adanya kad pengenalan , rakyat boleh memohon pelbagai peluang yang diberikan oleh kerajaan seperti bantuan kebajikan, subsidi sebagaimana yang dinikmati pleh rakyat di negara ini.
Katanya, kekangan ketiadaan dokumen diri itu telah menjadi penghalang kepada rakyat di kawasan itu dari mendapat peluang yang disediakan oleh kerajaan. Menurutnya, beliau diberitahu bahawa terdapat kanak-kanak yang tidak memiliki surat beranak seterusnya menjadi punca kepada kegagalan untuk memasuki alam persekolahan.
Bahkan kata Kurup yang berada di Kampung Saliliran selama dua malam, berkata terdapat orang tua berusia 60 tahun ke atas tidak layak mendaftar untuk Bantuan Orang Tua (BOT) kerana masalah pengenalan diri , biarpun pada hakikatnya mereka adalah penduduk asli negara ini.
"Saya diberitahu , terdapat belia dari pedalaman yang tidak dapat diterima untuk bekerja kerana tidak memiliki kad pengenalan, lebih teruk lagi ada rakyat yang takut untuk keluar ke pekan kerana bimbang di tangkap oleh pihak berkuasa , " ujar Kurup.
" pelbagai kesengsaraan rakyat berpunca dari ketiadaan pengenalan diri , termasuklah hak untuk mendapat rawatan di hospital , oleh itu program seumpama ini akan diteruskan di kawasan-kawasan terpencil di Pensiangan," tambah Kurup.
Sempena program itu , JPN telah berjaya menyelesaikan 15 permohonan kad pengenalan dan 18 permohonan surat beranak. Manakala Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah mendaftarkan sebanyak 47 pendaftar baru dengan pemohon paling tua berusia 67 tahun.
Bagaimanapun bagi sijil cabutan lewat lahir tidak dapat diproses kerana ketiadaan kehadiran majistret disebabkan oleh cuaca buruk. Kg Saliliran mengambil masa dua hari dengan menaiki bot sebelum berjalan kaki selama 5 jam dari Kg.Kuala Sinapar, Pensiangan, atau melalui helikopter selama 45 minit.

No comments: