Wednesday, February 4, 2009

MP Mahu Pelaksanaan Hospital disegerakan














NABAWAN : Kerajaan Persekutuan diminta untuk menyegerakan pembinaan sebuah bangunan hospital daerah yang amat diperlukan di sini. Klinik Kesihatan yang ada kini tidak mampu menampung keperluan pesakit sementara penduduk di kawasan ini juga semakin bertambah.
Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Joseph Kurup berkata, Klinik Kesihatan Nabawan yang wujud sejak tahun 1973 perlu dinaik taraf. Pelaksanaan projek itu perlu dipercepatkan kerana ia amat diperlukan oleh rakyat di kawasan luar Bandar seperti Pensiangan.
Kurup berkata demikian setelah mendengar taklimat dan membuat tinjauan di sekitar kawasan Klinik Kesihatan yang dianjurkan oleh Panel Penasihat Klinik berkenan yang dipengerusikan oleh Ahmad Adini Angilas.
“ Daerah ini layak untuk dibina sebuah hospital, dan perancangan kearah merealisasikan usaha ini telah tersedia,” kata Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan. Turut hadir bersama di majlis itu ialah Pegawai Kesihatan Kawasan Keningau Dr Khebir Verasahib dan pegawai Perubatan, Dr. Nasir Khan Durani.
Menurut Kurup, hasil lawatan dan taklimat itu akan dibawa kepada Menteri Kesihatan Malaysia yang dijangka akan turun padang ke daerah itu dalam masa yang terdekat.
“ Pembinaan hospital ini mesti dibuat dan dilaksanakan kerana ia adakah satu keperluan yang amat mendesak di kawasan ini,”. Oleh itu katanya beliau akan memastikan perancangan untuk membina hospital itu dapat dilaksanakan.
Kurup berkata, soal kesihatan penduduk adalah amat penting, tanpa tubuh yang sihat sudah tentulah hasrat kerajaan untuk membasmi kemiskinan di kawasan luar Bandar tidak akan mencapai sasaran sepenuhnya.
“ Tahap kesihatan penduduk di kawasan pedalaman terutamanya di daerah ini adalah rendah. Ada diantaranya tidak mempunyai wang yang cukup untuk menampung kos semasa mendapatkan rawatan,” kata Kurup. Katanya pejabat perhubungan beliau sendiri menerima banyak permintaan untuk mendapatkan sumbangan bagi menampung kos rawatan rakyat.
Beliau juga mencadangkan kerajaan untuk memberi subsidi pembayaran yuran pendaftaran terutamanya di kawasan luar Bandar.
Menurut Kurup beliau diberitahu antara sebab jumlah kedatangan pesakit menurun di Klinik Kesihatan Nabawan adalah kerana tidak ada kemampuan untuk membayar RM1 dan kos pengangkutan yang meningkat antara tahun 2007-2008.
Oleh itu katanya, sebuah hospital harus diwujudkan dengan segera memandangkan kepada keperluan dan kelayakan daerah tersebut.
Sementara itu, Pegawai Kesihatan Kawasan Keningau, Dr Khebir Verasahib berkata, tender untuk membina sebuah hospital di daerah itu telah dikeluarkan sebelum ini, dan ianya dibuka semula.
Sebuah papantanda mengenai pembinaan sebuah hospital di daerah itu masih terpacak sejak tahun 1994 dan telah dijadikan isu politik oleh pihak pembangkang. Projek pembinaan hospital itu telah diumumkan oleh Datuk Najib Tun Razak ketika melawat Nabawan pada tahun yang sama.

No comments: