Monday, November 22, 2010

RM2.3 juta dibelanja perbaiki rumah panjang di Pensiangan

Ahli Parlimen Pensiangan, YB Tan Sri Joseph Kurup disambut penduduk Kg.Solog.
Bangunan berwarna kuning ialah rumah panjang yang dirasmikan oleh YB Tan Sri.
Salah satu rumah panjang yang menerima peruntukan pembaikan di Pensiangan.


Nabawan : Sebanyak RM2.3 juta telah dibelanjakan untuk memperbaiki rumah-rumah panjang di kawasan Parlimen Pensiangan sejak tahun 2009 dan 2010. Namun usaha untuk memperbaiki rumah-rumah panjang masih diteruskan secara berperingkat untuk mensejahterakan keperluan penghuni rumah panjang.
Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup berkata, perancangan pembaikan rumah-rumah panjang di kawasan itu khususnya di pedalaman Pensiangan telah dimulakan ketika beliau menjawat Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
“Saya telah melihat dengan sendiri keadaan rumah-rumah panjang di kawasan ini, dan juga tidur di rumah-rumah panjang ini. Kita prihatin dengan keperluan rakyat dan melakukan sesuatu demi melihat perubahan kepada tempat tinggal mereka yang daif dan kurang selesa,” kata Kurup yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Sempena perasmian pembaikan rumah panjang di Kg.Solog disini.
Malahan kata Kurup, beliau sendiri turut membuat lawatan ke Kapit, Sarawak untuk melihat rumah-rumah panjang disana yang turut dibantu oleh kerajaan.
“Rumah panjang disana lebih baik dan moden dibandingkan dengan rumah rumah panjang di kawasan Pensiangan yang dihuni oleh suku kaum Murut. Rumah panjang kita tidak berapa baik,” kata Kurup.
Oleh itu kata Kurup beliau telah membawa masalah itu kepada Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan peruntukan dan meminta kakitangan dari Kementerian Kemajuan Luar Bandar (KKLW) turun padang ke Pensiangan untuk melihat sendiri keperluan tersebut.
“Saya sangat gembira dan mahu berkongsi kegembiraan ini bersama rakyat bahawa kerajaan sehingga kini telah membelanjakan RM2.3 juta untuk memperbaiki rumah rumah panjang di kawasan ini, rumah mereka kini selesa dan cantik-cantik belaka,” kata Kurup.
Kata Kurup, usaha beliau adalah berterusan untuk melihat kesejahteraan rakyat dan tumpuan pembangunan beliau terdapat dalam Rancangan Lima Tahun Pembangunan (Blueprint).
“Rancangan pembangunan dari pihak saya banyak lagi untuk membantu penduduk di kawasan ini, kita mahu basmi kemiskinan habis-habisan,bukan semata-mata memperbaiki atau membina rumah panjang” kata Kurup. Turut sama dalam majlis itu ialah Naib Presiden Parti Berstau Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Kadoh Agundong.
Sempena majlis itu Kurup menerima 200 keahlian baru yang menyertai Barisan Nasional (BN) melalui PBRS. Dari jumlah itu seramai 28 orang adalah dari ahli parti pembangkang yang mengambil keputusan untuk menyokong kerajaan setelah melihat pembangunan yang dibawakan oleh kerajaan di kawasan tersebut.

No comments: