Wednesday, May 27, 2009

Kaamatan Sebagai Tonggak 1Malaysia




Keningau : Perayaan Pesta Kaamatan yang disambut oleh masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) adalah lambang perpaduan yang harus menjadi tonggak kekuatan dalam menyahut seruan konsep 1Malaysia.
Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup berkata, Kaamatan adalah asas yang sangat kukuh dalam mengungkapkan perasaan muhibbah pelbagai kaum di negeri ini.
Kurup berkata demikian ketika merasmikan perayaan pesta Kaamatan di Kampung Karamatoi Laut disini. Turut hadir Wakil Rakyat Sook yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Ellron Angin, Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Pensiangan, Vincent Lee , AMT PBRS Rayner Udong dan Alfian Koroh serta Exco Wanita PBRS Rozie Jumat.
Kurup yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata, perayaan Kaamatan turut diraikan oleh bangsa yang lain dan diterima kerana ia menganjurkan semangat persefahaman tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan politik.
Namun Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan turut menyeru KDM untuk mengukuhkan perpaduan yang lebih kuat agar mereka tidak ketinggalan di dalam dasar-dasar kerajaan.
Sementara itu sempena majlis yang sama di Kampung Sanang di Mukim Dalit, Kurup mahu rakyat mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan agar masalah mereka dapat diselesaikan secara teratur. Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri sedang membuat kajian mengenai masalah penduduk di kawasan tanah hutan simpan dengan satu jawatankuasa kecil yang akan diketuai oleh wakil rakyat.
Di majlis itu seramai 120 orang menyerahkan borang keahlian untuk menyertai PBRS.
Di Kampung Sanang masyarakat kaum Murut di kampung itu menyambut Kurup dan Ellron dengan upacara inasi ( penghantaran berian) dan disambut dengan penuh meriah oleh penduduk tanah hutan simpan.
Ketua Masyarakat , Lingkungan Sarah berkata, mereka amat terhutang budi dengan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang sentiasa memberi perhatian kepada rakyat, dan melindungi penduduk itu dari diganggu oleh Jabatan Hutan baru-baru ini.
Sebanyak 60 keluarga di kampung itu turut menerima bantuan zink sebanyak 30 keping sekeluarga yang disalurkan oleh peruntukan kerajaan Persekutuan.

No comments: