Monday, November 1, 2010

BAKTI terus bantu pelajar di P182 Pensiangan


Keningau : Seramai 30 pelajar telah mendapat manfaat dan bantuan kewangan sebanyak RM600 seorang melalui Derma Siswa Bakti (Badan Amal dan Tenaga Isteri Isteri) di kawasan Parlimen Pensiangan sejak dua tahun yang lalu. Pelajar yang mendapat bantuan kewangan itu adalah berdasarkan keputusan yang baik dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Persekolahan Malaysia (SPM).
Ahli BAKTI yang juga isteri kepada Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar iaitu Ahli Parlimen Pensiangan, Puan Sri Melinda Kurup berkata, mereka yang layak untuk mendapat bantuan ini adalah pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan tetapi mempunyai prestasi yang baik dalam peperiksaan.
“Kita sentiasa berusaha membantu kerana mereka ini adalah pelajar yang memerlukan sokongan kewangan, saya juga sangat mengharapkan penerima ini dapat meningkatkan lagi prestasi mereka,” kata Melinda yang ditemui di Majlis Penyerahan Bantuan Dermasiswa Bakti di Pejabat Daerah Kecil Sook disini.
Penerima itu terdiri dari pelajar yang berasal dari kawasan pedalaman seperti Daerah Kecil Sook, Daerah Kecil Pagalungan dan Daerah Nabawan.
Hadir di majlis itu ialah Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup yang turut memberikan kata-kata perangsang serta nasihat kepada para penerima.
Kata Kurup, generasi muda di kawasan pedalaman itu adalah modal insan , dan mereka haruslah berusaha agar berjaya meletakkan diri mereka sebagai insan yang berguna kepada masyarakat di masa akan datang.
Hadir sama, Penolong Pegawai Daerah , Jasli Tindi dan isteri Wakil Rakyat Sook, Datin Maria Angin.
Dalam pada itu Melinda juga menyeru kepada pelajar dari kawasan Pensiangan agar mengemukakan permohonan mereka untuk tahun 2011.
Di majlis itu seramai 13 pelajar menerima bantuan kewangan.
Salah seorang penerima, Jenny Sijuni Pelajar Tingkatan 4, SMK.Sepulut, Nabawan berkata, beliau amat berterima kasih kerana dipilih menerima bantuan kewangan itu.
“Saya akan guna duit ini untuk membeli buku-buku rujukan dan keperluan sekolah ,” kata Jenny.

No comments: