Tuesday, August 3, 2010

Lagi aduan butiran dalam KP tidak lengkap diberi JPN



Keningau : Seorang lagi penduduk tulen negara ini mengadu tidak mendapat layanan yang sepatutnya kerana butiran dalam kad pengenalan beliau tidak lengkap. Dominick, 31 tahun dari Kg.Nandangan, dalam Daerah Kecil Sook berkata, segalanya susah bagi beliau.
"Apa bentuk urusan pun yang melibatkan kad pengenalan amat sukar bagi saya untuk menyelesaikannya kerana hanya nama saya tanpa nama bapa dalam kad pengenalan saya," kata Dominick.
Dominick berkata, beliau tidak dapat membuka akaun bank kerana butiran dalam kad pengenalan beliau tidak lengkap, malahan kad pengenalan beliau juga dicurigai.
"Semasa saya mengambil kad pengenalan ini, ia memang begini dan saya juga sudah bosan membuat urusan bagi memperbaharui butiran, kerana pihak berkenan tidak bersungguh-sungguh membantu," kata Dominick.
Katanya, adakalanya surat beranak lebih penting dari kad pengenalan kerana kad tersebut dipandang sinis semasa membuat sebarang pengurusan.
Penolong Pegawai Pendaftar Suruhanjaya Pilihanraya, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) , Robert Lunau berkata, setakat ini pihak beliau telah mengesan sebanyak 3 orang yang menghadapi masalah yang sama.
"Kesemua mereka berhadapan dengan masalah kad pengenalan dicurigai , dan mereka tidak mendapat layanan yang baik dari mana-mana pihak meskipun dari jabatan kerajaan sendiri apabila berurusan," .
Lebih sedih kata Robert, mereka ini tidak berpeluang untuk membuat permohonan tanah, membuat akaun bank malahan sukar untuk bersaing dalam membuat permohonan pekerjaan.
Namun katanya, pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kota Kinabalu ada menghubunginya agar penama atau mereka yang menghadapi masalah itu direkodkan , kemudian pihak mereka dari Kota KInabalu akan turun ke Keningau bagi menyelesaikan masalah itu secara khusus.
"Sehubungan dengan itu saya meminta kepada mana-mana pihak yang berhadapan dengan masalah seumpama ini agar datang ke Pejabat Perhubungan Parlimen Pensiangan untuk kami merekodkan masalah ini sebelum kita panggil JPN kesini," kata Robert.

No comments: