Monday, December 6, 2010

Dakwaan Pelajar IPT melacur, ambil tindakan segera : Wanita PBRS

Kota Kinabalu : Dakwaan terdapat pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) terlibat dengan pelacuran (bagi membiayai kos pendidikan) tidak seharusnya diperbesarkan kerana ia menjejas nama baik pelajar di IPT , yang mungkin di pandang serong terutamanya pelajar yang berasal dari luar Bandar dan berlatarbelakangkan keluarga bermasalah.
Ketua Penerangan EXCO Wanita Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Rozie Jumat berkata, adalah tidak adil melabelkan pelajar terlibat dengan kegiatan tidak bermoral itu , hanya disebabkan kegiatan tersebut dilakukan oleh sebilangan budak-budak nakal.
Pendedahan di akhbar baru-baru ini secara tidak langsung menjatuhkan martabat pelajar kita yang bertungkus lumus di dalam pembelajaran mereka malahan mereka akan dilabel sebagai ‘gadis jahat’ oleh masyarakat yang tidak tahu gambaran sebenar terhadap isu yang dibangkitkan, kata Rozie.
Katanya, PBRS juga menerima maklum balas dari ibu bapa yang resah dan bimbang dengan isu yang dipaparkan di media baru-baru ini.
“Jika ada kes pelacuran sudah tentu ada sindiket yang memainkan peranan di belakangnya, mereka patut ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan. Para pelajar ini adalah aset negara,” kata Rozie dalam satu kenyataan disini.
“Kami di PBRS sangat prihatin mengenai isu seumpama ini namun kami percaya pihak berkuasa akan mengambil tindakan yang sewajarnya,” ujar Rozie.
Bagaimana pun Rozie yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Wanita PBRS N.37 Sook berkata, pelajar mempunyai kemudahan pinjaman yang disediakan untuk menampung pembelajaran mereka seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang boleh diurus oleh pihak institusi masing-masing.
Oleh itu katanya, para pelajar IPT sepatutnya memanfaatkan kemudahan itu bagi tujuan pembelajaran mereka, dan berhemah didalam berbelanja.
Tidak seperti 10 tahun yang lalu, ramai anak-anak muda yang mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke universiti terpaksa memendamkan perasaan kerana ketidak mampuan keluarga menampung kos pendidikan di luar. Dan pelajar tempatan sebenarnya telah mendapat kelebihan kerana tidak perlu berbelanja dengan banyak kerana mereka belajar di IPT di negeri sendiri.
“Kami (PBRS) sentiasa menyokong usaha kerajaan membantu pelajar miskin namun kami percaya mereka (pelajar) diberi bimbingan dan panduan mengenai dimana mereka mendapat dermasiswa serta pinjaman. Jika kegiatan ini berlaku, ambil tindakan”.

No comments: