Thursday, March 18, 2010

PBRS intai DUN Apin Apin

Vincent bersama penyokong PBRS di Apin Apin

Keningau : Penduduk di kawasan Mukim Apin-Apin merayu agar cadangan persempadanan baru dengan mengujudkan DUN Apin-Apin diluluskan oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) . Ini berikutan penduduk di kawasan itu mengadu mereka masih jauh ketinggalan dalam pembangunan kerana kawasan tersebut (Mukim Apin-Apin) sering bertukar pentadbiran disebabkan persempadanan baru yang sering dibuat setiap 10 tahun.
Pengerusi Penganjur Majlis Ramah Mesra Taklimat Cadangan Persempadanan DUN Apin-Apin, Joseph Kunoi berkata, sehingga kini Apin-Apin , yang kerapkali bertukar pentadbiran di Keningau dan kemudian Tambunan , telah terabai.
“Apin Apin yang berada di tengah-tengah (antara Pekan Bingkor dan Tambunan ) sering ketinggalan , pertukaran pemimpin dan kerajaan tidak membawa perubahan kepada nasib penduduk disini,” kata Joseph yang berucap di cawangan PBRS Kg. Umpason.
“Nama sahaja pekan Apin-Apin tetapi kita tidak melihat perubahan di pekan ini sejak tahun 1934, yang ada hanyalah bangunan-bangunan usang yang ditinggalkan oleh kerajaan di masa yang lalu. Pengundi disini juga sudah penat dan letih kerana kita seperti bola yang dibawa ke sana sini setiap kali pengujudan kawasan baru. Pertemuan kali ke empat ini ( sebelum ini di Kg. Gasabon, Kg. Takad, Kg.Kukuangoh dan Kg.Umpason) bertujuan untuk meminta SPR agar meluluskan kawasan baru ini demi masa depan penduduk disini,” kata Joseph yang juga merupakan Bendahari PBRS Bahagian N.33 Bingkor.
Menurutnya Apin-Apin jauh ketinggalan dengan pekan-pekan di kawasan pedalaman.
“Sook yang dulunya sempit dan bergravel kini pesat membangun sehingga ke Sepulut. Bingkor juga kini maju dan mempunyai bangunan kedainya sendiri, tapi Apin-Apin tidak pernah berubah,”kata Joseph.
Sementara itu Naib Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Vincent Lee berkata, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) memperjuangkan agar kawasan Apin-Apin diberi perhatian dalam cadangan persempadanan baru itu.
“Penduduk dikawasan ini mahu kawasan baru untuk Apin Apin di wujudkan agar pembangunan seimbang dapat dilakukan di kawasan ini,” kata Vincent. Menurutnya, rakyat di mukim itu mahu kawasan itu diwujudkan dan mereka mahu dipimpin oleh pemimpin tempatan yang lebih memahami mereka.
“Kami (PBRS) mahu jalankan tanggungjawab dan membantu agar hasrat rakyat di kawasan ini dapat dimuktamadkan dan selepas itu terserahlah kepada rakyat untuk menentukan hala tuju kawasan ini, namun penduduk disini adalah penyokong kuat BN sejak dari dulu lagi,” kata Vincent yang mengadakan pertemuan dengan Penyelaras –Penyelaras PBRS Mukim Apin-Apin di Premis JC Enterprise yang turut dirasmikan pembukaannya di Kg.Umpason disini.
Vincent yang juga Naib Pengerusi Exco Pemuda BN Malaysia memberitahu pengundi bagi kawasan baru yang dicadangkan itu adalah sejumlah 9000 orang. Mukim Apin-Apin terletak di DUN Bingkor dalam Parlimen Keningau. Turut hadir sama , Ketua Wanita PBRS N.34 Liawan, Norfadillah Abdullah dan Exco Wanita PBRS Pusat.

No comments: