Tuesday, March 2, 2010

Program Pendaftaran Kad Pengenalan dan Surat Beranak di Mukim Dalit

Charles

Keningau : Tahap kesedaran penduduk di pedalaman mengenai kepentingan memiliki pengenalan diri masih rendah dan boleh menjejaskan masa hadapan jika tidak ditangani. Perkampungan yang jauh terpencil dan tidak berkemampuan dari segi kewangan untuk berurusan adalah antara punca ada diantara mereka tidak memiliki kad pengenalan mahu pun surat beranak di zaman dimana kad keterangan diri adalah sangat mustahak.
Menyedari keperluan itu, Pejabat Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat N.37 Sook telah mengambil inisiatif membawa Unit Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membantu rakyat di kawasan Mukim Dalit , agar dapat dibantu dalam memproses kad pengenalan diri serta surat beranak.
Pegawai Pemimpin Kemajuan Rakyat Sook, Charles Ikang berkata, sebanyak 154 permohonan dikemukakan untuk menyelesaikan 304 masalah kad pengenalan dan sijil kelahiran kepada Unit Bergerak JPN sempena Program Pendaftaran Kad Pengenalan dan Surat Beranak bersama UPKR N.37 Sook dengan kerjasama Biro Kebajikan PBRS di SK.Dalit.
Menurut Charles , program tersebut akan berjalan selama dua hari iaitu pada 8-9hb Mac ini bermula jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.
Charles berkata, surat-surat pekeliling telah diedarkan kepada badan JKKK masing-masing, dan penama yang tersenarai adalah diminta untuk datang pada hari berkenan.
“Sila bawa adik beradik dan saksi bagi memudahkan permohonan,” kata Charles. Antara agensi yang turut serta dalam program itu ialah Majistret, Mahkamah Anak Negeri dan Polis.
Menurut Charles , pihak UPKR berusaha untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh penduduk di mukim tersebut.
“Kita membantu membawakan Unit Bergerak ini ke Dalit agar memudahkan penduduk yang tinggal berhampiran untuk berurusan, kerana kita faham masalah mereka,” kata Charles yang juga merupakan Setiausaha Exco Pergerakan Pemuda PBRS selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai program berkenan.
Dalam pada itu Charles juga memberitahu bahawa JPN turut membawa bersama 40 keping kad pengenalan yang tidak dituntut oleh pemohon sejak tahun 2006 dari kawasan Pensiangan.
“Kepada mereka yang belum menuntut kad pengenalan mereka boleh berbuat demikian dengan membawa resit permohonan kad pengenalan itu semasa program ini dijalankan. Ambillah peluang ini kerana ia adalah bertujuan untuk memudahkan rakyat di kawasan yang terlibat,” kata Charles.

No comments: