Wednesday, October 28, 2009

Mercy Malaysia beri perkhidmatan percuma di Pegalungan

Beri manfaat kepada rakyat pedalaman ..Vincent
Keningau : Pejabat Perhubungan Parlimen 182 Pensiangan mengalu-alukan kedatangan rombongan Mercy Malaysia dalam rangka memberi perkhidmatan percuma kepada rakyat di Daerah Kecil Pagalungan. Seramai 56 rombongan dari Mercy Malaysia yang berpengkalan di Kuala Lumpur itu akan membawa bersama 13 orang doctor pakar yang antaranya pakar sakit puan dan doctor gigi.
Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen 182 Pensiangan, Vincent Lee berkata, rombongan Mercy Malaysia itu akan bertolak pada 30hb Oktober jam 10.00 pagi dari Keningau dan dijangka akan tiba di Pekan Pagalungan, dalam Daerah Kecil Pagalungan pada jam 3.00 petang. Rombongan itu akan memberi perkhidmatan mereka pada 31hb ini bermula seawal pagi dan kembali ke Kota Kinabalu pada 1hb November ini.
“ Kami amat berterima kasih kepada Mercy Malaysia kerana memberi perhatian kepada rakyat di pedalaman seperti Mukim Pegalungan dan Mukim Pensiangan dalam memberikan perkhidmatan perubatan. Ini satu berita baik kepada mereka yang tinggal di sekitarnya kerana dapat memanfaatkan program ini,” kata Vincent.
Sempena program itu juga kata Vincent, pihak Jabatan Pendaftaran Negara akan memberi perkhidmatan pendaftaran lewat lahir , manakala Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am akan membuka kaunter untuk pendaftaran E-Kasih dan Projek Cari. Program itu juga dimanfaatkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya dengan membuka kaunter pendaftaran bagi pemilih baru.
" Penganjur iaitu Pejabat Perhubungan Parlimen Pensiangan dan Pejabat Daerah Kecil Pagalungan amat mengalu-alukan program seumpama ini kerana ianya memberi perkhidmatan kepada rakyat serta meringankan bebanan yang ditanggung terutamanya berkaitan dengan tambang untuk ke Bandar,” kata Vincent.
Turut hadir sempena program itu ialah Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar , Tan Sri Joseph Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan.
Satu penyerahan sumbangan bantuan kepada penduduk Rumah Panjang Kg.Mangkam yang diterbangkan angin akan turut dilaksana sempena program itu, dan penyerahan bantuan kewangan Bantuan Orang Tua hasil dari Ops Klien Projek Cari sebelum ini.
Oleh itu kata Vincent , rakyat di sekitarnya adalah diminta untuk memanfaatkan program tersebut.

No comments: