Friday, February 6, 2009

Suku Calon Bukan Isu : Penyokong BN

KENINGAU : Pemimpin Barisan Nasional (BN) khususnya di Pensiangan diminta untuk mengutamakan perpaduan parti dan mengelakkan diri dari mengeluarkan kenyataan berbau sentimen berhubung kait dengan calon sekiranya terdapat pilihanraya kecil di kawasan itu.
Mantan Timbalan Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Nabawan, Stephen Lewin berkata, soal siapa dan suku calon BN seharusnya tidak dijadikan isu kerana ia adalah keputusan kepimpinan pusat, dan ahli-ahlinya harus memberikan sokongan penuh tanpa berbelah bagi.
Katanya terdapat individu yang begitu mendesak mahu calon dari suku kaum Murut dijadikan calon dalam pilihanraya kecil jika BN mahu kemenangan besar. Isu itu tidak seharusnya timbul kata Stephen memandangkan selama ini suku kaum Murut dan Dusun adalah penyokong kuat BN , dan memberikan kemenangan besar pada setiap pilihanraya yang diadakan.
“Kenyataan seumpama ini tidak terbuka dan sempit, kita mesti pertahankan perpaduan antara kita (KDM) jika kita sayangkan bangsa kita yang masih lagi mundur dalam pelbagai sudut,” kata Stephen. Oleh itu katanya pihak terbabit adalah dialu-alukan untuk memberi sumbangan berupa idea dan cadangan untuk membawa martabat suku kaum Murut dan Dusun di kawasan itu dengan lebih cemerlang.
Menurutnya, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) , Tan Sri Joseph Kurup disenangi oleh masyarakat Murut di kawasan itu. Para pemimpin masyarakat ( Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri dan Ketua-ketua kampung) di Daerah Kecil Pagalungan iaitu dari Mukim Pensiangan dan Mukim Pagalungan telah memberikan penghormatan terhadap Ahli Parlimen Pensiangan dengan gelaran ‘ ruyan atulai’ yang menterjemahkan sokongan padu suku kaum Murut Tagol.
Seorang mantan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) V.Chong (gambar atas) berkata sentimen kesukuan dalam parti (PKR) di Pensiangan adalah punca kenapa beliau menyertai Barisan Nasional(BN), yang jika diamalkan oleh sesetengah pemimpin dalam BN akan menjejaskan perpaduan sekaligus menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan penyokong yang terdiri dari pelbagai bangsa.
V.Chong , seorang peranakan Sino Murut berkata, pengundi di Pensiangan menolak sentimen kesukuan kerana ianya tidak membantu. Namun katanya beliau akan merasa amat bangga sekiranya seseorang dari suku itu akan menjadi wakil rakyat satu hari nanti, namun mereka perlu menimba pengalaman terlebih dahulu dengan mendampingi pemimpin yang berpengalaman seperti Tan Sri Joseph Kurup.
“Memang ramai graduan di Pensiangan , tetapi graduan berlandaskan pengalaman dalam bidang politik amat kurang. Ingatlah penyokong kita bukan setakat bangsa kita sahaja,” kata Chong.
Julef Basir, Pegawai Perhubungan Parlimen Pensiangan berkata, Parlimen Pensiangan adalah contoh terbaik dalam soal pengagihan kuasa berlandaskan kaum jika itu yang mereka ingin timbulkan.
Katanya, DUN Sook, diwakili oleh YB Datuk Ellron Angin dan DUN Nabawan diwakili oleh YB Datuk Bobbey Suan, kedua-duanya adalah suku kaum Murut. Manakala di peringkat Parlimen adalah dari suku Dusun.
“ Kemenangan kedua-dua Adun itu adalah hasil kerjasama penyokong pelbagai kaum di kawasan masing-masing. Soal suku calon itu tidak harus dijadikan isu, “ kata Julef.
Tambahnya , mantan Ahli Parlimen Pensiangan, Taimin Lumaing memenangi kerusi parlimen Pensiangan satu ketika dahulu atas sokongan suku kaum Dusun, oleh itu beliau harus berhenti mengguris hati pengundi Dusun.

“Sebagai seorang pemimpin terdahulu, mantan ahli parlimen (Taimin) seharusnya matang dari segi berfikir dan berfikiran secara terbuka.,’. Seseorang mempunyai hak demokarsinya untuk menyuarakan sesuatu pendapat tetapi kenyataan mantan ahli parlimen itu menimbulkan perasaan kurang senang dan menggambarkan kita (Murut) sebagai orang yang tidak mahu berunding dan pemaksa.
Katanya, beliau juga merasa hairan dengan pendapat sesetengah pihak yang menyatakan Ahli Parlimen ( Kurup) adalah orang luar.
“ Beliau mengundi di N.37 Sook, bagaimana dia boleh dianggap sebagai orang luar,” katanya. Beliau berkata rakyat Pensiangan dari pelbagai komponen akan meletakkan kemenangan BN sebagai keutamaan apabila tiba masanya.

No comments: