Friday, November 13, 2009

Hospital Nabawan bukan projek terbengkalai , tetapi tertangguh


Keningau : Tindakan telah dilakukan oleh Ahli Parlimen 182 Pensiangan untuk memastikan sebuah hospital dapat di dirikan di daerah Nabawan. Sehubungan dengan itu rakyat di kawasan Pensiangan khususnya di daerah Nabawan tidak perlu merasa keliru dengan isu serta propaganda yang dilakukan oleh pihak pembangkang mengenai status perancangan pembinaan Hospital Daerah Nabawan yang dikatakan terbengkalai.
Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Pensiangan, Vincent Lee berkata, usaha serta tindakan telah dilakukan oleh YB Tan Sri Joseph Kurup sejak dari awal beliau mewakili kawasan Parlimen Pensiangan, termasuklah melakukan lawatan ke klinik kesihatan daerah dan mendengar taklimat dari Jabatan Kesihatan mengenai status hospital berkenan.
Oleh itu kata Vincent , Kurup yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mahu hospital itu dibina di daerah itu , kerana ia adalah satu keperluan yang sangat mendesak dan mustahak bagi penduduk di kawasan luar Bandar.
“ Wakil Rakyat dan Pejabat Perhubungan juga sentiasa bekerja keras agar setiap agenda pembangunan di kawasan ini mencapai kepada objektifnya, dan sudah tentu sama sekali hospital itu adalah keutamaan wakil rakyat yang melihat sendiri kesengsaraan rakyat,” kata Vincent.
Sehubungan dengan itu kata Vincent, kenyataan pihak pembangkang itu adalah semata-mata demi mengelirukan rakyat di kawasan luar Bandar dan adalah agenda parti berkenan untuk meraih simpati.
Vincent berkata bahawa Kurup yang merupakan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar juga mahu membawa Menteri Kesihatan ke kawasan itu untuk melihat daerah Nabawan dan mengapa daerah itu memerlukan hospital tersebut yang tertangguh pembinaannya sejak Rancangan Malaysia Ke-8.
“Rakyat Pensiangan amat bertuah kerana ahli parlimen mereka mempunyai hubungan yang baik dengan menteri-menteri kabinet persekutuan, dan masa inilah masa yang terbaik untuk wakil rakyat mereka untuk memastikan projek tertangguh itu dapat dilaksana dengan seberapa segera,” kata Vincent.
Pengumuman mengenai pembinaan hospital itu dibuat oleh Perdana Menteri yang ketika itu sebagai Menteri Pertahanan semasa berkempen bagi calon Barisan Nasional (BN) menentang pembangkang pada pilihanraya DUN Sabah 1994.

No comments: