Wednesday, May 27, 2009

Kerajaan Jamin Masalah Penduduk Tanah Hutan Simpan Akan Diatasi
















Keningau : Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) telah mengemukakan satu cadangan bagi menyelesaikan masalah pendudukan tanah hutan simpan terutamanya di kawasan luar bandar kepada kerajaan dan ianya mendapat perhatian Ketua Menteri yang memberikan maklumbalas yang amat positif.
Presiden PBRS , Tan Sri Joseph Kurup berkata, masalah yang dihadapi oleh penghuni tanah hutan simpan yang berlarutan sejak sekian lama akan menemui jalan penyelesaian dengan satu jawatankuasa ditubuhkan khusus membuat kajian dan tinjuan di kampung-kampung yang terlibat.
Kurup yang merupakan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata demikian ketika merasminkan sambutan perayaan Pesta Kaamatan di Kampung Sanang yang diadakan mengikut acara ansakoi ( hantaran berian). Turut hadir sama ialah Datuk Ellron Angin , Pembantu Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga Wakil Rakyat Sook.
Ahli Parlimen Pensiangan itu berkata PBRS telah mengemukakan cadangan penyelesaian tersebut melalui satu pertemuan dengan Ketua Menteri baru-baru ini, dan maklum balas ketua menteri tersebut amat menggembirakan penduduk terbabit.
Menurut Kurup , ketetapan secara dasarnya ialah kerajaan akan membuat kajian di setiap kampung yang terlibat dengan hutan simpan. Dengan satu jawatankuasa ditubuhkan yang akan diketuai oleh ahli dewan undangan negeri ( wakil rakyat) dan dalam masalah bagi kawasan Sook, ianya akan diketuai oleh Datuk Ellron Angin.
Kata Kurup , kajian itu antara lainnya adalah untuk mengenalpasti berapa luas tanah dikeluarkan untuk kegunaan rakyat sekaligus sebagai satu usaha pembasmian kemiskinan melalui pembangunan tanah.
Bagaimanapun kata Kurup, beliau merayu kepada rakyat agar bersabar sehingga kajian dan tinjauan itu disiapkan , kerana beliau tidak mahu proses tersebut diganggu dengan pembukaan tanah secara besar-besaran di kalangan rakyat.
“ Tolong jangan menganggu proses ini dengan adanya cubaan untuk menambah keluasan tanah yang ada sekarang kerana ia menyalahi peraturan sebelum ini. Kita merayu rakyat janganlah besar-besarkan tanah lagi. Tunggu sehingga proses ini kajian ini diselesaikan, “ tegas Kurup yang turut memberi jaminan penduduk kini boleh tidur dengan lena.
Beliau juga menyampaikan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri diatas keprihatinan untuk menyelesaikan masalah tersebut . Kampung-kampung yang terlibat dengan hutan simpan termasuk dalam kajian dan tinjauan tersebut.
Dalam pada itu Kurup turut menerima sebanyak 120 borang keahlian menyertai PBRS di kampung itu.
Beliau juga mahu ibubapa di kawasan luar Bandar tidak menjadikan ketiadaan sekolah di kampung mereka atau kedudukan sekolah yang jauh dari kampung sebagai alasan untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah.
“ Anak-anak di kawasan pedalaman harus diberikan pendidikan, ,mereka adalah harapan kita di masa hadapan, “ kata Kurup.

Sementara itu Ketua Masyarakat Kg Sanang, Lingkungan Sarah berkata, mereka amat berterima kasih diatas keprihatinan kerajaan untuk menyelesaikan masalah mereka yang secara tradisinya telah menghuni kawasan itu yang diistiharkan sebagai tanah hutan simpan.
“ Sebelum ini kami sering diganggu dan diberikan notis keluar dari tanah kami, sekarang kami merasakan kekuatan dan jaminan itu memberikan semangat kepada kami,”.

No comments: