Friday, December 31, 2010

Jangan jauhkan diri dari pemimpin : Timbalan Presiden PBRS

Timbalan Presiden PBRS, YB Datuk Ellron Angin sedang bersedia untuk merasmi tutup Mesyuarat Tahunan PBRS N.35 Melalap dan N36 Kemabong.Turut kelihatan Ketua Pemuda PBRS Pusat, Vincent Lee yang mempengerusikan mesyuarat gabungan itu.
Tanda kenangan dari Melalap & Kemabong untuk perasmi Mesyuarat Tahunan disampaikan oleh AMT PBRS Pusat yang juga Ketua Wanita Melalap, KAN Fatimah Hj.Ibrahim.

Lagu Parti PBRS dan lagu BN dinyanyikan bersama


Tenom : Bahagian Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) diminta untuk terus mainkan peranan dan tanggungjawab meskipun parti itu tidak mewakili kawasan berkenan (sebagai wakil rakyat), kerana PBRS adalah komponen Barisan Nasional (BN) yang harus menjaga kebajikan dan membawa perjuangan parti itu.
Timbalan Presiden PBRS, Datuk Ellron Angin berkata, kepimpinan pusat faham masalah yang dihadapi oleh bahagian-bahagian parti berkenan, namun katanya kepimpinan di peringkat bahagian diminta untuk sentiasa memberi kerjasama dan mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin BN di kawasan mereka.
Ellron berkata demikian ketika merasmi tutup Mesyuarat Agung Tahunan PBRS Bahagian Kemabong dan Melalap disini. Turut hadir Ketua Pemuda PBRS Pusat yang juga mempengerusikan mesyuarat itu, Vincent Lee dan EXCO Wanita Pusat, Rozie Jumat.
“Kita harus berganding bahu dengan wakil rakyat dan ahli parlimen kita, jalinkan persefahaman yang baik dengan mereka, “ kata Ellron yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.
Namun Ellron tidak menafikan terdapat ahli PBRS yang tersisih selepas pilihanraya meskipun parti itu telah memainkan peranan mereka sebagai Rakan Tidak Bermusim BN.
“Jangan jauhkan diri dari ADUN dan Ahli Parlimen, tapi ambillah peranan, jalinkan hubungan yang baik, saya yakin atas kerjasama dan kerja keras kita dalam memantapkan kekuatan BN dan mempejuangkan ahli kita (rakyat) di kawasan ini, kita akan lebih dihargai,” kata Ellron yang juga Wakil Rakyat Sook.
Sebagai contoh kata Ellron, PBRS di Lahad Datu mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin di kawasan itu, dan diberi kedudukan yang baik bagi menghargai sumbangan yang diberikan PBRS di kawasan itu meskipun parti itu dianggap kecil.
Menurut Ellron , meskipun parti itu dikatakan kecil namun perjuangan membela nasib rakyat adalah sama bagi mana-mana parti komponen BN.
“Perjuangkan kawasan kita dengan penuh keikhlasan, rakyat tahu menilai. Kita sendiri tidak tahu nasib kita kerana keadaan akan berubah,” ujar Ellron.

No comments: