Monday, August 2, 2010

PBRS N.33 Bingkor masih kukuh, hanya kehilangan ketua

Kurup menerima borang keahlian dari Sylvester Kondu,
dari Mukim Apin Apin menandakan parti itu terus mantap di kawasan Bingkor.


Keningau : Barisan Ahli Jawatan Kuasa Induk, Pergerakan Pemuda dan Wanita Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) N.33 Bingkor masih kukuh dan terus kekal setia bersama dengan parti. Dalam satu perjumpaan bersama dengan Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup disini, ahli-ahli PBRS di kawasan itu melalui wakil mereka Petrus Mukilin berkata, akan terus setia dan berjuang bersama dalam PBRS kerana parti itu telah sebati dan mereka juga sayangkan parti itu meskipun tidak mempunyai kedudukan di kawasan berkenan.
Petrus berkata, ahli PBRS di Bingkor adalah seramai 6978 orang , dan mereka berpendapat tidak ada sebab untuk mereka meninggalkan parti itu , kerana bilangan mereka masih ramai yang taat setia kepada parti itu.
Bagaimanapun katanya, berikutan dengan perletakan jawatan mantan ketua bahagian Bingkor, pihak mereka menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan siapa yang mengetuai bahagian berkenan.
Sementara itu seorang yang didakwa keluar parti dan meletakkan jawatan, Gipin Intang menafikan beliau meninggalkan PBRS.
"Pada hari ini saya, dan dua orang wanita yang didakwa meninggalkan parti menyertai tindakan mantan ketua bahagian berada disini, kami masih bersama dengan PBRS ," kata Gipin.
Perjumpaan ahli-ahli AJK bahagian , Pemuda dan Wanita itu diselaraskan oleh Naib Presiden PBRS, Vincent Lee setelah ditemui oleh beberapa pemimpin bahagian yang mahu masalah itu diselesaikan dengan segera.
Sementara itu Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup berkata, PBRS akan teruskan perjuangan di Bingkor, kerana sudah menjadi kebiasaan dalam politik, pemimpin datang dan pergi dan silih berganti.
"Untuk menjadi seorang pemimpin adalah satu perjuangan, kita kena berkorban dengan masa kita sendiri. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada mantan ketua bahagian (Puan Jailin Lian) kerana bersama kami selama bertahun-tahun, semoga beliau sukses dalam apa juga bidang atau perjuangan yang dilakukannya di hadapan. All the best for you " kata Kurup.
Kata Kurup, hanya tiga orang AJK yang menyertai perletakan jawatan dan keluar dari PBRS.
"N33 Bingkor masih kuat dan bulat, hanya kehilangan ketua. Kita tidak tergugat dengan isu itu kerana keahlian kita sendiri bertambah," kata Kurup.
Dalam pada itu spekulasi mengenai siapa yang akan menerajui kepimpinan bahagian itu kini hangat diperbualkan. Ini disebabkan Timbalan Ketua Bahagian , Paul Mansiw dikatakan enggan memangku jawatan sebagai Ketua Bahagian kerana merasa belum bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut. Antara yang disebut-sebut untuk memiliki kerusi panas itu ialah Ketua Pemuda PBRS, Vincent Lee, seorang peguam, Justinus Baharum dan mantan Pemimpin kemajuan Rakyat (PKR) Jamree Mansiri.


No comments: