Monday, October 19, 2009

PBRS akan terus bersama dengan rakyat : Kurup

Ahli baru PBRS dari Kundasang
Kurup disambut oleh ahli PBRS di Kundasang

Ranau : Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) terus mendapat sambutan di kalangan rakyat di negeri ini kerana perjuangannya yang ikhlas, mendengar serta menjaga kepentingan rakyat.
Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup berkata, meskipun melalui pelbagai liku serta cabarannya , PBRS terus menjadi pilihan rakyat di kawasan luar Bandar kerana parti itu memperjuangkan nasib dan masa depan rakyat.
Kurup yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBRS N.29 Kundasang di Rumah Rehat disini.
Katanya, PBRS telah melalui pelbagai liku serta krisis sebelum ini namun kerana perjuangannya yang ikhlas kepada rakyat, parti ini terus meningkat dan terus disokong oleh rakyat.
Beliau berkata pemimpin dan penyokong PBRS di peringkat akar umbi dan bahagian harus memahami istilah perjuangan dan pengorbanan yang harus mereka lakukan.
“ Apabila kita berjuang mesti ada pengorbanan, dan harus berani menyuarakan suara ramai dan meneliti luahan rakyat,” kata Kurup..
Seorang pemimpin kata Kurup mempunyai tanggungjawab yang besar, dan harus komited dan dedikasi terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat.
“ Dengan peranan seorang pemimpin , suara rakyat dapat didengar . Inilah komitmen dan peranan yang harus dilakukan seorang pemimpin,” ujar Kurup yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.
Turut hadir di majlis itu ialah Naib Presiden PBRS, Datuk Kadoh Agundong , Ahli MAjlis Tertinggi PBRS dan Exco Wanita.
Kurup juga meminta agar parti itu terus meningkatkan peranan dan kekuatan mereka di peringkat akar umbi sebagai keutamaan.
Di majlis itu Kurup turut menerima boring penyertaan ahli PBRS seramai 40 orang dari Kg.Timbua dan 30 orang ahli dari Kg Dantayon Nalumad.
Kurup juga berkata, PBRS harus mengambil pendekatan rajin turun padang dan mendekati ahli-ahlinya. Beliau turut memuji semangat kesetiaan ahli-ahli PBRS di kawasan itu yang sabar dan tabah dalam perjuangan mereka, meskipun tersisih selepas pilihanraya umum yang lalu.

No comments: