Monday, November 22, 2010

PBRS Semporna rayu jambatan Pulau Bum Bum diteruskan


Semporna : Rakyat di kawasan Pulau Bum Bum merayu kepada kerajaan pusat untuk meneruskan perancangan pembinaan jambatan dari tanah besar ke pulau tersebut. Perancangan jambatan tersebut telah diluluskan untuk dilaksana oleh mantan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Ketua Bahagian Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) P189 Semporna, Mohd Seh Hj Abdul Lirih, 53 berkata, jambatan tersebut sangat diperlukan oleh penduduk di kawasan itu, kerana ia boleh menjana ekonomi sosio penduduk di kawasan yang terkenal dengan surga menyelam dasar laut.
“Bagi pihak penduduk di kawasan luar Bandar ini kita merayu kerajaan dibawah kepimpinan YAB Perdana Menteri agar memberi perhatian terhadap rancangan pembinaan jambatan yang telah dibatalkan ini, kerana penduduk disini amat memerlukannya,” kata Mohd Seh.
jambatan sejauh 2km itu telah dicadangkan pada tahun 2005 dan telah diluluskan serta diumumkan oleh mantan Perdana Menteri, yang telah berkunjung ke Pulau Bum Bum sebanyak dua kali sebelum ini.
Rakyat di kawasan itu kata Mohd Seh, mahu perancangan pembinaan jambatan itu diteruskan, kerana ianya sangat penting bagi mereka.
“Tidak benar sama sekali tanggapan bahawa pembinaan jambatan itu tidak memberi pulangan kepada kerajaan, kita sangat berkeyakinan dengan adanya jambatan itu akan mengubah ekonomi rakyat di kawasan ini,” kata Mohd Seh.
Sehubungan dengan itu kata Mohd Seh, Pulau Bum Bum yang terletak di DUN Senalang dalam kawasan Parlimen Semporna , mampu menyajikan pendapatan kepada kerajaan terutamanya dalam sektor pelancongan.
“Kita sangat berkeyakinan dengan keperihatinan dan kepimpinan Ahli Parlimen Semporna, jambatan yang diidam idamkan masyarakat disini dapat direalisasikan,”.
Namun kata Mohd Seh, rakyat terus menunggu pembinaan jambatan tersebut meskipun lima tahun telah berlalu, dan mengharapkan agar kerajaan Persekutuan memberi perhatian serius terhadap penantian 20,000 orang penduduk di pulau tersebut.
Sebelum ini Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Afdal pernah berkata bahawa kerajaan akan meneruskan rancangan untuk membina jambatan yang menghubungkan Semporna dengan Pulau Bum-Bum apabila keadaan ekonomi negara pulih dalam satu program Mesra Rakyat di Kampung Terusan , Pulau Bum Bum baru-baru ini.
Dimana kata Shafie, keadaan kemelesetan ekonomi sekarang menyebabkan projek jambatan berkenaan terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu.
Menurut Shafie, beliau menyerahkan kepada agensi berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya untuk menilai semula kos semasa pembinaan jambatan berkenaan.

No comments: