Thursday, March 18, 2010

JABATAN HUTAN DIMINTA BERI PENJELASAN TERPERINCI KENAPA BERI NOTIS


Keningau : Jabatan Perhutanan diminta untuk memberi maklumat yang jelas mengenai keseriusan kerajaan dalam penjagaan kawasan hutan , bukannya memberi notis semata-mata yang hanya menimbulkan kemarahan rakyat di kawasan yang terbabit.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup berkata, rakyat yang menerima notis itu mendakwa mereka dihalau , tetapi sebenarnya ada diantara mereka tidak memahami kenapa mereka diberikan notis.
Oleh itu saya minta kepada Jabatan Hutan , bahawa memberikan notis semata-mata tidak akan membantu kerajaan menjaga kawasan hutan simpan.
Kurup berkata , Jabatan Hutan harus memanggil mereka (Rakyat) dan berikan kefahaman bahawa betapa pentingnya menjaga hutan, dan kerjasama rakyat juga amat penting.
Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, kerjasama antara rakyat dan kerajaan dalam menjaga hutan adalah amat penting sekali, kerana ia memberi faedah kepada rakyat secara keseluruhannya.
Katanya, hutan sangat berfaedah kepada kehidupan sejagat termasuklah punca bekalan air.
“Kamu juga masuk ke hutan untuk memburu , mencari makanan di hutan. Bayangkan jika kita tiada hutan , dimana kamu hendak cari makanan untuk keluarga , sumber air pun terganggu,” kata Kurup. Beliau merujuk kepada kebiasaan rakyat luar Bandar yang masuk ke hutan untuk memburu.
Kurup berkata demikian ketika berucap di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Kg.Seri Menanti disini.
Sempena majlis itu juga Kurup merayu agar penduduk berkerjasama dengan kerajaan berkenan dengan penjagaan alam sekitar
“ Saya meminta Jabatan Hutan memberi kesedaran kepada rakyat dengan lebih terperinci. Tunjukkan di dalam pelan setakat mana yang kita boleh usahakan, dan rakyat juga akan memahami setakat mana yang mereka boleh usahakan,” kata Kurup.
Di majlis itu Kurup menyampaikan bantuan berupa 30 keping zink untuk 36 keluarga.

No comments: