Monday, February 9, 2009

PEMIMPIN MASYARAKAT SOOK MAHU KURUP DICALONKAN, TOLAK ISU KAUM















Keningau : Para pemimpin masyarakat di kawasan Sook disini menolak isu calon kaum dan bersatu padu menyokong agar Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) , Tan Sri Joseph Kurup dicalonkan semula sekiranya pilihanraya kecil bagi Parlimen Pensiangan diadakan sebaik Mahkamah Persekutuan membuat keputusan dalam masa yang terdekat ini.
Dalam satu pertemuaan dengan para pemimpin masyarakat terdiri dari Ketua Daerah, Ketua –Ketua Anak Negeri, Wakil-Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua-Ketua Kampung dan Pengerusi-Pengerusi JKKK disini bersama dengan Ahli Parlimen Pensiangan disini. Kurup yang merupakan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) berkata, banyak perancangan kerajaan Persekutuan telah dirangka dan dirancang untuk membangun dan memajukan kawasan itu.
Kurup juga menafikan tidak ada pembangunan yang dibawa beliau ke kawasan Sook sebelum ini, dan menyifatkan dakwaan itu berniat jahat. Katanya, beliau juga sentiasa bersama dengan rakyat sejak dari dulu dan telah menyelesaikan masalah rakyat terutamanya berkaitan dengan soal tanah.
Pada pertemuan itu juga satu tayangan slaid mengenai pembangunan infrastuktur, sosio ekonomi, pendidikan, social yang telah dilaksanakan oleh Kurup. Tayangan itu turut membuka mata sebahagian pemimpin masyarakat tentang pembangunan yang berlaku di sekitar kawasan mereka.
Noritah Abdullah , PJKKK Kg Rancangan Belia Tiulon menyifatkan, Kurup adalah seorang wakil rakyat yang diibaratkan sekuntum bunga yang mekar, yang perlu diberi peluang untuk meneruskan perancangan pembangunan di Pensiangan.
“Tempoh beliau yang belum setahun jagung tetapi kita sudah nampak perubahan, apalagi jika ia sepenggal,” kata Noritah. Beliau berkata Kurup berkeupayaan dan berpengalaman, sehinggakan kawasan Pensiangan yang jarang dilawati menteri persekutuan kini menjadi tumpuan.
Saingon Gadus, dari Kampung Simbuan berkata , rakyat di Sook menolak isu suku kaum calon Barisan Nasional (BN), kerana apa yang paling penting ialah calon tersebut memenuhi kriteria dan berwibawa. Lagipun katanya kawasan Parlimen Pensiangan harus dipertahankan kerana kerajaan Persekutuan memberikan peruntukan yang besar untuk kawasan luar Bandar.
Bagi Ketua cawangan UMNO Kg Binuwo Tengah yang juga Pengerusi JKKK, Norhaidar Kasiman berkata, Kurup harus diberi peluang jika ada pilihanraya kecil diadakan di kawasan itu, memandangkan beliau belum menjalankan sepenuhnya tanggungjawab beliau sebagai Ahli Parlimen
“Mari kita uji dia pada penggal ini dan beri peluang kepada beliau. Bagi Umno kami tiada masalah untuk menyokong Kurup,” kata Norhaidar.
Frankie Towok Tatoi dari Kg Tuawon berkata, suku kaum calon BN tidak penting dan bukannya keutamaan, yang penting katanya ialah pemimpin yang boleh membawa masalah rakyat ke peringkat Persekutuan.
“ Kita di Pensiangan sudah cukup berterima kasih kerana diberikan peranan dalam cabinet persekutuan, ini adalah satu penghargaan dan kita mesti pertahankan,” kata Towok.
Kesemua pemimpin masyarakat di Sook menolak isu kaum calon dan menyifatkannya sebagai tidak penting.

No comments: