Friday, May 8, 2009

MP Syor pembelajaran agama bagi Bukan Islam di Tabika Kemas

Keningau : Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dibawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) disyorkan membuat pendekatan terbaru dengan memperkenalkan silibus mata pelajaran agama bagi pelajar yang bukan beragama Islam di kelas tabika. Pada ketika ini pelajar bukan Islam mempelajari pendidikan Sivik.

Mantan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Joseph Kurup berkata, syor itu selaras dengan konsep 1Malaysia, dan sesuai untuk dilaksana di kawasan luar Bandar kerana rata-rata pelajar Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) terdiri dari kalangan yang bukan beragama Islam dan pembelajaran mengenai agama mereka adalah amat penting di peringkat pendidikan awal.


Misalnya kata Kurup yang kini Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, di daerah Keningau dan Sook kebanyakan pelajar Tabika Kemas adalah di kalangan Bukan Islam, maka beliau syorkan agar pendidikan agama Kristian dilaksanakan.

“Sebagai contohnya jika di kawasan itu majoriti Bukan Islam, maka mereka diajar dengan agama mereka, begitu juga sebaliknya” kata Kurup ketika merasmikan program Hari Potensi Kanak-Kanak Kemas Peringkat Zon 4 Sabah ( Pensiangan, Keningau, Ranau, Tenom) di sini baru-baru ini.

Di kebanyakan kelas Tabika Kemas seperti di Sook atau Pensiangan kata Kurup , boleh dikatakan rata-rata pelajarnya adalah 99 peratus adalah pelajar yang beragama Kristian.

Kurup yang merupakan Ahli Parlimen Pensiangan berkata, keperluan untuk memberi mata pelajaran agama bagi pelajar bukan Islam di Tabika Kemas adalah wajar mengikut keadaan persekitaran.

“ Kita mahu Tabika Kemas terus releven kepada pelajar Bukan Islam , dan ianya memenuhi syarat dan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri,” kata Kurup.

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) itu berkata, suara akar umbi meminta beliau mengemukakan syor itu sebelum ini ketika masih berada di KKLW, namun beliau yakin pihak kerajaan terutamanya KKLW mengambil perhatian syor itu.

“ Ada beribu-ribu orang berada di belakang saya yang mahukan anak-anak mereka diberi pelajaran agama Kristian di kelas tabika Kemas. Saya bersetuju dengan mereka,” kata Kurup.

Namun katanya Tabika Kemas masih tetap menjadi pilihan ibubapa terutama di luar Bandar Cuma terdapat permintaan agar pembelajaran agama bagi bukan Islam dilaksanakan di kelas tersebut.

Beliau juga bersetuju bahawa Tabika Kemas telah memberi sumbangan yang amat besar dalam pembelajaran pendidikan awal kanak-kanak khususnya di kawasan pedalaman.

No comments: