Tuesday, November 3, 2009

Jalan Sapulut-Kalabakan yang jadi isu

Jalan Sapulut-Kalabakan dari Kg.Tonomon, Sapulut.
Simpil

Nabawan : Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Simpil Andingos berkata, kerajaan harus mengambil tindakan keras terhadap pelaksana projek Jalan Sepulut-Kalabakan yang telah membazirkan wang rakyat dengan kerja-kerja yang tidak menepati pelan kerja yang sebenar.


Simpil yang juga merupakan Timbalan Ketua Penerangan PBRS N.38 Nabawan berkata, projek itu telah menjadi isu besar bukan sahaja di kawasan pedalaman tetapi menjadi perdebatan hangat di peringkat kebangsaan apatah lagi peruntukan untuk membinanya adalah cukup besar iaitu RM500 juta.


" Projek ini telah menganiaya penduduk yang berhampiran kerana berapa banyak tanaman yang telah menjadi korban kepada pembangunan tetapi hasilnya bukan seperti yang kita harapkan," kata Simpil.Menurutnya, sebagai pengguna jalan Sepulut di daerah Nabawan beliau amat kesal kerana projek bernilai jutaan ringgit itu membazirkan wang kerajaan dan pembayar cukai.


Katanya pada tahun yang lepas kata Simpil beliau telah menghantar satu khidmat pesanan ringkas (Sms) dalam satu wawancara Bersama Menteri Jalan Raya di RTM1 yang disiarkan secara langsung. Pertanyaan beliau yang mewakili penduduk Sepulut itu kemudiannya diambil tindakan seminggu kemudian dengan satu panggilan dibuat dari Kuala Lumpur.


"Maklum balas semasa itu ialah jalan raya itu dibuka semula untuk ditender, tapi sehingga kini jalan raya ini yang merupakan alternatif paling dekat menghubungkan Tawau dengan Keningau masih gravel," kata Simpil yang merupakan Pegawai Perhubungan Parlimen Pensiangan bagi Mukim Pagalungan.


Menurut Simpil, jalan raya itu juga merupakan jalan perhubungan untuk ke kawasan pelancongan Batu Punggul di Sepulut, dan Maliau Basin."Kita tidak mahu projek-projek kerajaan dipersiakan kerana ianya adalah keperluan rakyat yang amat mendesak terutamanya di kawasan pedalaman seperti Pensiangan," ujar Simpil.

No comments: