Saturday, March 12, 2011

PBRS terima keahlian 500 orang di Merotai


Tawau : Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) kini terus melebarkan pengaruhnya di kawasan Pantai Timur dengan penubuhan sebuah lagi Bahagian parti itu di N.58 Merotai.
Pegawai Perhubungan PBRS Pantai Timur, Yunus Sampe berkata, Bahagian Merotai itu diketuai oleh seorang Pastor yang juga bekas tentera bernama Thomas Majunga, 53 tahun.
Penyerahan borang keahlian dan perasmian Bahagian Merotai itu akan diadakan pada 28hb Mac ini dalam satu upacara yang akan dihadiri oleh Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup.
Yunus yang juga Ketua Bahagian N.60 Sebatik berkata, penyertaan itu menandakan sokongan yang kuat kepada PBRS dan memantapkan lagi kekuatan Barisan Nasional (BN) di kawasan itu.
Yunus berkata kehadiran PBRS di kawasan itu bukanlah untuk bersaing dengan mana-mana parti komponen BN di kawasan itu, sebaliknya adalah bertujuan untuk menambahkan lagi kekuatan BN dan sama –sama menyelesaikan masalah-masalah rakyat bersama dengan pemimpin –pemimpin di kawasan itu.
Sementara itu, Pemangku Ketua Bahagian N.58 Merotai, Thomas Majunga berkata, penyertaan ahli-ahli itu ke PBRS adalah bertujuan untuk memperjuangkan nasib rakyat tempatan di kawasan itu.
“Banyak masalah yang perlu diambil serius terutamanya yang melibatkan kebajikan masyarakat disini, seperti masalah tanah yang direbut oleh syarikat-syarikat , sedangkan peneroka ini adalah kebanyakannya pesara kerajaan yang telah banyak berjasa kepada kerajaan dan juga masalah dokumen yang telah memakan masa yang lama untuk diselesaikan seperti kad merah,” ujar Thomas.
Selain dari itu kata Thomas, mereka memilih PBRS kerana mereka tidak mahu bermusuhan dengan kerajaan.
“Kami terpikat dengan cara Presiden PBRS mengurus masalah rakyat berkaitan dengan tanah, kami mahu berjuang untuk tanah yang telah di duduki sejak 30-40 tahun, dan sememangnya konsep dan perjuangan PBRS telah memikat kami, dan inilah saluran kami kerana kami tidak berminat dengan parti pembangkang,” kata Thomas.
Thomas berkata seramai 500 keahlian PBRS akan diserahkan pada satu majlis bersama Presiden hujung Mac ini.

No comments: