Thursday, March 18, 2010

Rakyat akan terus dibantu miliki Mykad dan Sijil Lahir : Charles




Keningau : Unit Khas Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara cawangan Sabah berjaya mendaftarkan 204 sijil kelahiran dan menyelesaikan sebanyak 35 pendaftaran Mykad sempena program selama tiga hari di Daerah Kecil Sook. Program tersebut dijalankan atas usahasama antara Unit Khas Bergerak JPN , Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat N.37 Sook dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Jurucakap JPN, Haji Noorzain Hj Tawi berkata, jumlah-jumlah tersebut adalah hasil dapatan dari program 2 hari di SK Dalit dan sehari di SK.Mansiat.
Dari jumlah itu sebanyak 15 permohonan mykad yang baru , lewat 12 kes dan 5 kes bagi gantian KP. Bagi sijil kelahiran sebanyak 203 sijil lewat dan 1 kelahiran biasa telah dikeluarkan oleh JPN.
Sementara itu , Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) N.37 Sook, Charles Ikang berkata, program selama tiga hari dengan dua hari di SK.Dalit dan sehari di SK.Mansiat, itu bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat di kawasan terpencil di kawasan pedalaman, malahan membuktikan masih ramai penduduk tempatan tidak mempunyai sijil kelahiran dan kad pengenalan yang perlu dibantu kerana dokumen diri adalah amat penting.
“Kita bekerjasama dengan Unit Khas Bergerak JPN untuk sama-sama turun padang memastikan rakyat kita mendapat kad pengenalan dan sijil lahir, melalui program ini, rakyat yang bermasalah dapat merujuk terus kepada pegawai-pegawai JPN untuk menyelesaikan masalah mereka,” kata Charles.
Menurutnya, tahap kesedaran penduduk memiliki dokumen diri di pedalaman terutamanya di kawasan terpencil masih rendah dan faktor perbelanjaan untuk ke pejabat yang terletak di Bandar Keningau memakan belanja yang besar dan masalah berurusan.
“ Bagi pihak wakil rakyat, kami mengucapkan berbanyak-banyak berterima kasih diatas keprihatinan Unit Khas Bergerak JPN yang bertungkus lumus membantu rakyat di kawasan ini yang sebahagiannya juga kurang memahami tugas para kakitangan JPN sehingga mereka memaki dan mencaci kakitangan JPN apabila ditemuduga, kata Charles.
Katanya beliau juga kesal dengan sikap ibubapa yang memperjudikan nasib masa depan anak-anak mereka dengan tidak memperdulikan soal sijil lahir anak mereka.
“Terdapat kes sebuah keluarga dimana seramai 7 orang anak mereka tidak memiliki sijil lahir, namun apabila di temuduga oleh JPN mereka mempersoalkan soalan JPN itu, dan marah-marah…sehinggalah terkeluar kisah dalam kelambu,” kata Charles.
Namun kata Charles beliau juga kesal kerana terdapat rakyat tempatan yang sanggup mengemukakan dokumen palsu untuk membantu rakyat asing mendapat dokumen Negara ini.
“Kita tidak mahu ini berlaku di masa akan datang,” kata Charles memberitahu kejadian itu berlaku di SK.Dalit dimana terdapat orang asing mencuba mendapatkan dokumen Negara ini dengan bantuan orang tempatan namun tidak berjaya.
Ini kerana kata Charles, pihak UPKR N.37 Sook dan PBRS akan meneruskan program itu di kawasan terpencil.
“Penangkapan tiga rakyat tempatan itu harus menjadi keinsafan kepada mereka yang mahu cuba menipu kerajaan,” kata Charles.

No comments: