Wednesday, March 31, 2010

Persekutuan prihatin luar bandar : Kurup

Kurup serah bantuan enjin bot kepada salah seorang pemimpin masyarakat
di kawasan Mukim Pemuntarian, Nabawan.


NABAWAN : Kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam pembangunan dan menjaga kebajikan penduduk luar bandar. Sehubungan dengan itu rakyat di kawasan itu haruslah sentiasa seiringan dengan kerajaan yang membela dan menjaga mereka.

Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup berkata, berkat kestabilan dan keupayaan kerajaan Barisan Nasional (BN) pelbagai projek pembangunan yang dirancang dan telah disalurkan kepada rakyat.

Oleh itu kata Kurup yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, rakyat di pedalaman seharusnya tidak mudah terpengaruh dengan pembangkang sebaliknya mereka di minta untuk memberikan sokongan padu kepada kerajaan BN yang telah membuktikan keupayaannya.

Kurup berkata demikian di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kg.Ponontomon, Mukim Pemuntarian disini. Di majlis itu juga Kurup telah menyampaikan bantuan 5 enjin bot kepada pemimpin masyarakat di sekitar mukim itu.

Di majlis itu juga Kurup mengumumkan pembinaan bangunan rumah panjang di kampung itu.

Kurup berkata, rakyat pedalaman tidak pernah ketinggalan dalam pembangunan kerana kerajaan Persekutuan sentiasa ada membela dan menjaga kebajikan mereka.

Oleh itu kata Kurup yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), rakyat haruslah pandai menilai keberhasilan BN daripada menyertai perjuangan pembangkang yang sia-sia.

No comments: