Sunday, December 12, 2010

WKAN & KK N.37 Sook terima Watikah Perlantikan

Para penerima watikah perlantikan bersama YB Tan Sri Joseph Kurup dan YB Datuk Ellron,
ADO, Jasli Tindi dan Pemimpin Kemajuan Rakyat Sook, Charles Ikang (baju ungu)
Dulu PJKKK kini Ketua Kampung, En.Robert James terus mendapat kepercayaan penduduk kampung Sinua. Sudah lama berkhidmat dan penyokong kuat kerajaan PBRS-BN.

En.Mahadi Lakang, juga naik pangkat dari PJKKK Kg.Senaron kepada Ketua Kampung.


Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) dari kanan, Rusinin Muyat (Mukim Sebrang), Undan Usau(Mukim Ansip), Sokilim Andamat( Mukim Dalit) dan Sainggun Gadus (Mukim Tulid)



Rozie Jumat

Keningau : Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) dan Ketua-Ketua Kampung (KK) mempunyai peranan yang amat penting dalam memelihara adat istiadat, dan dibahu merekalah amanah bangsa harus digalas dengan penuh displin.
Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup berkata, Mahkamah Anak Negeri (MAN) diberikan kuasa oleh undang-undang berasaskan adat istiadat bagi memastikan budaya masyarakat terpelihara dan terjaga.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan WKAN dan KK di Pejabat Daerah Kecil Sook disini. Turut hadir sama Wakil Rakyat Sook, Datuk Ellron Angin dan Penolong Pegawai Daerah, Jasli Tindi; Pemimpin Kemajuan Rakyat Sook, Charles Ikang dan Ketua daerah Sook, Yunus Kimin.
Kurup yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata, fungsi ketua-ketua kampung adalah memastikan adat istiadat terus berakar umbi, kerana ditangan merekalah terletaknya cabaran dan tanggungjawab yang berat dipikul bagi memastikan bangsa Kadazandusun dan Murut mengekalkan budaya dan identitinya.
“Kita sayang dengan budaya kita, budaya beradat sopan inilah yang menjadi lambang kita di Sabah sehingga dijadikan contoh sebagai negeri yang mengamalkan konsep 1Malaysia,” kata Kurup.
Kurup melahirkan kebimbangannya terhadap tren masa kini kerana terdapat tanda-tanda berlakunya sikap kurang hormat dan perlakuan kurang sopan di kalangan orang muda, dengan kejadian yang berlaku di kawasan itu sejak akhir-akhir ini termasuklah kes bunuh diri yang disebabkan rasa malu seorang abang terhadap kejadian yang menimpa adiknya.
“ Ini adalah salah satu contoh yang tidak bersopan, dan peranan ini harus diambil oleh orang tua dan ketua kampung untuk menyedarkan,” ujar Kurup.
Katanya , jika adat dan budaya tidak dipelihara dan diamalkan maka KDM akan kehilangan , dan bangsa itu akan lenyap secara perlahan-lahan tanpa disedari.
Tambahnya surat perlantikan yang mereka terima adalah ibarat satu permit dan wakil rakyat sudah semestinya mahukan prestasi yang lebih baik.
“ Jangan pula jadi batu api, memarakkan kebencian terhadap kerajaan yang memerintah,” kata Kurup.
Kurup juga menegaskan bahawa, tidak kira dari mana komponen parti (BN) pemimpin itu, tetap dikenakan tindakan jika melanggar atau menjejaskan nama baik BN, di pihak PBRS, kami akan ambil tindakan dan membersihkan pemimpin dari parti ini katanya. Seterusnya beliau menggalakkan pemimpin di peringkat akar umbi untuk menambahkan keahlian parti.
Sementara itu Wakil Rakyat Sook, Datuk Ellron Angin mengingatkan bahawa jawatan yang mereka pegang adalah kepercayaan rakyat dan pemimpin.
“Perlantikan ini adalah satu tugas dan juga tanggungjawab. Kamu di undi oleh rakyat, jangan hampakan mereka dan pemimpin (wakil rakyat)”, ujar Ellron yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.
Katanya , ketua –ketua kampung berperanan untuk mempertahankan perpaduan, adat dan mempertahankan kedudukan BN di peringkat kampung. Seramai 4 WKAN dan 8 Ketua Kampung menerima watikah mereka di majlis tersebut.

No comments: