Saturday, August 1, 2009

PBRS mahu syarat miliki Ruma Mesra Rakyat dilonggarkan

Keningau : Kerajaan Persekutuan diminta untuk mengkaji serta memberi kelonggaran terhadap syarat yang dikenakan untuk memiliki sebuah rumah yang dikenali sebagai Rumah Mesra Rakyat . Syarat yang ketat itu menyebabkan ramai penduduk luar bandar terlepas peluang yang diberikan kerajaan.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Ellron Angin berkata, rakyat mengadu kepada beliau tentang kekecewaan mereka kerana gagal mendapat peluang untuk memiliki rumah itu kerana syarat yang terlalu ketat dikenakan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad(SPNB).
Katanya, kerajaan harus mengkaji atau memberi kelonggaran agar pemohon khususnya dari kawasan luar Bandar turut menikmati kemakmuran dan kemurahan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Syarat utama permohonan Rumah Mesra ialah tapak tanah itu harus bergeran, dan geran tersebut akan dijadikan jaminan dan dikembalikan apabila pemilik itu melangsaikan bayaran rumah itu mengikut syarat SPNB,
Wakil Rakyat Sook itu berkata kebanyakan penduduk di luar Bandar mendiami kawasan perkampungan yang tidak bergeran kepada individu. Oleh itu katanya kerajaan Persekutuan harus mengkaji agar lot-lot di kawasan perkampungan juga perlu diberi kelonggaran dan layak untuk dipertimbangkan sebagai tapak Rumah Mesra Rakyat.
“ Mereka tidak akan lari dari komiten mereka untuk membayar semula harga rumah itu yang separuhnya dibayar oleh kerajaan,” kata Ellron.
“ Kita juga mencadangkan agar tanah yang dibincangkan di mesyuarat tindakan tanah (LUC) dan telah dimuktamadkan dalam mesyuarat itu harus diberi kelonggaran untuk dijadikan jaminan bagi pemohon Rumah Mesra,” kata Ellron yang juga Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
“Rumah mesra rakyat seharusnya dinikmati oleh masyarakat luar Bandar juga,dan inilah sasaran kerajaan melalui konsep 1Malaysia Perdana Menteri. Kita mahu rakyat diluar bandar diberi tumpuan dan keutamaan dalam memiliki rumah ini,” kata Ellron.

No comments: