Sunday, November 1, 2009

1OOO ORANG DAPAT RAWATAN PERKHIDMATAN PERUBATAN MERCY MALAYSIA DI PEGALUNGAN

Suasana di kaunter pendaftaran
pemeriksaan mata

Kurup dibawa oleh Adrian meninjau kaunter perkhidmatan



Ahli rombongan Mercy Malaysia disambut oleh penduduk dan pemimpin masyarakat di Daerah kecil Pagalungan. Turut mengalu-alukan Penolong Pegawai Daerah, Sukiang Ensing dan Pegawai Perhubungan Parlimen Pensiangan , Simpil Andingos.



Kenderaan pacuan empat roda yang digunakan oleh konvoi Mercy Malaysia ke Pagalungan sejauh 180km dari Pekan Keningau, jalan gravel.



Nabawan : Seramai 1000 orang dari penduduk di kawasan terpencil dalam Daerah Kecil Pagalungan, 180km dari Keningau mendapat rawatan kesihatan secara percuma sempena UMW-Mercy Malaysia Chapter Sabah Community Healty Project disini.

Projek tersebut amat dinanti-nantikan rakyat di Mukim Pegalungan dan Mukim Pensiangan yang memerlukan rawatan, sekaligus meringankan beban perbelanjaan yang harus mereka tanggung untuk ke Keningau. Antara yang mendapatkan rawatan itu termasuklah orang tua, dewasa dan kanak-kanak.

Program itu juga mendapat kerjasama yang erat melalui Pejabat Perhubungan Parlimen Pensiangan dan Pejabat Daerah Kecil Pagalungan yang sentiasa mengalu-alukan program yang bermanfaat seumpama itu dilaksana di kawasan tersebut.

Sementara itu Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup menggesa kerajaan melalui Kementerian Kesihatan agar menaiktaraf Klinik Kesihatan di daerah kecil itu demi menjaga kesejahteraan kesihatan rakyat di kawasan terpencil.

Kurup yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata, program perkhidmatan yang dibawakan oleh Mercy Malaysia Cawangan Sabah melalui UMW-Mercy Malaysia Community di kawasan itu membuktikan lebih banyak pakar perubatan diperlukan untuk memastikan kesejahteraan kesihatan di kawasan berkenan.

“Tahap kesihatan di kawasan ini kurang membanggakan , ramai yang tidak mendapat rawatan kesihatan yang lebih baik kerana kebanyakan penduduk di kawasan ini iaitu dari Mukim Pegalungan dan Mukim Pensiangan adalah dari kalangan penduduk miskin tegar,” kata Kurup ketika memberikan ucapan sempena majlis penutupan program perkhidmatan perubatan secara percuma itu.

Beliau turut mengucapkan terima kasih atas program itu bagi pihak masyarakat Daerah Kecil Pagalungan yang terletak di sempadan Malaysia –Indonesia disini.

Sempena program juga seramai 107 orang mendapat cermin mata dan 200 orang mendapat rawatan cabut gigi yang dikendalikan oleh doktor pakar dari Kota Kinabalu.

Daerah Kecil Pagalungan mempunyai dua buah klinik kesihatan yang terletak di Pekan Pagalungan dan Pekan Pensiangan.

Sementara itu wakil dari Mercy Malaysia (Sabah) Sister Anita Malik berkata, kedatangan penduduk di kawasan itu untuk mendapatkan rawatan sehari membuktikan mereka mempunyai kesedaran mengenai kesihatan.

Program sehari itu dijayakan dengan kerjasama Pejabat Perhubungan Parlimen Pensiangan, Pejabat Daerah Kecil Pagalungan, Biro Kebajikan PBRS-BN dan jabatan kerajaan lain seperti Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Kebajikan.

No comments: