Saturday, March 12, 2011

Pembubaran tanah hutan simpan di Sook sangat berhasil : Ahli Parlimen

Ketua-Ketua Kampung, ADUN Sook , Ahli Parlimen Pensiangan mendengar taklimat perkembangan Hutan Mandalom dan Sook Plain Reserve

Keningau : Pemilikan Tanah melalui kaedah Communal Title Kawasan Hutan Simpan yang dibubarkan iaitu Sook Plain Reserve dan Mandalom Forest Reserve disambut dengan perasaan terharu dan gembira wakil pemimpin masyarakat dalam satu mesyuarat bersama Jabatan Tanah dan Ukur bersama Wakil Rakyat Sook dan Ahli Parlimen Pensiangan di Pejabat Tanah dan Ukur disini.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Lee Chun Khiong itu memberitahu secara terperinci jumlah kawasan yang dibubarkan mengikut kampung bagi dua kawasan tersebut. Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup dan Wakil Rakyat Sook, Datuk Ellron Angin turut sama dalam mesyuarat berkenan dengan Penapisan Fast Track Planned Land Allienation (Sook Plain).

Lee memberitahu bahawa , Kawasan Sook Plain yang dibubarkan melibatkan 10540 ekar dengan 19 buah kampong dengan jumlah seramai 3,400 orang penduduk. Sementara Mandalom Forest Reserve melibatkan 26 buah kampong dengan keluasan 21140 ekar. Jumlah penduduk 8,400 orang.

Ahli Parlimen Pensiangan yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup berkata, pembubaran tanah di dua kawasan hutan simpan itu adalah kemenangan kepada kesabaran dan penantian rakyat yang diperjuangkan oleh wakil rakyat.

“Sebagai Ahli Parlimen saya sangat senang hati dengan penyelesaian tanah di hutan simpan. Kami (wakil rakyat) berbangga dan berterima kasih kepada kerajaan kerana telah menyelesaikan masalah ini, inilah hasil perjuangan kami selama ini yang sentiasa bersama dengan rakyat dan sememangnya cukup mencabar,” kata Kurup yang juga merupakan mantan Wakil Rakyat Sook sebelum berpindah ke Parlimen pada tahun 2008.

Menurut Kurup, paling membanggakan ialah kawasan itu (Daerah Kecil Sook) dipilih terlebih dahulu untuk di selesaikan yang boleh dianggap sebagai projek pilot termasuk di daerah Nabawan.

“Status Hutan Simpan ini juga sebenarnya baik kerana ia adalah menjaga kepentingan generasi dan rakyat negeri ini. Namun ketika dimulakan satu ketika dahulu, tidak ada kajian mendalam dilakukan sehinggalah beberapa perkampungan turut termasuk dalam status hutan simpan yang kemudiannya menimbulkan masalah,” kata Kurup.

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) itu juga meminta ketua ketua kampong agar tidak sewenang wenangnya memberikan tanah kepada orang luar yang mencari kesempatan.

“Orang orang kampong harus diberikan keutamaan memiliki tanah ,” ujar Kurup yang turut memberitahu bahawa tanah adalah sangat penting kepada rakyat .

“Lihatlah di sekeliling kita, pada masa ini harga getah dan sawit sangat lumayan. Mereka yang menanam getah kini menikmati hasil tersebut berpanjangan, mereka yang menjual tanah hanya sekali menikmati kesenangan itu, bukankah itu satu kerugian yang besar,” kata Kurup.

Katanya memperjuangkan isu tanah bukanlah senang kerana beliau sendiri pernah kalah dalam pilihanraya disebabkan masalah tanah di Sook satu ketika dahulu. Namun katanya penyelesaian masalah-masalah tanah di kawasan itu akan terus dibuat.

No comments: